Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts
Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts

Sunday, September 25, 2011

Ukhuwwah Yang Abadi

Rasulullah s.a.w sangat memberikan perhatian yang tinggi ke atas cinta dan ukhuwwah.

Ketika kaum Muslimin menderita kekalahan dalam perang Uhud, meskipun sempat memenangkan perang sebelumnya, kaum Muslimin kehilangan 70 parajuritnya.

Di antaranya adalah Hamzah, paman sekaligus saudara sesusu Rasulullah s.a.w. Di samping korban luka parah dan lainya, kekalahan itu disebabkan ketidakpatuhan mereka terhadap perintah Rasulullah s.a.w. Rasulullah yang ketika itu berusia 57 tahun, menderita luka pada bahagian paha dan kepalanya. Semuanya merasakan kepedihan dan keletihan teramat, serta luka yang mendalam....

Dalam kondisi yang sukar ini, kaum Muslimin harus menggali perkuburan untuk memakamkan para syuhada yang gugur. Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat agar menguburkan 2 syuhada dalam satu liang lahad. Mereka melakukannya meskipun teramat dalam luka yang mereka rasakan kerna kehilangan 70 para sahabat yang syahid.

Ketika pemakaman berlangsung, para sahabat dikejutkan dengan arahan daripada Rasulullah s.a.w yang meminta supaya mereka berhenti.

"Mengapa harus kita berhenti, ya Rasulullah? Kami hendak menyelesaikannya. Kami sangat letih dan hendak beristirehat di rumah" protes sahabat.

"Carilah Amr Bin Jamuh dan Abdullah Bin Harram dalam antara sahabat yang gugur" perintah Rasulullah.

"Mengapa ya Rasulullah?" Sabahat bertanya.

Rasulullah menjawab, "Kebumikan mereka dalam satu liang. Mereka adalah 2 sahabat yang saling mencintai selama mereka di dunia". (HR Ibnu Sa'd dalam Thabaqat al-Qubra, rujuk 3/106).

Selawat ke atas mu ya Rasulullah s.a.w. Baginda yang memahami betul bahawa jiwa yang telah saling kenal, dan hati yang telah lebur dalam taat dan cinta kepada Allah, tidak dapat dipisahkan meskipun oleh sebuah kematian. Kelak kedua sahabat yang saling mencintai itu akan dibangkitkan bersama dari liang lahad yang sama.





Ahmad Ramdan Zainordin
25 Sept 2011 9.38am
Volgograd, Russia.


Monday, July 19, 2010

Ikhtilat : Antara Adat dan Syari'at

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu”

Al-Baqarah : 208

Penulisan ini hanyalah kesinambungan daripada entry saya sebelum ini yang bertajuk Fitnah Dalam Fitrah. Saya rasakan tajuk ini sangat sukar dan rumit untuk menulis tentangnya. Mengambil masa yang lama, menilai dari segenap sudut, tentang apa itu ikhtilat.

Fiqh Ikhtilat boleh jadi fiqh semasa, kerana ikhtilat ‘hidup’ dengan mengembang biak menuruti masa. Sekarang sudah tidak lagi ditolak, bahwa ikhtilat itu adalah racun perosak yang utama dalam menghancurkan pegangan syari’at, apatah lagi jika ia melibatkan jalan kerja da’wah, para du’at.

Ikhtilat (atau percampuran lelaki dan perempuan ajnabi) yang diharamkan pada pandangan syarak ialah ikhtilat yang membawa kepada perkara haram seperti zina atau muqoddimahnya, terutama sekali fitnah.

Fitnah terhadap jalan da’wah, adalah satu keburukan yang sangat dahsyat. Fitnah boleh membiak menjadi maksiat, mengundang pandangan jelik manusia pada isi da’wah. Maka tidak mustahil, mengapa kemaksiatan ini boleh menghalang suatu kemenangan.

Seorang lelaki yang menghormati seorang perempuan ajnabi yang dianggapnya sebagai kakak, dan seorang perempuan ajnabi yang lebih muda yang dianggapnya seperti seorang adik. Ini namanya adat. Ia bagus, kerana ia mengajar aspek menghormati, biarpun antara lelaki dan perempuan.

Akan tetapi, bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggapnya sebagai kakak tersebut? Dan bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggap adik itu? Ya, kerana mereka bukannya mahram. Dan ini pula namanya syari’at.

Ramai yang tidak sedar, betapa kebida’ahan minda sekian lama telah meletakkan syari’at jauh terkebelakang daripada adat. Masakan ibadah lain juga telah di transformasi menjadi adat, yang dipegang erat tak mahu dilepaskan!

Saya yakin, seorang muslimah yang teguh jati pegangan da’wahnya, tidak akan memandang dan menagih teguran-teguran ‘hormat’ daripada seorang lelaki. Seorang da’ie penting untuk menjaga soal ikhtilat, soal berbicara dengan mereka yang bukan mahram supaya tiada lohong-lohong fitnah yang merosakkan etika da’wah.

Ini bukan bermaksud bahwa ikhtilat ini membina tembok tinggi mengasingkan lelaki dan perempuan, tetapi seperti maksud ikhtilat di atas, yang diharamkan ialah ikhtilat yang mengundang zina dan fitnah.

Orang lain memerhatikan kita. Apatah lagi pada zaman yang serba moden ini, dengan laman-laman sosial seperti Facebook misalnya, semakin menggila menampakkan ikhtilat yang menghancurkan. Kuasai dan halangi diri daripada berbicara sesuatu yang tiada faedahnya, apatah lagi jika ia disaluti kata-kata yang dilunakkan, dimanja-manjakan, biarpun kepada seseorang yang dianggap sebagai ‘adik’, mahupun sebagai ‘kakak’. Mereka bukan mahram!

Ukhuwwah itu manis nilainya. Jalan da’wah ini mengajar kita untuk membina itsar, menerbitkan rasa kecintaan pada ukhuwwah. Tapi ia ukhuwwah antara kita seikhwah, dan ukhuwwah antara mereka sejiwa muslimah. Bukan ukhuwwah khusus antara seorang muslim dan muslimah, kerana ia pelik tafsirannya. Jika kita masih jahil, tiada usaha untuk memahamkan diri, maka tidak mustahil ia membentuk satu masalah yang lebih kronik, iaitu cinta ‘anta-anti’, laksana duri dalam daging, api dalam sekam.

Maka apakah pantas orang yang dijadikan terasa indah perbuatan buruknya, lalu menganggap baik perbuatannya itu? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Maka jangan engkau (Muhammad) biarkan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat

Fatir : 8

Sewajarnya kita memilih sesuatu yang meletakkan kita jauh daripada anasir kemaksiatan. Setiap perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. Kaedah ini namanya Saddu al- Zaraei (menutup jalan kejahatan). Masakan Allah s.w.t mengharamkan bukan sahaja zina, malah menegah daripada menghampirinya.


Wednesday, May 19, 2010

Lelaki yang benar-benar kuat!

“Aku tengok Danny tu makin teruk la sejak dia berpisah dengan Najwa..”

“kenapa?”

“Yelah..dulu kalau Najwa ada,,boleh tolong nasihatkan dia sikit..”

Banyak cantik.

Senang betul pemikiran lelaki zaman sekarang.

Seorang lelaki,akan jadi ‘baik’ kalau ada awek disampingnya

Atau, seorang perempuan, akan menjadi asbab perubahan seorang pria yang sepi.

Apa neraca perubahan kita? Rabbani? Manusiawi?

“Hrm..tapi kalau aku cakap dengan Najwa pun..tak ada gunanya kan..”

“ye aku tau..”

Tau takpe.

“Sebab bukan ada tanggungjawab apa pada dia.. kalau perempuan yang menasihat ni, lain macam jadinya.Aku rasa, lebih baik kalau kawan2 lelaki sendiri yang tegur..”


Unit kecil bernama usrah

Satu unit kecil, dibentuk oleh orang2 yang besar jiwanya.. dibina oleh individu2 yang kental cita-citanya..

Yakni, membentuk individu muslim yang beriltizam dengan islam.. membina rijal yang akan mendokong sebuah dakwah di jalan Allah, sebagai penyambung generasi ummah dalam perjalanan menuju ustaziyatul alam.

Mereka ini, adalah individu yang mujahadah nya tinggi melawan nafsu dunia. Tarikan gravity bumi tidak sekali melemahkan tenaganya untuk turbo ke kerajaan langit, lantas melihat dunia dari jendela akhirat!

Adanya murabbi..untuk sentiasa menegur.Dialah bapa untuk dicurahkan kasih sayang, dia jugalah syeikh yang menyuapkan makanan ruh, dia ustaz yang menta’lim, dia juga sebagai pemimpin yang menunjuk ajar.

Murabbi itu,berlegar di hati.. bukan di akal sahaja.

Kerana tarbiyah kita,adalah tarbiyah hati. Hati yang di dalamnya ada iman. Iman yang dapat melawan perkara yang disukai oleh nafsu.

Dan buatkanlah untuk mereka,perumpamaan kehidupan dunia ini,ibarat air (hujan) yang Kami turunkan dari langit,sehingga menyuburkan tumbuh-tumbuhan di bumi,kemudian (tumbuhan itu) menjadi kering yang diterbangkan oleh angin.. Al-kahf; 45

Usrah…bukanlah sekadar duduk-duduk dan berbincang kesalahan orang lain, juga bukan hanya dihadiri kerana hormatkan ‘senior’, tidak pula membuahkan amal. Malah, setelah naqib tiada, masing2 membawa hala tuju sendiri..hanyut…sepi….gersang……

“Aku nak berhenti merokok”

“Betul,kau kena mujahadah..”

“Ha’ah..tengah cuba lah ni”

“Lelaki ni kan, kalau mujahadah pun tak lepas…tak kuatlah”

-diam-

“Ish, tajam sungguh kata-kata kau ni”


Mujahadah melahirkan seorang rijal

Apa yang menjadikan seorang lelaki itu kuat?

Dia pelari pecut 100m secepat 9.58 sec? (eh,ni macam Usain Bolt)

Dia striker team futsal? Atau defender mungkin?

Dia yang patahkan papan dalam taekwondo?

Dia hafal semua jurus silat & kombat, bertali pinggang harimau cula tiga?

Namun…

Ketika bermujahadah untuk berhenti merokok.. dialah yang pertama katakan ‘susahlah…’

Janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri 2;195

Ketika diajak teman rapat untuk clubbing dan melepak di kelab snuker..

Dialah yang paling cepat angkat tangan

Dari Abu Hurairah r.a katanya: ” Telah bersabda Rasulullah SAW : ” Sebaik-baik Islam seseorang itu adalah peninggalannya tentang apa yang tiada kena mengena dengannya. “

Ketika dirinya bersendirian tanpa teman perempuan, atau ketika dia putus cinta…

Dia gersang, hilang arah.. ditangisi nasib bak anak2 kecil..

Hilanglah dunianya…

Hilanglah nafasnya..

Hilanglah kekuatannya…

Ketika melintas seorang wanita dihadapannya, hampir terkeluar bola matanya mengintai!

Rasulullah yang mulia dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, di mana beliau bersabda,

“Tidak pernah kutinggalkan sepeninggalku godaan yang lebih besar bagi kaum lelaki daripada wanita.” (HR. Bukhari Muslim)


Apa macam? Anda rasa anda kuat?macho?

Mujahadah dah lepas?

Bapak-bapak seaqidah…

Muslimah memerlukan seorang lelaki yang soleh untuk membentuk dirinya. Lelaki yang juga seorang rijal, yang mujahadahnya mantap.. ruhbanu billayl, fursanu bin nahar..

Bukannya kami yang perlu membentuk diri kalian.

Bukannya hanya kami yang berusaha ditarbiyah, kalian hanya mencedok hasil tarbiyah kami..

Bila nakkan isteri nak yang solehah saja…

Beginilah, muhasabah diri kita..

Tarik nafas..buang ego jauh2…

Kembali pada unit kecil tadi..usrah.

Bentuk keluarga anda sendiri.. ya,keluarga yang semuanya lelaki.

Jalinkan ukhuwwah islamiyah yang mantap

Saling tegur menegur..saling bermujahadah menjadi lelaki yang BENAR-BENAR KUAT

Dan kami akan memanggil anda ikhwah..

Da’i di jalan Allah

Soleh wa mosleh

Selamat bermujahadah

wassalam,

Dari seorang muzakkirah

p/s: Saya bukan anti-lelaki ya.. hanya berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran..

Moga bermanfaat iAllah


Dipetik daripada Muslim Circle

Thursday, May 13, 2010

Ada yang kuat, Ada yang lemah

"Kalau tak kuat, jangan pulak lembik selembik-lembiknya.
Kalau dah kuat, jangan merasai diri kuat sangat"



Approach (uslub) dakwah pelbagai. Semuanya memberi nilai tambah bagi da’wah.

Cuma dalam da’wah, ada yang dinamakan amalan nilai tinggi (amal qawiy) dan juga amalan nilai rendah (amal dhaif).
Contoh amal qawiy ialah da’wah fardiah yang membawa kepada pembinaan qaidah sulbah (kader inti) melalui saranan-saranan tarbiyah yang ditetapkan. Yang mana proses takwin dapat dipantau dan ditingkatkan.

Contoh amal dhaif pula ialah ceramah-ceramah umum, menulis blog, facebook dan pelbagai lagi yang seangkatan, yang berfungsi sebagai nasyrul fikr (menyebarkan fikr) di mana kita tidak dapat memantau dan meningkatkan audiens kita ke tahap qaidah sulbah.

Kedua dua amalan ini saling melengkapi, tidak berseberangan, tidak berpisahan Cuma sahaja, di dalam kehidupan da’wah kita, kita harus menumpukan perhatian kita lebih kepada amal qawiy tersebut.

Sebagai sebuah jemaah da’wah, boleh dinisbahkan, yang paling ideal ialah 70% amal qawiy dan 30% amal dhaif.

Da’wah kita, da’wah robbaniyah. Wallahu’alam.



p/s Entry kali ni ringkas aje, mood posting neurology dan exam mood. Kepada ikhwah2 yang dicintai (terutama Akh Ahmed & seangkatannya) semoga berjaya exam ye..kita usaha, then doa, pastu tawakkal, ok? Uhibbukum fillah!



"Kami tak besar dan kami tak kuat
Bila berkerjasama, semua jadi mudah"


Wednesday, May 5, 2010

Ukhuwwah selamanya!


Ukhuwwah kita atas dasar iman
Bukan kerana 'Halaqah Kau dan Aku Sama'
Bukan juga 'Aku ada Halaqah, Kau Tiada'
Moga ukhuwwah yang terbentuk ini membawa ke jannah




Hak-hak Umum Ukhuwwah Islamiyah

• Mengucapkan salam
• Menjawab salam
• Menjenguknya jika sakit
• Mengiringi jenazahnya
• Memenuhi undangannya
• Mendoakan jika dia bersin• Benar dalam bersumpah
• Menolong jika dia zalim / menzalimi
• Memberikan nasihat
• Membuang kesulitan / kesusahan daripadanya
• Membantu jika dia dalam kesusahan• Menutupi aibnya
• Menjauhkan diri dari sifat dengki, sakiti hati, benci, zalim dan sombong





p/s Sambil itu nak promote 'Rehlah Kita' untuk antum semua. Isnin ini, 10hb Mei 2010. Jumpa di Hostel Hiroshima jam 8.30 pagi ye? Ukhuwwah fillah!

Tuesday, December 22, 2009

Ukhuwwah Itu Cinta

Bila menyebut tentang cinta, tidak lain ramai yang membayangkan tentang percintaan dua jantina – lelaki dan perempuan. Ada juga yang akan merenung sebentar memutar fikiran, dengan tujuan agar dapat memberikan jawapan selain daripada fikiran orang ramai tentang apa itu cinta. Mungkin juga yang terkeluar dari mulut fikiran mereka – cinta itu sayang mak ayah, cinta itu sayang dan ikut sunnah Rasulullah, dan tidak lain juga, ada yang berkata cinta itu cinta teragung kepada Allah!


Ya, semua jawapan itu betul. Tapi saya amat tertarik untuk berkongsi penulisan ini yang berkisar tentang hakikat sebuah cinta atas nama titian ukhuwwah. Bila menyebut tentang ukhuwwah, pasti pula yang terbayang adalah sahabat dan rakan-rakan disekeliling bukan? Ukhuwwah itu sangat besar pengertiannya, tapi saya fokuskan ukhuwwah pada nama cinta itu kepada pengertian yang lebih mudah difahami – cinta pada sahabat.


Mungkin kita selalu dengar ayat-ayat perbualan seperti ini:


“luv u so much!”


“syg awk! Miss u so much!”


“Jumpe lg nnti eyk!? Miss u!”


“luv u 2..muuahh!”


Beberapa ayat perbualan diatas ini sering kali kita jumpai, samaada di web-web sosial seperti Friendster dan Facebook, malah juga jika ‘terbaca’ mesej pada handset kawan kita yang lain, atau tidak terkecuali kita sendiri yang lebih arif dengan ayat-ayat ini! Bukanlah menyindir, tetapi mungkin ayat-ayat ini perlu lebih dilengkapkan lagi, boleh jadi seperti ini:


“luv u so much!” kata Munirah kepada Syuhada..


“syg awk! Miss u so much!” kata Nurul kepada Latifah, sambil memeluk erat rakannya itu.


“Jumpe lg nnti eyk!? Miss u!” jerit Izzah kepada Nor sambil melambai, penuh keakraban.


“luv u 2..muuahh!” kata Siti sambil memimikkan ciuman kepada Azizah, sahabat lamanya…


Itulah yang dimaksudkan. Kita menilai erti lafaz sebuah cinta dalam skop yang begitu besar. Dan inilah lafaz cinta pada ukhuwwah iaitu mencintai sahabat kita yang lain, menyayangi mereka sebagai kekasih hati yang akrab dan memahami. Saya kagum dengan kehidupan kaum Hawa itu sendiri, terutama golongan wanita muslimah yang hidup dalam serba-serbi indahnya ukhuwwah yang terpancar. Mereka bersalam dan berpelukan, memegang erat tali persaudaraan dengan utuh dan penuh kemesraan. Maka tidak mustahil juga bagi mereka berkongsi hati, mencoret nurani dengan kisah hidup mereka yang boleh saling dikongsi. Hati mereka yang terikat atas nama ukhuwwah Islamiyyah itu saling mengerti, tidak terlintas sesaat jua pandangan mata yang saling melihat dan mendalami. Itu yang ada dalam ciri muslimah sejati, yang memiliki teman yang sentiasa mendahului daripada mereka mencari cinta yang tidak punya erti, iaitu cinta seakan monyet yang bergayut dari dahan ke dahan, entah ke mana halatuju yang dicari. Andai tiada ciri perkakasan ini, jangan salahkan hakikat cinta itu sendiri, tapi renungkanlah sejauh mana kita menilai sahabat yang kita miliki.


Sahabat bagaikan sebutir mutiara. Yang menggilapkannya adalah ukhuwwah. Bukan calang-calang ukhuwwah, tapi ukhuwwah yang maksimum utuhnya, pegangan yang tidak gentar putusnya, dan terlekatnya hati mereka dek kerana Iman yang manisnya seperti sabda Baginda Muhammad s.a.w:


ثلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الايمان:أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما وأن يحب المرء لا يحبه الا لله وأن يكره أن يعود فى الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف فى النار".

متفق عليه

Daripada Anas r.a:


Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman. Seseorang itu menjadikan ALLAH dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya, seseorang yang tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan seseorang yang membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka."


Muttafaqun ‘alaih.


Mengapa saya menyentuh soal manisnya ukhuwwah hanya pada wanita? Mungkinkah eratnya ukhuwwah ini tidak wujud dalam golongan Adam? Bagi saya tidak. Ukhuwwah itu adalah nikmat pemberian Allah untuk sekalian hambaNya. Cuma bagi saya, golongan Adam tidak mungkin mahu melafazkan kata-kata perbualan seperti diatas! Agak janggal bukan?!


Untuk gologan lelaki, jiwa mereka ada sedikit bezanya. Mereka tidak akan terus menilai dan mencari-cari teman untuk dijadikan sahabat yang sejati dan peneman yang setia disisi, tapi bagi mereka yang lebih utama itu adalah tuntutan mencari wanita sebagai kekasih hati. Malah amat rugi sekali, andai kita lupa dan tidak langsung mengambil iktibar tentang eratnya ukhuwwah yang terbina dalam diri para Sahabat bersama Rasulullah s.a.w.


Lelaki itu ada egonya dalam diri. Mungkin mencari sahabat itu bagaikan tiada ‘class’ dan lebih dianggap dan ditohmah dengan fikiran yang bukan-bukan oleh orang lain. Dan apabila masa terus meningkat, jiwa yang gusar dan menggelodak akhirnya akur dengan tuntutan nafsu, mengejar dan mengangkat cinta sebelum akad, maka terciptalah perjalanan mendekati zina yang setiap langkahannya pasti tercatit amalan durhaka.


Sahabat itu andai dia disisi, bukan pula untuk sekadar bergelak tawa, tapi dialah yang memahami dan setiap renungannya mampu mentakrif apa dihati ini. Sahabat itu bila dia disakiti, dia akan ‘pergi’, dan perginya itu bukan meninggalkan diri ini, tapi mencari erti rindu dikala jauh menyepi…dan dia akan kembali dan menyapa, kerana dialah sahabat yang sejati. Sahabat itu tidak pernah luntur doanya untuk ukhuwwah yang terbina, biar kadang-kala kita tidak memahami akan dia mendoakan kita, kerana cukuplah persahabatan dan cinta ini terbentuk atas pengetahuan Allah semata-mata.


