Sunday, November 21, 2010

Cintaku Di Jabal Rahmah

Masa sudah tamat! Huh, bagai hayunan pedang yang menghiris kalbu. Maka diputarkan lagi punatnya. Entah sampai bila. Minggu jatuh ke hari. Dan saat yang terus merintih pergi...

Seperti biasanya, hujung minggu hari bercuti. Memang terasa penatnya.

Ha! Kenapa perlu penat? Sedangkan anda bercuti?

Maka itulah cuti ku. Cuti yang padanya ada rasa penat yang sungguh manis, ada keringat yang akhirnya begitu sejuk dan menyegarkan. Dan berbekalkan tanggungjawab itulah, maka tiada halnya untuk kaki ini melangkah, meredah basahnya suasana dikala hati ini kering mengharapkan curahan tarbiyahNya.

Musim haji berlalu sudah. Bila dilihat klimaks nya ibadah itu, jutaan jemaah berhimpun penuh bagai semut-semut halus di Arafah.

Ramai juga umat Islam ni rupanya...

Saya bertanya pada seorang adik: "Ermm..apa yang awak ingat bila sebut Arafah?"

Jawapannya mudah : "Ermmm...Yassir Arafat!"

Betul jawapannya. Saya terima pendapatnya kerana dia sudah cuba sedaya upaya untuk faham soalan saya.

Arafah itu lebih dekat dengan Rasulullah saw. Kata-kata Baginda dalam khutbahnya yang terakhir, bukanlah sekadar khutbah biasa yang menjadi tunggul usang di Jabal Rahmah. Tapi lebih dari itu, pesanan Rasulullah yang terakhir begitu dalam erti pedomannya untuk kita bawa menyelusuri jalan hidup ini.

Disebalik kata-kata Baginda, rupanya ada cinta disitu. Cinta Baginda pada julangnya kasih Allah, cinta yang terpahat pada wajah satu persatu sahabatnya, hinggalah cinta Rasulullah pada hati-hati yang dibawanya. Dan kitalah antara yang dicintainya.

Cinta Rasulullah bukanlah dicari pada tempat mana Rasulullah berada, tapi selagi kita menyelusuri jalan yang sama Rasulullah lalui, maka disitu juga terpancar cintanya. Cinta Rasulullah bukanlah sekadar cinta biasa, tapi cintanya membawa hati-hati peka untuk dekat pada Pencipta.

Dikala ini tiadanya Rasulullah, namun itu hanya pada jasadnya. Bahkan cinta Allah dan RasulNya itu selamanya terpelihara bagi mereka yang berjalan membawa peranan dan amanah rentetan Baginda, berbekalkan khazanah termulia yang ditinggalkan untuk segenap umatnya.

Maka tidaklah diwafatkan Rasulullah, melainkan Allah ta'ala memberi jaminan mutlak untuk memelihara khazanah ummah ini hingga ke akhirnya. Namun, bukanlah bermaksud umat itu perlu berehat hingga tertidur. Kerja berat ini mestilah umat teruskan, berbekalkan khazanah dan cahaya cintanya itu.

Rupanya jalan ini masih panjang....................................


"Ya Rabb, berilah kami keyakinan hati demi keteguhan menyelusuri jalanMu ini, tanamkanlah pedoman RasulMu dalam hati ini, agar dengannya kami dekat menggapai cintaMu yang hakiki"




0 Comments: