Wednesday, March 30, 2011

Perlumbaan Hidup


Boleh saya katakan hidup satu perlumbaan?

Ya, itu jawapan saya. Hidup ini meletakkan kita sebagai manusia yang berlumba. Dari mula hingga ke garisan penamatnya.


Ada yang berlumba nak jadi orang hebat. Disegani masyarakat.
Ada yang berlumba nak jadi orang pandai. Best student. Top scorer.
Ada yang berlumba nak jadi kaya-raya. Kereta dan Banglo. Tidak lupa, bisnes.
Ada yang berlumba nak cari kekasih hati. Tengok orang lain berpunya, kita pun nak juga kan?
Ada yang berlumba nak belajar medic. Struggle habis untuk exam.
Ada yang berlumba nak menang games. Sampai tak tidur malam memikirkannya.
Ada yang berlumba nak jadi cantik. Nampak anggun bergaya.
Ada yang berlumba nak pujian orang. Biarlah Allah yang menentukan keikhlasannya.

Ada yang berlumba nak itu, nak ini. Semuanya tentang perlumbaan.

Begitu ramai para pelumba yang bergerak di atas bumi Allah ini. Masing-masing membawa halatuju mereka. Mereka bergerak menjadi robot yang menuruti segalanya hanya semata untuk mencapai tujuan dan matlamat perlumbaan mereka.

Sampai bila? Tiada kesudahan...

Betul, manusia tidak akan pernah merasa puas. Kalau engkau katakan puas, engkau tipu! Kerana kepuasan itu sendiri tidak kekal selamanya. Maka perlumbaan ini akan berulang dan berulang semula.

Ini perlumbaan yang membawa umat kita jauh menuju kemusnahan. Hanyut dan lemas. Tenggelam timbul dibawa arusnya tapi tidak mati kerana diselamatkan syaitan.

Mengapa perlu kita hidup sedangkan kehidupan kita hanya seperti robot? Itu bukan hidup namanya tapi mati. Kita dah mati!

Bukan pada jasadnya, tapi hati.

Matinya hati menguburkan jiwa kita, yang seharusnya diletakkan pada tindakan yang betul, perlumbaan yang sepatutnya kita tempuhi dengan matlamat yang betul.

Berlumba dalam memberikan peringatan, menyampaikan risalah-risalah Tuhanmu. Jangan kita biarkan hati itu membeku kering yang mati kesudahannya. Basahkanlah hati dengan matlamat yang jelas pada perintah Tuhanmu, pada hakikat engkau diciptakan sebagai manusia untuk manusia juga. Tidak lain, dirimu itu sebenarnya ruh-ruh yang hidup dalam jasad umat ini. Ayuh, bergeraklah.

Tinggalkan perlumbaan lalu. Kita berlumba pada trek yang baru.

Temui cinta Allah. Agama ini Allah beri, untuk manusia mencari kebahagiaan disisiNya.



Tawakkal alallah.


Ahmad Ramdan Zainordin
30 Mac 2011, 718pm
Volgograd, Rusia

Sunday, March 20, 2011

Orang Asing dan Makhluk Asing

Tidak dapat aku lari dari kesedihan. Mengenangkan betapa umat ini susah menjadi orang asing berbanding makhluk asing yang digila-gilakan.

Tidak dapat aku lari sejauh mungkin dari kesedihan ini. Kerana kalau diikutkan perasaan dan emosi, sudah tentu amarah sahaja yang aku anggap menyelesaikan.

Tapi Nabi pesan, la taghdob (jangan marah) [Riwayat Bukhari]

Pada siapa lagi kita hendak lontarkan segala isi hati ini. Segala macam rasa hiba, seksa, sedih yang menggigit-gigit. Mengenangkan kita yang terlalu asing untuk menjadi orang yang asing.

Pada Allah aku lontarkan. Supaya Engkau, Ya Allah berikanlah petunjuk dan seagung hidayahMu kepada mereka yang tidak FAHAM dalam jalan agamaMu! Agar Engkau, Ya Allah pimpinlah mereka yang terasa indah akan perbuatan dan amalan-amalan mereka yang padanya ada kemurkaanMu! Agar Engkau, Ya Allah masukkanlah mereka dalam keselamatan agamaMu ini sepenuh-penuhnya!

Agar mereka kembali pada kebenaran agamaMu yang satu-satunya Engkau redhai.

Aku pelik melihat orang yang suka memetik agama ini dari cabang-cabangnya. Orang yang suka berdebat, berbahas pada sesuatu yang bukan tertumpu pada asasnya agama itu sendiri. Kadang-kala mereka tidak FAHAM, tapi terasa ego untuk diFAHAMkan.

Ya, mereka ingin menjadi makhluk asing - bukan orang asing.

Aku sedih andai orang menggunakan agama itu untuk kepentingan diri mereka semata. Agar supaya mereka terasa tidaklah terlalu huduh dalam beragama, tetapi tidaklah terlalu cantik. Cukup-cukup makan sekadar untuk kepentingan diri mereka.

Tidak mudah menjadi orang asing. Asing itu sendiri meletakkan kita lebih jelas dalam khalayak. Membuatkan kita sendiri perlu lebih berhati-hati kerana yang asing itu sudah tentu diperhatikan selalu.

Sedikit khilaf, maka datanglah golongan yang aku sedihkan ini untuk 'bangkit' demi 'membetulkan' keadaan.

Pada mulanya aku fikirkan asing ini mencabar. Tapi rupanya lebih daripada itu, apabila yang lebih ramai dikeliling ini adalah makhluk asing.

Islam itu mula tersebar dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali kepada asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. [Riwayat Muslim]

Ya Allah, berikanlah kami kekuatan.

Tawakkal alallah.


Ahmad Ramdan Zainordin
20 Mac 2011, 1205am
Volgograd, Rusia

Monday, February 21, 2011

Di Jalan Da'wah Aku Menikah

Lama juga tak update blog. Berminggu-minggu dibiarkan kekeringan, meronta-ronta kehausan.

Alhamdulillah, bila Allah mengkehendaki saya untuk menulis hari ini, maka ketentuan Allah itu tetap kehendak mutlakNya.

Selesai segala proses walimah saya dan zaujah di Malaysia 2 minggu lepas. Penat masih ada. Bukan penat sebagai pengantin, penat menanggung rindu pada famili. Bukan satu famili, malah kini berganda dua!


BUKU

Baru tadi seorang ikhwah bertanya : "zaujah ada tak buku Di Jalan Dakwah Aku Menikah"?

"Ada rasanya. Saya pun ada buku tu", saya menjawab lantas.

Komitmen seorang ikhwah dalam menambah tsaqofahnya. Patut dicontohi usahanya.

Disebabkan nama buku itu, saya terus teringat kisah lalu. Buku yang pernah saya baca, dipegang ke hulu ke hilir. Buku karangan Cahyadi Takariawan. Bahasanya sukar difahami (kerana loghat Indonesia) tapi sungguh tinggi bererti.

Dari sebuah buku yang diberikan murobbi sendiri, sehinggalah ke hari ini sesudah saya menjadi seorang suami. Sungguh, rasanya buku itu baru satu perempat saya lalui. Menunjukkan bahwa perjalanan alam cinta itu bukan diakhirnya ialah nikah, tetapi nikah itu adalah permulaan sebuah jalan cinta yang sungguh panjang dan indah sulamannya.


CINTA PADA NIKAH

Sebelum ini hanya melihat orang keliling yang hebat bercinta. Kalau boleh ke bulan, sudah lama nak terbang ke sana bersama cintanya. Tapi bermain cinta ini banyak risikonya. Seperti menjaga mawar, kalau betul caranya dapatlah bau wanginya, kalau salah caranya maka tersusuklah duri tajamnya.

Hanya setelah saya yakin pada jalan cinta yang sahih dan halal, maka segalanya saya letakkan pada kehendak dan ketentuan Allah untuk menentukan.

Zaman sekarang ni, ramai orang yang merasa pelik, malah terkejut pun ada bila mendengar orang lain bernikah dengan seseorang yang langsung tidak pernah berbual direct dengannya, malah tak pernah berbalas mesej pun.


Pelikkah cinta tanpa berkenalan, keluar makan-makan, berbalas emel dan sms? (dipetik dari muka depan buku Aku Terima Nikahnya)


Huh, boleh caye ke mamat ni? Kang nyesal kang~~

Hehe. Tidak ada erti menyesal kalau sudah terpatri keyakinan pada Allah atas setiap ketentuanNya. Bahaya keraguan itu adalah syaitan. Yang akhirnya meragukan kita pada Islam itu sendiri.

Sungguh, kini saya bergelar suami, memiliki seorang zaujah yang bergerak dalam da'wah, bertemunya kami atas dasar cinta untuk lebih dekat menemui cintaNya, atas dasar da'wah untuk lebih laju bersama arus seruanNya. Biiznillah.

Akhirnya saya dapat rasakan sendiri, sungguh manis erti cinta itu. Manis lagi kerana ia balasan besar untuk kami yang bersabar demi membina keyakinan penuh pada syariat dan batas-batas ketetapan Allah.

Alhamdulillah. Allah menemukan saya erti sebuah jalan cinta, semoga Allah memberkatinya. InshaAllah.


TSABAT DAN IKHLAS

Kita boleh mengaku kita Islam. Tapi tindak tanduk kita jauh lari darinya. Tapi kita masih Islam. Kita perlukan Islam atau Islam yang perlukan kita?

Bila masuk bab-bab nafsu dan kehendak diri, kita rasakan yang kita tak mahu kalah. Kita mesti menangkan diri kita juga. Dan disebabkan itulah orang terhumban ke kancah maksiat, bercinta ala-ala romeo & juliet. Syariat Allah bab ini diketepikan, bab lain dilaksanakan.

Cinta bukan untuk kemeriahan, bukan untuk kebanggaan. Cinta yang tidak betul adalah yang membawa kemurungan, yang melahirkan kemaksiatan.

Cinta atas jalan dakwah perlu bersamanya keikhlasan yang sahih. Demi cinta itu adalah untuk Allah semata.

Maka segalanya akan indah belaka. Semoga tsabat, ikhlas dan kekal hingga bertemu dalam SyurgaNya. Ameen.


p/s Cinta Allah untuk semua. Cuma janganlah disalah gunakan. Carilah cinta pada kebenaran, bukan bayangan syaitan.


Ahmad Ramdan Zainordin
21 Februari 2011, 837pm
Volgograd, Rusia

Saturday, January 22, 2011

Walimah



Alhamdulillah

Saya dan isteri, Aida Atirah Azmal
dengan setulusnya menjemput kalian
ke majlis kami.

Semoga Allah memberkati
Lagi melancarkan perjalanan majlis ini.

Ameen.




Tawakkal alallah

Wednesday, January 19, 2011

Ketika Syaitan Bersuara

Manusia itu sememangnya lemah, malah tidak dapat elak daripada merasai kelemahan. Namun bukanlah dengan menghina diri dan menyesali penciptaan Allah ini, sebagai jalan mengubati kelemahan itu.

Biarpun ramai, dan terlalu ramai manusia itu yang sangat suka merungut, menghela nafas panjang mengenang apakah nasib diri atas 'ketidak-adilan' yang Allah berikan pada kita.

Begitu kita manusia yang tidak berfikir, apatah lagi hendak bershukur?

Tidaklah sezalim itu Tuhan pencipta kita hendak membiarkan hamba-hambaNya yang lemah terkapai-kapai hanyut, tenggelam timbul ditelan ombak dunia. Cuma yang tidak memahami, maka dia tidak mengenali Allah yang al-Hakam (Maha Mengadili) dan Al-Adl (Yang Mempunyai Keadilan).

Apatah lagi al-Wadud (Maha Pengasih), ar-Rahman (Maha Pemurah), ar-Rahim (Maha Penyayang).....afala tatafakkarunn???

Kita, sebagai manusia, pasti juga pernah tenggelam dalam lubang-lubang hitam. Hilang arah tuju, tiada pedoman, malah yang memacu jalan adalah syaitan dengan rantaian nafsunya yang mengikat kita. Sedangkan sehebat-hebat manusia pertama itu turut diuji, sehingga syaitan terlaknat itu mengutuh janjinya demi menyesatkan manusia, hingga ke hujung dunia!

Maka tidaklah Allah itu membiarkan kita yang hanyut untuk terus bersama arusnya. Sedangkan tangan yang terkapai itu akan ada yang menggenggamnya, membawa kita bangun dan bangkit semula.

Sungguh, firman Allah yang jelas :

'Aliff Lam Ra. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari KEGELAPAN kepada CAHAYA terang benderang dengan izin Tuhan, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang al-Aziz (Maha Perkasa) dan al-Hamid (Maha Terpuji)'

Ibrahim:1

Manusia, itulah makhluk yang Allah sentiasa berikan persoalan dalam hidupnya.

Tidak pernah bershukur.
Tidak pernah berfikir.
Tidak pernah mengerti.
Tidak pernah mengambil pengajaran.
Tidak pernah memerhatikan.
...

Suluhan jalan ini memang sudah sedia ada, tetapi hanyalah sekadar lampu pelita usang, tiada minyaknya, hangus sumbunya, malah tiadalah minat untuk menyalakannya. Gelap. Gelita.

Sedangkan kita sebenarnya tahu bahawa kita dalam kegelapan, namun kita suka padanya yang teramat, kerana itulah ikatan tali syaitan. Rantaian yang mengikat kita hingga mencecah rusuk!
Enak. Sungguh enak dan manis jahilliyah itu, sehingga benar-benar terbukti.

Ketika syaitan mula bersuara.

Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) itu telah diselesaikan;

"Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan sekadar aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu"

Sungguh, orang yang zalim akan mendapat seksaan yang pedih

Ibrahim:22


Ahmad Ramdan Zainordin
19 Januari 2011, 859pm
Volgograd, Rusia.

Friday, December 31, 2010

Tahajjud Cintaku

“Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara – kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana nasab keturunannya dan kerana agamanya; kahwinilah wanita yang baik pegangan agamanya, kamu akan mendapat ketenangan”.

[Bukhari & Muslim]


Ya Allah,
Jadikanlah aku seorang suami yang soleh, memimpin seorang isteri yang solehah, dan berilah kepada kami sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.

Permudahkanlah dan berkatilah

Ameen.


Tuesday, December 14, 2010

Gementar Cinta

Gementar itu satu perasaan.

Yang membuatkan si polan gelisah, gundah, tidak tentu arah.

Itulah gementar, satu getaran yang sungguh menggegarkan!

Aku gementar di awal permulaan pidatoku, dikala aku berdiri untuk berhujah dikhalayak umum, pada ketika fikiran aku kusut menghitung tinggalan masa berdepan peperiksaan.

Dan banyak lagi.

Tapi, bukan itu gementar yang dimaksudkan.

Cuma aku ingin bertanya, ketika kamu mendengarkan nama kekasihmu disebut-sebut, kekasih yang sungguh kamu cintai sedalam lubuk hati - tidakkah hatimu gementar? Tidakkah hatimu gundah memikirkan tentang dirinya?

Ya, itulah gementar cinta.

Namun, ada satu gementar yang benar-benar membuatkan kamu duduk seketika. Malah hebatnya boleh sahaja menundukkan jiwamu.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, maka GEMENTAR hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatnya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal"

(al-Anfal:2)

Itu hanya sepotong ayat dari Tuhan kamu. Tapi yang terselitnya adalah pengertian yang sungguh memberi tamparan.


Gementar cintaNya.






Thursday, December 9, 2010

Kerana Allah, Untuk Manusia!


Persoalan yang sungguh rumit adalah NIAT. Sungguh ia benar menjadi titik tolak untuk setiap tingkah dan perjalanan kita. Andai betul NIATnya maka betul seisi lumrahnya. Andai betul jalan pilihannya namun NIAT yang jauh lari dari pedoman, maka tidak lain perjalanan itu satu khayalan kepalsuan yang membina orientasi kejumudan.






Ya Rabb, tunjukkanlah kami jalanMu yang lurus.

Tetapkanlah kami atas landasan ini, berpaksikan Engkau yang SATU!



Katakanlah (Muhammad), "Aku tidak mengatakan kepadamu, bahwa perbendaharaan Allah ada padaku, dan aku tidak mengetahui yang ghaib, dan aku pula tidak mengatakan kepadamu bahawa aku malaikat. Aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku".

Katakanlah, "Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat? Apakah kamu tidak memikirkannya?" [al-an'am:50]

Thursday, December 2, 2010

Faham Itu Asasnya

Cita-cita dan matlamat yang besar, adalah untuk orang-orang yang berhati besar juga. Kita tidak akan tahu, kalau kita tidak faham dengan hati yang benar, ikhlas.

Kata kuncinya, ialah faham.

Bila kita faham, maka begitu banyak masalah dalam dunia ini akan selesai satu-persatu.

Namun, untuk kita memahamkan orang, bukanlah semudah yang kita sangka.

Memahamkan orang ini lebih rumit dari seorang ibu mendidik anaknya.

Kerana orang mungkin sudah faham dengan caranya sendiri. Kalau orang faham dengan cara yang benar, maka itu adalah elok. Kalau orang faham dengan cara yang salah, namun 'merasai' kebenarannya?

Itulah hiasan syaitan untuknya.

Kita suka memanjat pokok pada rantingnya. Sedang batangnya yang kokoh dilupakan.

Kita suka mencari-cari apa yang diperselisihkan, sedang apa yang dipersatukan kita sisihkan.

Aku sungguh bercita-cita besar.

Maka matlamatku pada pembinaan hati yang besar.

Aku tidak berdiri tercegat, menunding jari.

Tapi perlu bergerak, mengubah diri.

Asasnya ialah faham.

Faham ini tidak pernah lari dari salah erti orang. Kerana mereka ada rasa faham mereka sendiri.

Faham itu membina dalamnya teras pada fikrah. Dalamnya fikrah membawa dekat pada matlamat yang dituju.

Fikrah ini tidak pernah lari, dari pembawaan Rasul dan Tuhanku.

Maka fikrah inilah yang aku gigit.

Yang menemani jalan panjang ku ini.



Monday, November 29, 2010

Putus Asa Bukan Jalanku!

Selalu aku melihat ke langit, ternampak matahari. Rupanya matahari yang aku lihat selalu, itulah sembah sujud firaun suatu ketika dahulu...

Oh, begitu setia engkau matahari!

Itulah sunnatullah. Tertib dan putaran alam ini tidak pernah melanggari ketentuanNya. Andai alam ini boleh bertutur kata, maka merekalah saksi utama sejarah segenap manusia!

Jika Allah mengawal alam ini dengan tertibnya, begitu jua Dia yang mengawal hati-hati manusia.

Cuma bezanya manusia itu pilihan Allah yang terbaik. The best creation ever. Manusia sentiasa diberikan jalan untuk memilih. Dan Allah turunkan petunjuk dan pedomanNya untuk manusia memilih jalan yang diredhaiNya.

Maka tidak mustahil juga manusia itu lari jauh dari kebenaran. Kerana Allah yang mengawal hati-hati manusia itu bukanlah bermaksud semata-mata mengawal ke arah kebaikan, tetapi Allah juga berhak menyesatkan sesiapa yang Dia mahu.

"Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak seorang pun yang dapat memberikan petunjuk baginya."

[Al-Quran 13:33]

Maka terpikul satu amanah diri yang besar bagi seorang mukmin, untuk dia sentiasa tsabat (teguh) dan istiqomah pada jalan yang benar, jalan yang dicurahi rahmat dan petunjuk Allah.

Hidup ini tidak pernah lari dari ujian. Boleh disapa mehnah itu dimerata jiwa kita, dan fitnah itu bukan lagi asing untuk kita perolok-olokkan.

Itu sunnatullah.

Namun bila kita berjalan diatas jalan ini, bukan bermaksud jalan untuk keseronokan dan kebanggaan kerana kita membawa hati-hati bagai seorang artis yang teruja dengan peminat-peminatnya. Bukanlah atas dasar itu kita membina ukhuwwah dan menyemai benih tarbiyyah.

Tapi kalau kita tahu tujuan mutlaknya maka tidak lain kita akan mengeluh, gusar, sedih, pudar dan luluh. Sebab bila kita betulkan tujuannya, tidak mustahillah ujian itu datang menjadi rakan karib untuk kita harungi bersama.

Akhirnya kita faham. Ujian Allah itu perlu dalam mendidik sejauh mana kita ingin terus berada dalam jalan redhaNya.

Engkau du'at yang faham. Engkau du'at yang tahu perananmu membina syakhsiyah Islamiyah ad-Da'iyah. Maka langkah-langkah itu engkau selusuri, hingga engkau membina suatu proses yang muntij. Itulah yang membawa kecemerlangan dalam segenap era da'wahmu.

Namun du'at engkau harus faham. Bukan kehebatanmu yang membuka jiwa-jiwa yang pernah lara dan leka. Yang kini menjadi seorang yang unggul dan gah melalui onak-onak api dunia. Segalanya itu dari Allah jualah kehendaknya. Mudah bagiNya mengatur alam, apatah lagi jiwa kerdil manusia!

Jadi usahlah engkau berputus asa!

Bukan selamanya engkau du'at yang tenggelam dalam rasa sedihmu itu akan terus sebegitu. Da'wah yang tidak laku, tiada orang mendengarnya, malah diejek hina, dicerna binasa. Dikatakan engkau sesat membawa mudarat. Itu bukan urusanmu untuk menghukum mereka, kerana bukankah engkau tahu, hidayah itu bukan engkau yang memancarkannya, tapi adalah ia Pemilik tunggal kerajaan alam ini.


Kalau bukan matlamat yang engkau dapati, semestinya syahid itu pengakhirnya nanti.


Cuma bergeraklah, dan teruskanlah bergerak bersama deruan arusnya.


Aku hairan melihat mereka yang berkata:

"Kau degil di dalam cita-cita memelihara idealisme yang tinggi dan pendakian yang sukar. Berhentilah disini. Janganlah engkau bersusah payah dengan hanya menyemai benih di bumi yang kontang"

Aku berkata kepadanya: "Tunggu! Putus asa bukan sikapku!"

"Akan ku tabur benihku di bumi dan buahnya hanya dari Tuhan. Apabila aku telah sampaikan risalah ini dengan bersungguh-sungguh, kemudian aku tidak dapati yang menyahutku, apa dosaku?"

Yusof al-Qaradawi