Dalam perjalanan hidup yang jauh ini, Allah mengurniakan kita nikmat ukhuwwah yang besar teramatnya, atau mudah difahami sebagai ramai kawan disekeliling kita. Namun, ukhuwwah itu tidak akan bermakna, andai kita tidak sedikit pun mengambil peluang membina cinta bersama atas namaNya – iaitu cinta pada sahabat dan berjuang menuju cintaNya pula.



Sahabat, mungkin dia tidak pernah mengerti bahawa kita mencintainya, kita menyayanginya lebih dari kita menyayangi diri sendiri. Tetapi ingatlah, Allah lebih memahami setiap sudut hati ini, dan Dia lebih mengetahui bahawa kita sebenarnya pemilik ukhuwwah sejati. Carilah sahabat yang bukan sekadar menemani, tetapi jua meniti jalan hidup ini menuju cinta Allah yang hakiki. Dan dengan yang sedemikian itu, abadilah cinta kurnianNya pada perjalanan sebuah ukhuwwah sejati.



Wednesday, January 28, 2009

Hanya Satu Permintaanku...

Bila kita berjauhan;
Allah jualah yang menjarakkan ...
Bila kita suram kesepian;
Kasih itulah yang menghubungkan ...
Mengapa sering kita terluka?
Mengapa selalu kita terdiam bicara?

Tidak ada yang lain,
Selain ada CINTA antara kita ...

Bila kita memilih jalan;
Antara percintaan dan persahabatan,
Kedua-duanya jangan dipisahkan,
Kerna seikhlas sebuah persahabatan,
apabila bercambah cinta didalamnya ...

Hanya satu permintaanku ...
Bila kita saling berduka ...
Allah tetap bersama kita ...
Kembalilah kepadaNya ...
agar kita lebih mengerti dan memahami;
ertinya kasih antara kita...


" Apabila mencari teman untuk keperluan akhirat, perhatikanlah agamanya;apabila mencari sahabat untuk keperluan dunia, perhatikanlah budi pekertinya"
~IMAM AL-GHAZALI~

Sunday, January 25, 2009

Harapan Kita Bersama

Adik,



Ingatkah kita? Bila kita mula bertemu bertentang mata..memancar sinar ukhuwwah yg saling mengikat mesra. Tatkala langkahmu adalah langkah permulaan, di awal sebuah perjuangan yang masih samar..kita bersama membina kekuatan... Dari situ kita terus melangkah, dan melangkau jauh, hinggalah kini ...kita bersama mengenali hati, mendalami lautan kasih ini sedalam kalbu nurani....



Namun adik, adakalanya kita diuji..dikala inilah kita goyah... namun goyahnya itu tidak akan sedikitpun melunturkan ukhuwwah...kerna kita telah membinanya, dengan pegangan dan genggaman yg cukup erat..antara kita..



Ingatlah adik, bila dirimu diujiNya, janganlah sesekali berpaling, namun teruskanlah melangkah... jangan sesekali kaburi masa depanmu dengan tusukan nafsu dan bisikan berduri syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kita yang nyata..

Ingatlah adik, hidup ini hanya sekali, hidup ini hanya sementara. Jika ditakdirkan kita 'pergi' esok, mahupun selepas ini, pastikan kita sentiasa bersedia untuk itu... Lengkapi dirimu dengan keanggunan akhlak, sematkan jauh disudut hatimu dengan benih taqwa dan iman. Adik, bila kita bersama diujiNya, ingatlah, kita tetap bersama mengharunginya... Dirimu tidak akan keseorangan, tidak akan bersendirian.

Biarlah diri ini dihina, biarlah airmata ini terus mengalir, namun percayalah adik, ukhuwwah kita kerana Allah...tidak ada yang lain selain daripadaNya...

Sekiranya kita tersalah tingkah, seribu kemaafan dipinta dan percayalah adik, dirimu tidak pernah tercoret kesalahan, dalam kita membina titian ini bersama..


Hadith Rasulullah s.a.w:

"Tidak sempurna iman seseorang itu, selagi dia tidak mengasihi saudaranya, sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"
Riwayat Bukhari & Muslim

Saturday, January 10, 2009

Dengarlah adik...

Benar adik ...
Aku telah pulang.
Dengan syahadah kesyahidan yang masih belum layak untuk aku miliki.
Walau bagaimanapun ...
terima kasih ...
kerana sudi mengizinkan debu-debu langkah-langkah jihad kalian menyapa tubuhku.

Benar adik ...dalam keadaan sekeliling menyesakkan ...
membuatkan kita salah tingkah.
Tetapi percayalah ...
tiada keadaan lain yang lebih baik dari ini ...
... dan Allah maha lebih tahu ...
untuk kita lebih tsabit dan istiqamah dalam jalan ini.

