Tuesday, April 5, 2011

Kerana Hatimu Bukan Milikku

Kita mengenal orang bukan pada namanya sahaja. Tapi lebih dari itu, pada raut wajahnya, pada tingkah laku dan gaya tutur bicara dirinya.

Kalau orang ni pendiam, kita kenal dia kerana dia pendiam..

Dengan ini kita mengenal seseorang. Boleh kita kelaskan orang itu kepada A, orang itu pula B, C dan seterusnya...

Neraca penilaian itu adalah neraca kita, iaitu manusia. Kita yang tidak ada sedikit pun perbezaan berbanding orang yang kita nilaikan, kerana orang itu juga manusia yang sama setaraf dengan diri kita sendiri.

Maka tidaklah pelik sedangkan Rasulullah pun dilabel sebagai ahli sihir, orang gila dan tidak siuman ketika membawa cahaya wahyu dalam memadamkan kepekatan jahiliyyah suatu ketika dahulu. Ini kerana Rasulullah itu juga manusia, yang menyeru kepada manusia. Apa standard kan?

Kalau benar Allah itu ingin membantu kita, mengapa tidak Allah turunkan malaikat sahaja untuk memikul beban da'wah ini? Kenapa perlu kita yang manusia ini untuk bekerja menyeru manusia lain kepada Allah. Dan sudah tentulah kita akan mengalami situasi yang sama dengan apa yang dialami baginda Rasulullah s.a.w... Iaitu penentangan dan keraguan.

Dan sekiranya Rasul itu Kami jadikan (dari) malaikat, pastilah Kami jadikan dia (berwujud) laki-laki, dan (dengan demikian) pasti Kami akan menjadikan mereka tetap ragu-ragu sebagaimana kini mereka ragu (ali-Imran:9).

Manusia tidak dapat melihat malaikat. Maka kalau Allah nak turunkan malaikat sekalipun untuk beban da'wah ini, pastinya Allah jadikan malaikat itu berbentuk manusia dan pastinya timbul lagi persoalan-persoalan daripada orang lain tentang kita.

Eh, ni bukanlah malaikat! Hanya manusia biasa macam kita juga'...

Tiada bezanya keraguan mereka. Dengan rasul itu manusia atau malaikat, asas keraguan mereka tetap sama.


HATI ITU URUSAN ALLAH

Kita boleh mengenali orang pada nama dan luarannya. Tapi bukan hatinya.

Ada yang berlaku baik, tapi hatinya mungkin tidak. Ada yang berlaku sebaliknya, tapi mungkin hatinya lebih baik. Tapi bukankah hati itu yang akan menentukan perlakuan kita?

Merumitkan bukan? Sebab itulah hati ini terletak pada urusan Allah. Bukan urusan kita untuk menilainya.

Apa yang ada pada diri manusia masih belum cukup menembusi segenap isi hati orang lain, walaupun ibu kita sendiri.


HATI YANG PERLUKAN ALLAH

Sedangkan hati orang terdekat sungguh sukar untuk ditembusi, apatah lagi orang lain yang menjadi medan kerja dalam da'wah ini.

Inikan pula seorang Rasul dibanding bezakan dengan malaikat untuk memikul beban da'wah, apatah lagi kita untuk dibanding bezakan dengan seorang Rasul?

Pada logiknya, memang sungguh mustahil untuk manusia ini memikul bebanan seberat ini. Namun, manusia itulah yang menjadi pilihan Allah. Bukannya malaikat.

Manusia itu diciptakan pada satu hakikat untuk membawa bersama manusia lain menuju Allah, mengenal Allah, mengagungkan Allah. Manusia itu lebih faham ragam mereka sendiri, biarpun sukar menyentuh hati.

Namun, bila hati itu disentuh pada kelembutan tarbiyyah itu sendiri, maka segalanya mudah dibentuk menjadi manusia yang benar-benar asli.

Rasulullah juga menyentuh hati orang lain dengan kecantikan Islam. Tapi untuk itu, hati Rasulullah sendiri tidak pernah kosong dari tarbiyyah Allah sendiri. Kerana benar, hati kita memerlukan Allah.

Semakin kita ingin menyentuh hati, isikanlah hati kita sendiri dengan cinta dan kasih Allah. Dengannya ia memandu kita kearah cara yang lebih berkesan, tujuan yang lebih jelas.

Cuma tanamkanlah dalam minda diri, hati itu tetap dimiliki Allah. Bukan kita, malah bukan Rasulullah sekalipun. Kita masih memerlukan Allah kerna hanya Dia yang tahu walau sedikit yang terdetik dalam hati kita, sungguh jelas dalam pengetahuanNya.

Kerana hatimu bukan milikku, kerana itu aku mencoba menyentuh hatimu, walau dengan segenap kudrat yang ada. Padanya itu Allah yang aku harapkan. Kerna hanya Allah yang berdaya melembutkan hati, walau sekeras mana ia dimiliki.


Ahmad Ramdan Zainordin
5 April 2011, 1052am
Volgograd, Rusia

0 Comments: