Sunday, February 21, 2010

Istikharah Cinta

“Saya masih belum berkahwin. Tapi saya berazam untuk berkahwin. Buat masa ini, biarlah saya bercinta dahulu. Tapi saya akan berkahwin nanti. Mungkin bukan sekarang, tapi saya berazam untuk berkahwin juga. Supaya pasangan saya tidak lari, dan supaya dia tahu bahwa saya sangat mencintainya, biarlah kami bercinta dahulu buat masa ini. Tapi kami juga ingin berkahwin, dan kami berazam untuk itu. Tapi mungkin bukan sekarang, insyaAllah nanti…”



Istikharah – bermaksud meminta Allah memberikan ilham, dalam kita membuat pilihan dalam pelbagai perkara dan urusan. Saya percaya, ramai daripada kita yang pernah mendengar perkataan ‘istikharah’ ini dengan membawa maksud ‘istikharah untuk memilih pasangan hidup’, ataupun lebih tepat boleh saya katakan – istikharah cinta.



Saya telah lama tahu tentang istikharah dan solatnya. Pertama kali saya bersolat sunat istikharah adalah ketika saya ingin membuat keputusan untuk belajar di MRSM. Dan kali keduanya adalah ketika saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran perubatan di Rusia.



Pada hujung bulan Januari yang lalu, saya pulang bercuti ke Malaysia sempena cuti musim sejuk ataupun bagi saya – cuti peristiwa ‘ribut salji’ yang melanda Eropah. Ketika saya sedang membelek-belek berita dalam akhbar Utusan Malaysia yang sudah lama tidak saya pegang, pandangan saya tertarik kepada sebuah artikel tentang ‘Istikharah’.



Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliyyah iaitu meramalkan masa depan berpandukan kepada berhala dan syaitan. Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan.



Dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)



Setelah saya ber’istikharah’, saya tidak pula menunggu sehingga datang mimpi tentang pilihan yang ingin saya putuskan. Tiada suatu nas atau dalil yang menyatakan demikian. Namun, itu semua bergantung juga pada kehendak dan kekuasaan Allah untuk setiap hamba-hambaNya yang meminta kepadaNya.



Setelah istikharah, maka saya teguh dengan keputusan saya. Saya percaya kata-kata al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya. Maka saya teguh meneruskan keputusan yang telah saya pegang, samaada saya berasa senang atau tidak, kerana kebaikan itu pasti ada dalam jiwa ini, meskipun jiwa ini tidak menyenanginya.



Namun, sedar tidak sedar, ada sebuah rahsia rumit disebalik istikharah ini. Apabila seseorang itu meminta agar Allah memberikannya ilham atas keputusan dan pilihannya, maka selepas itu dia berasa begitu yakin, optimis dan pilihannya jitu! Maka tanpa membuang masa, dia terus memulakan langkah pilihannya.



Tapi sedihnya, istikharah itu bukanlah membawa dia ke arah menyempurnakan syari’at ke gerbang perkahwinan, tapi ‘hidayah’ yang dia peroleh membawa dia kearah jalan yang mencatitkan dosa sepanjang perjalanannya. Sehingga sanggup dia bercinta diluar akad yang sah, malah mengisytiharkan bahawa ‘saya kini telah berpunya’!



Sudah tentulah bukan hidayah dan petunjuk Allah yang membawa dia kepada jalan ini, tapi syaitan itulah yang mengilhamkan kepada dirinya. Syari’at istikharah itu indah, tapi pudar kesannya apabila nafsu itu yang menjadi nakhoda iman.




Kalau dilihat pada kata-kata diawal penulisan saya ini, itu bukanlah kata-kata saya. Tapi kata-kata itu saya simpulkan daripada sebuah kebenaran. Fikirkanlah, perkahwinan itu tuntutan syari’at, akad yang sah itu mengikat perhubungan antara fitrah sebuah cinta. Namun, mengapa perlu bercinta diluarnya? Sehingga sanggup mengatakan:



“insyaAllah saya akan berkahwin nanti, buat masa ini biarlah saya bercinta dahulu” – adakah kata-kata ini sudah cukup untuk menyejukkan bahang neraka Allah dan memadamkan nyalaan apinya?



Jangan kita pesongkan cinta itu dengan salutan syari’at yang diputarbelitkan tali-tali syaitan, kerana hebatnya syaitan itu terserlah, janjinya untuk menyesatkan ummah tidak pernah luntur, kerana semakin hampir Qiamat itu mendekati, semakin kuat janjinya termakbul.



Peganglah syari’at itu dan genggamlah seerat-eratnya! Jadikanlah istikharah itu sebagai pedoman untuk memayungi kesucian cinta dibawah lindungan Allah, dan letakkanlah perkahwinan itu sebagai garis mula perjalanan sebuah kemesraan cinta yang hakiki dan abadi.



Hati saya tersentuh, bila saya membaca sepotong doa, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Jabir r.a:


"Ya Allah, aku memohon petunjuk kebaikan kepada-Mu dengan ilmu-Mu. Aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu. Ya Allah, seandainya Engkau tahu bahwa pilihan ini baik untukku dalam agamaku, kehidupanku dan jalan hidupku, jadikanlah untukku dan mudahkanlah bagiku dan berkatilah aku di dalam pilihan ini. Namun jika Engkau tahu bahwa pilihan ini buruk untukku, agamaku dan jalan hidupku, jauhkan aku darinya dan jauhkan pilihan itu dariku. Tetapkanlah bagiku kebaikan dimana pun kebaikan itu berada dan redhailah aku dengan kebaikan itu".

Saya termenung memahami doa ini. Mana tidaknya, sepotong doa ini begitu sempurna untuk menjelaskan ayat Allah, sebuah ayat al-Quran yang sentiasa menemani jalan cinta ini:

"Diwajibkan ke atas kamu berperang, sedangkan berperang itu sesuatu yang kamu benci. Mungkin kamu benci pada sesuatu, sedangkan ia lebih baik bagimu, mungkin juga kamu cintai sesuatu, sedangkan ia mudarat bagimu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak"




Friday, January 8, 2010

Senyum Murobbi

Malam ini sunyi. Orang lain mesti tengah nyenyak tidur. Tapi diluar tingkap rumah, saya lihat jentera pengorek salji, dan bunyinya memecah kesunyian malam ini.

“Apehal la malam2 nak buat bising? Kesian orang lain nak tidur..ish..” monolog kalbu…

Yang bekerjanya seorang sahaja, dan dia seorang sahaja bersama jenteranya ditepi jalan ais itu. Mengorek dan terus mengorek, dan bunyinya bingit sekali! Saya melihat dan memerhati. Memang benar Allah itu menguasai hati setiap hambaNya, dan terdetik dalam benak fikiran ini tentang hakikat apa yang berlaku dihadapan saya.

Kalau diberikan peluang, tentulah dia ingin bekerja disiang hari. Dia juga manusia, mungkin juga memiliki keluarga, yang memerlukan dia untuk menemani mereka. Tapi hakikatnya, dia hanya boleh memilih malam sebagai ‘siang’ bagi dirinya untuk bekerja. Apa tidaknya, setiap awal pagi lagi jalan diluar rumah saya penuh dengan kereta, berpintas lalu tidak putus-putus! Jadi bagaimana pula nak mengorek salji disiang hari? Bukankah akan lebih menyukarkan orang lain nanti?

“Lagi kesian kalau dia dimaki hamun orang lain sebab buat traffic jam..hanya kerana dia ingin bekerja disiang hari..ish..” monolog kalbu.

Pengorbanan. Mungkin itulah yang boleh saya rumuskan. Pekerja d
an jenteranya itu, berkorban dengan berjaga di malam buta, hanya kerana ingin mengelak hati-hati amarah manusia sekeliling terhadapnya jika dia menganggu mereka disiang hari, meskipun masih ada juga yang amarah kerana jenteranya bingit di waktu malam!

Memilih antara dua yang perit, keperitan itu tetap kekal ada. Memilih samaada bekerja malam atau siang hari, kedua-duanya buat orang tidak puas hati. Tapi pengorbanan itu jawapannya…

Jalan ini jauh. Banyak pula cabangnya. Kalau ke kanan berbatu tajam, ke kiri pula tajam berduri, ke hadapan berbara api, namun kebelakang tidak sekali-kali! Tapi saya juga tidak boleh berdiri disini! Biarlah lambat bergerak daripada terus berhenti!

Murobbi ada jiwa. Kerana dia juga seorang manusia. Cuma jiwa itu sentiasa disaluti cinta. Dan cinta inilah yang menguatkan dia, cinta inilah yang
memandu arah jalan hidup kepada keredhaan Robb. Cinta sehebat ini tidak pernah muncul, melainkan ianya adalah penyatuan cinta daripada yang lain. Ibu mana yang tidak menyayangi anaknya, begitu juga murobbi, yang tidak pernah lekang kasihnya membawa cinta pada setiap mutarobbi.

Ada ketikanya cinta itu menjadi ujian. Dan ujian inilah yang betul-betul mewarnai jalan hidup. Murobbi tidak boleh menyangka warna warni itu sentiasa indah, ianya boleh kabur dan musnah bercampur, sehingga tidak termampu lagi mentafsir warna yang diimpi. Kasih dan cinta itu diberi, bukanlah untuk murobbi dicintai dan dikasihi. Tapi cukuplah kita sekadar memberi dan terus memberi. Biarlah Allah sahaja yang menilai dan mengiktiraf kerja dan usaha kita. Bukan manusia, bukan juga mutarobbi itu sendiri.

Murobbi yang memberi dan terus memberi, janganlah sesekali mengharapkan balasan. Biarpun perit dan sukar kita menanggung beban ini, biarlah kepada Allah kita letakkan segalanya. Murobbi bertanya pula pada dirinya:

“Mungkin aku belum cukup memberi..dan adik-adik belum cukup menerimanya?

Tidak, sebanyak mana jua pengorbanan yang kita gadaikan demi mereka yang kita bawa, hanya Allah yang layak mengagihkannya. Apa yang diagihkanNya – itulah hidayah. Hidayah itu milik Allah! Murobbi duduk dan berfikir, jauh ke dalam hati kecilnya –


“Aku hanyalah manusia biasa, yang menguatkan aku adalah cintaku pada mereka, kerana aku cintakan Allah, dan aku ingin mereka juga mencintaiNya, tapi cinta ini milik Engkau ya Allah, aku tidak mampu menyaingi cinta ciptaanMu, kerana aku insan biasa, dan hidayah itu tetap milikMu”

Coretan perjalanan ini jauh. Kabur atau cerahnya jalan dihadapan ini hanya bergantung pada kekuatan kita. Kalau mereka lemah, kita
tidak boleh ikut lemah. Murobbi perlu kuat. Murobbi perlu banyak bersabar. Murobbi senyum biarpun hatinya muram, tawanya itu tangisan dan kesedihan mendalam. Tapi hati ini sentiasa memujuk:

“Tak mengapa, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk aku…satu hari nanti Allah pasti akan berikan aku apa yang aku pinta kepadaNya selama ini..biarpun bukan didunia, insyaAllah diakhirat nanti..”

Bila hati sendiri memujuk, rasa begitu tenang untuk terus melangkah. Bila hati ini disapa dengan duka lagi, kita tidak akan lagi berundur tapi terus jauh melangkah.


Saya tidak mahu,
Ukhuwwah kerana dunia,
Pasti tak akan lama,
Musnah dan punah akhirnya..

Saya tidak mahu,
Ukhuwwah tanpa bicara,
Bila terus memendam rasa,
Itu bukan petanda ikhlasnya kita.

Saya hanya mahu,
Allah bersama kita,
Bila berduka dan saling berduka,
cintaNya jua yang mengembalikan kita…




Kini, saya mampu untuk senyum.



Wednesday, January 6, 2010

Jawapannya mungkin disini...

Kenapa AKU DIUJI?


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." - Surah Al-Ankabut : 2-3

Kenapa AKU TAK DAPAT APA yang AKU IDAM-IDAMKAN?


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah : 216

Ya Allah! Kenapa UJIAN SEBERAT INI?


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah : 286


“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

rasa FRUST? DEPRESSED?


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

Ya Allah, BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?


"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran : 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah : 45


Maka bersabarlah engkau (Muhammad) dengan kesabaran yang baik” Al-Ma’arij : 5

APA YANG AKU DAPAT daripada SEMUA INI?


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... .. -Surah At-Taubah : 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?


"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah : 129


AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!


"... ..dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf : 12




"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita. Tarbiyyah ini tidak pernah terhenti, hingga disaat kita pergi. Biarpun kadang-kala ukhuwwah ini diuji sebegitu hebat, ujianNya adakala begitu tajam menusuk jiwa, apatah lagi menggugat iman didada, namun yakinilah sahabat, kita harus terus berpegang pada jalan dan tali Allah, kita harus terus melangkah di jalan ini... janganlah kita saling melepaskan, biarpun hanya doa yang mengikat antara kita., itulah yang terbaik untuk kita alami dan lalui, sedangkan kita manusia yang tidak mengetahui.."

Demi keredhaanNya dan demi kerana Allah, lillahi ta’ala.













Thursday, December 24, 2009

Sendiri Menyepi


Sendiri Menyepi..
Tenggelam dalam renungan
Ada apa aku
seakan kujauh dari ketenangan…

Perlahan kucari,
mengapa diriku hampa…
mungkin ada salah, mungkin ku tersesat,
mungkin dan mungkin lagi…

Oh Tuhan aku merasa
sendiri menyepi…
ingin ku menangis, menyesali diri,
mengapa terjadi

Sampai kapan ku begini
resah tak bertepi
kembalikan aku pada cahayaMu
yang sempat menyala
benderang di hidupku..

Perlahan kucari,
mengapa diriku hampa
mungkin ada salah mungkin ku tersesat,
mungkin dan mungkin lagi

Oh Tuhan aku merasa..
sendiri menyepi…
Ingin ku menangis, menyesali diri,
mengapa terjadi

Sampai kapan ku begini,
resah tak bertepi,
kembalikan aku pada cahayaMu,
yang sempat menyala…

Oh Tuhan aku merasa…sendiri..
aku merasa sendiri..
sampai kapan begini..
resah tiada bertepi...

Kuingin cahayaMu
benderang di hidupku….



Tuesday, December 22, 2009

Ukhuwwah Itu Cinta

Bila menyebut tentang cinta, tidak lain ramai yang membayangkan tentang percintaan dua jantina – lelaki dan perempuan. Ada juga yang akan merenung sebentar memutar fikiran, dengan tujuan agar dapat memberikan jawapan selain daripada fikiran orang ramai tentang apa itu cinta. Mungkin juga yang terkeluar dari mulut fikiran mereka – cinta itu sayang mak ayah, cinta itu sayang dan ikut sunnah Rasulullah, dan tidak lain juga, ada yang berkata cinta itu cinta teragung kepada Allah!


Ya, semua jawapan itu betul. Tapi saya amat tertarik untuk berkongsi penulisan ini yang berkisar tentang hakikat sebuah cinta atas nama titian ukhuwwah. Bila menyebut tentang ukhuwwah, pasti pula yang terbayang adalah sahabat dan rakan-rakan disekeliling bukan? Ukhuwwah itu sangat besar pengertiannya, tapi saya fokuskan ukhuwwah pada nama cinta itu kepada pengertian yang lebih mudah difahami – cinta pada sahabat.


Mungkin kita selalu dengar ayat-ayat perbualan seperti ini:


“luv u so much!”


“syg awk! Miss u so much!”


“Jumpe lg nnti eyk!? Miss u!”


“luv u 2..muuahh!”


Beberapa ayat perbualan diatas ini sering kali kita jumpai, samaada di web-web sosial seperti Friendster dan Facebook, malah juga jika ‘terbaca’ mesej pada handset kawan kita yang lain, atau tidak terkecuali kita sendiri yang lebih arif dengan ayat-ayat ini! Bukanlah menyindir, tetapi mungkin ayat-ayat ini perlu lebih dilengkapkan lagi, boleh jadi seperti ini:


“luv u so much!” kata Munirah kepada Syuhada..


“syg awk! Miss u so much!” kata Nurul kepada Latifah, sambil memeluk erat rakannya itu.


“Jumpe lg nnti eyk!? Miss u!” jerit Izzah kepada Nor sambil melambai, penuh keakraban.


“luv u 2..muuahh!” kata Siti sambil memimikkan ciuman kepada Azizah, sahabat lamanya…


Itulah yang dimaksudkan. Kita menilai erti lafaz sebuah cinta dalam skop yang begitu besar. Dan inilah lafaz cinta pada ukhuwwah iaitu mencintai sahabat kita yang lain, menyayangi mereka sebagai kekasih hati yang akrab dan memahami. Saya kagum dengan kehidupan kaum Hawa itu sendiri, terutama golongan wanita muslimah yang hidup dalam serba-serbi indahnya ukhuwwah yang terpancar. Mereka bersalam dan berpelukan, memegang erat tali persaudaraan dengan utuh dan penuh kemesraan. Maka tidak mustahil juga bagi mereka berkongsi hati, mencoret nurani dengan kisah hidup mereka yang boleh saling dikongsi. Hati mereka yang terikat atas nama ukhuwwah Islamiyyah itu saling mengerti, tidak terlintas sesaat jua pandangan mata yang saling melihat dan mendalami. Itu yang ada dalam ciri muslimah sejati, yang memiliki teman yang sentiasa mendahului daripada mereka mencari cinta yang tidak punya erti, iaitu cinta seakan monyet yang bergayut dari dahan ke dahan, entah ke mana halatuju yang dicari. Andai tiada ciri perkakasan ini, jangan salahkan hakikat cinta itu sendiri, tapi renungkanlah sejauh mana kita menilai sahabat yang kita miliki.


Sahabat bagaikan sebutir mutiara. Yang menggilapkannya adalah ukhuwwah. Bukan calang-calang ukhuwwah, tapi ukhuwwah yang maksimum utuhnya, pegangan yang tidak gentar putusnya, dan terlekatnya hati mereka dek kerana Iman yang manisnya seperti sabda Baginda Muhammad s.a.w:


ثلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الايمان:أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما وأن يحب المرء لا يحبه الا لله وأن يكره أن يعود فى الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف فى النار".

متفق عليه

Daripada Anas r.a:


Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman. Seseorang itu menjadikan ALLAH dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya, seseorang yang tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan seseorang yang membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka."


Muttafaqun ‘alaih.


Mengapa saya menyentuh soal manisnya ukhuwwah hanya pada wanita? Mungkinkah eratnya ukhuwwah ini tidak wujud dalam golongan Adam? Bagi saya tidak. Ukhuwwah itu adalah nikmat pemberian Allah untuk sekalian hambaNya. Cuma bagi saya, golongan Adam tidak mungkin mahu melafazkan kata-kata perbualan seperti diatas! Agak janggal bukan?!


Untuk gologan lelaki, jiwa mereka ada sedikit bezanya. Mereka tidak akan terus menilai dan mencari-cari teman untuk dijadikan sahabat yang sejati dan peneman yang setia disisi, tapi bagi mereka yang lebih utama itu adalah tuntutan mencari wanita sebagai kekasih hati. Malah amat rugi sekali, andai kita lupa dan tidak langsung mengambil iktibar tentang eratnya ukhuwwah yang terbina dalam diri para Sahabat bersama Rasulullah s.a.w.


Lelaki itu ada egonya dalam diri. Mungkin mencari sahabat itu bagaikan tiada ‘class’ dan lebih dianggap dan ditohmah dengan fikiran yang bukan-bukan oleh orang lain. Dan apabila masa terus meningkat, jiwa yang gusar dan menggelodak akhirnya akur dengan tuntutan nafsu, mengejar dan mengangkat cinta sebelum akad, maka terciptalah perjalanan mendekati zina yang setiap langkahannya pasti tercatit amalan durhaka.