Adik ...
Aku yang memohon ampun dan maaf.
Percayalah ...dan aku yang berjanji ....
.. kalian tidak pernah dan tidak akan pernah ada salah terhadapku ....
.. atas segala kekurangan dan kelemahan diriku.
Mohon percayalah ...
tidak ada yang aku lakukan dan tidak lakukan ...
melainkan kerana aku terlalu cinta.

Benar adik ...
inilah cerita cinta kita ...
sejarah akan merakamkan
...dan biarkan mereka membacanya
...semoga akan ada pengajaran untuk semua
...dan pasti akan ada pahala yang akan mengalir percuma untuk kita.
Yang ...
... kita yang pernah senyum tertawa dan kemudian bermasam muka.
... kita yang pernah bercerita ria dan kemudian bertelingkah murka.
... kita yang pernah bergembira ria dan kemudian bermuram durja.
... kita yang pernah bertemu girang dan kemudian bertemu malu menyapa.
... hati-hati kita yang pernah bergetar rindu dan kemudian bergemuruh resah.

Hanya kerana .
..ada cinta di antara kita.

Adik ...
di sela kesempatan dan masa ...
... aku yang berjanji akan berjuang untuk itu ...
dan Allah pasti akan membantu.

Kerana terlalu cinta
...aku yang terlalu rindu,

Abang...

Tuesday, September 30, 2008

Berlapang Dada; Ukhuwwah Di Mata Kita?

Ramadhan bermaksud 'PANAS'

Namun kepanasan itu pastinya dari tafsiran bahasa. Panasnya juga pastinya 'hot', bukan dengan tayangan2 pencangkir dosa2 mata dan telinga, tapi dengan ibadah dan taqarrub towards Him.

Dihujung Ramadhan ini, memang satu penantian yang mendebarkan...iaitu menunggu tibanya saudara2 baru kita ke bumi Russia ini ( adik2 1st maksudnya ). Debaran ini entah mengapa terasa begitu hebat tusukannya, sehingga menutup debaran kita pada Syawal yang menjelang.

Subhanallah, itulah nikmat kayanya ukhuwwah, biarpun masih belum lagi bertemu saudara2 baru itu, namun hati ini seperti sudah terikat kukuh. 27hb September(tak silap ana), sangkaan ana bahawa mereka akan datang awal dan sempat berbuka bersama tidak berapa tepat. Mereka hanya tiba dalam jam 9 malam. Malam itu angin musim luruh agak mendinginkan...

Ana setelah selesai terawikh dan tazkirah, mendengar pengumuman ketibaan mereka, seperti ketibaan 'putera puteri kayangan'. Ana hanya menunggu mereka di floor ana saja, sebab ramai sangat menunggu di luar. Di floor ana bakal ada ramai juga 1st year, ana nak tahu mereka lebih dekat. Ana sudah lama mengatur langkah da'wah fardhiah, dan disaat itulah ana terus memulakan langkah itu........

Dari wajah2 mereka, memang kurang keceriaannya(mungkin mereka terlalu penat). Inilah permulaan ukhuwwah yang suci, apabila kita mula berkenalan, bersalaman, dan bertegur. Ana berharap, akan ada mereka yang memahami akan dalamnya erti da'wah dan tarbiah itu. InsyaAllah. Di floor ana, salam perkenalan ana hulurkan kepada Aizzat, Firdaus, Khairi dan Anuar. Yang lain2 ana masih belum berkesempatan nak berjumpa, malah ada yang tinggal sementara di hostel lain kerana ada floor yang sedang di'repair'.

Apa2pun, ana bersyukur, apabila kita dipertemukan. InsyaAllah, ukhuwwah ini fisabilillah, merekalah adik2 ana yang ana sayangi. Da'wah ana ini masih perlu lagi diteruskan, malah baru saja bermula... 'Berlapang dada'lah kita dalam permulaan ukhuwwah, sehingga ke puncak keindahannya, apabila kita mengutamakan mereka yang lain lebih daripada diri kita sendiri...

'Ya Allah, aku mohon kekuatan dan kecekalan daripadaMu! Pereratkanlah jalinan yang terbina ini, kekalkanlah ia walaupun sesudah kami pergi..'

Wednesday, September 10, 2008

Cahaya Itu Terang, lagi Benderang!

Agak begitu lama ana tidak menulis. mungkin terlalu 'shock' dengan lifetime 3rd year di sini.. maklumlah, tahun terakhir pengajian pre-clinical years..memang tersangat mencabar.. itulah sebenarnya yang merisaukan, apabila dunia dikejar dan akhirat yang masih terkapai2 memanggil..


Permulaan hidup baru ana bagaikan baru sahaja bermula..inilah kali pertama ana hadir ke usrah Abg. Fadhli, kerana sebelum ini ana hanya menyertai usrah diluar hostel. Semua ini bagaikan petunjuk dariNya. Dialah yang mengatur setiap pertemuan dan menentukan ajal pengakhiran. Ana memang sudah merasai bahang da'wah fardhiah yang dibawa abg Fadhli kepada ana. Apatah lagi time abg Fadhli menyapa ana di masjid, malah dia menawarkan diri untuk membantu ana mengangkat barang2 waktu ana pindah masuk semula ke hostel nanti. Tapi ana menolak, ana tahu tawaran itu murni, tapi biarlah ana sendiri yang memilih jalan. Memang telah ana harapkan untuk turut serta dalam usrah Abg. Fadhli..tapi sebenarnya ana menunggu pelawaan abg Fadhli.


Beberapa hari lagi tinggal untuk ana pulang ke Malaysia, semester sudah berakhir. Masa yang tinggal ini ana tetap menanti 'jemputan' itu... Allah itu Maha Bijaksana, ana terdengar perbualan abg. Fadhli dengan seorang lagi mas'ul pasal daurah ketika cuti summer nanti. Dari situlah ana mula mengambil peluang, dan ana terus disapa oleh abg Fadhli lalu diajaknya sekali ke daurah. Ana hanya berkata 'insyaAllah', dalam hati ana "Ya Rabb! setelah Engkau menunjukkan aku jalan yang benar, janganlah Engkau pesongkan hati ini..." Cahaya da'wah itu terang, malah lagi benderang..



Thursday, August 21, 2008

Antara Tabah dan Taat; Bukan PilihanNya Untuk Diriku

GEMBIRA sungguh rasa hati ini setelah 3 hari 2 malam berdaurah di Serdang, Selangor (kurang pasti nama tempatnya). Biarpun secara sederhana, tapi manfaatnya amat besar bagi diri ana.
Cuti summer kali ini memang agak lain sedikit berbanding cuti summer sebelum ini, sebab ana lebih banyak berazam untuk fokus pada kerja dakwah dan tarbiah. Tapi, antum semua pun tahu kan..semakin hati ini ingin dekat kepadaNya, semakin kuat pula ujian yang menimpa..selepas daurah, memang ana berazam ke mukhayyam(camping) di Sg. Congkak..tapi Allah itu Maha Berkuasa.
Beberapa hari sebelum ana bertolak, tiba2 muncul dalam naluri hati ini rasa kasihan untuk meninggalkan ibu yang ana kasihi. Ibu ana kerap diserang lelah dan semput, namun riak wajahnya seperti dia tidak mahu berkongsi keperitan itu bersama yang lain..namun ana sebagai anak, ana mengetahui, walaupun tidak sepenuhnya. Bila ana menyatakan hasrat untuk ke mukhayyam, dia membenarkannya (tapi ana tahu dia keberatan untuk melalui hidupnya tanpa ana biarpun hanya 5 hari).
Sebenarnya, selepas ana pulang semula ke Russia hujung bulan ini, ibu ana akan tinggal keseorangan di rumah, kerana abg2 ana yang lain sudah berkahwin, dan ayah ana pula menetap dan bekerja di Melaka. Jadi, ana pun ingin memanfaatkan sisa cuti yang tinggal ini bersama ibu yang disayangi.
Allah Maha Pengasihani, Dia menguji perasaan ana, sampai ke puncaknya, apabila di pagi hari sebelum ana bertolak, setelah semua kelengkapan telah siap sedia, tiba2 ana terduduk, sebak. Ibu telah pun pergi bekerja di hari itu, tapi ana tidak sempat bersalam dan mencium tangannya kerana ibu keluar awal ketika ana masih tidur...perasaan ini semakin mencengkam, apabila melayang difikiran ana wajah ibu tersayang... Ana redha dengan ketentuan Allah...ana yakin pasti ada hikmah yang besar disebaliknya...ana batalkan hajat ke mukhayyam, kerna ana tahu, bahawa ana masih belum mampu berkorban demi CINTA kepadaNya..

Ya Rabb, berilah diri ini KEKUATAN, TARBIAHlah diri ini, janganlah Engkau menguji diri ini, dengan ujian yang tidak termampu untuk ku tanggung...