Sahabat itu andai dia disisi, bukan pula untuk sekadar bergelak tawa, tapi dialah yang memahami dan setiap renungannya mampu mentakrif apa dihati ini. Sahabat itu bila dia disakiti, dia akan ‘pergi’, dan perginya itu bukan meninggalkan diri ini, tapi mencari erti rindu dikala jauh menyepi…dan dia akan kembali dan menyapa, kerana dialah sahabat yang sejati. Sahabat itu tidak pernah luntur doanya untuk ukhuwwah yang terbina, biar kadang-kala kita tidak memahami akan dia mendoakan kita, kerana cukuplah persahabatan dan cinta ini terbentuk atas pengetahuan Allah semata-mata.


Dalam perjalanan hidup yang jauh ini, Allah mengurniakan kita nikmat ukhuwwah yang besar teramatnya, atau mudah difahami sebagai ramai kawan disekeliling kita. Namun, ukhuwwah itu tidak akan bermakna, andai kita tidak sedikit pun mengambil peluang membina cinta bersama atas namaNya – iaitu cinta pada sahabat dan berjuang menuju cintaNya pula.



Sahabat, mungkin dia tidak pernah mengerti bahawa kita mencintainya, kita menyayanginya lebih dari kita menyayangi diri sendiri. Tetapi ingatlah, Allah lebih memahami setiap sudut hati ini, dan Dia lebih mengetahui bahawa kita sebenarnya pemilik ukhuwwah sejati. Carilah sahabat yang bukan sekadar menemani, tetapi jua meniti jalan hidup ini menuju cinta Allah yang hakiki. Dan dengan yang sedemikian itu, abadilah cinta kurnianNya pada perjalanan sebuah ukhuwwah sejati.



Sunday, November 22, 2009

Wanita itu Rahsia

“Maaf, saya hanya meletakkan segalanya kepada Allah. Andai benar saudara ditentukan untuk diri saya, maka keredhaan itulah yang akan saya pegang…tapi andai tidak diizinkan Allah, itulah juga yang terbaik untuk kita…”


Andai seorang laki-laki menyatakan hasrat untuk menjadikan seorang wanita itu sebagai isterinya yang sah, lalu wanita itu membalasnya dengan kata-kata diatas, mungkin itu menjadi suatu kesukaran yang sangat rumit bagi lelaki tersebut. Apa tidaknya, kata-kata itu begitu luas maksudnya, begitu mendalam pengertiannya, malah amat sukar untuk ditafsir maksud disebaliknya..samaada terima atau mungkin tidak??


Walaubagaimanapun, tidak semua mereka (iaitu kaum Hawa) memiliki keupayaan dan kerelaan untuk melafazkan kata-kata itu, kerana kata-kata itulah yang mencerminkan diri wanita itu sendiri sebagai ‘rahsia’. Ya, wanita itu sendiri adalah rahsia, dan kerahsiaan seorang wanita menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam diri mereka yang berhasrat untuk memilikinya.


Namun, rahsia itu sendiri tidak diketahui wanita tersebut! Mengapa? Kerana rahsia itu hanya di dalam pengetahuan Allah,dan kerana itulah, untuk membongkar rahsia itu, ditumpukan segala ketentuan hanya kepada-Nya. Rahsia ini adalah hijab dan perisai dalam diri seorang wanita muslimah, yang mengetahui keperluan memelihara dirinya dan mengekalkan kerahsiaan itu. Rahsia ini hanya dimiliki seorang wanita yang berpegang teguh pada syariat Illah, yang berpendirian dalam meniti dan memupuk cinta, malah tidak mudah berbangga dengan kecantikan, penampilan dan kualiti diri dari pandangan mata manusia.


Rahsia itu jika terbongkar, maka ia tidak akan lagi bernilai, pastinya ia bukan lagi istimewa, malah jatuh nilainya. Setiap wanita yang mengakui dirinya sebagai muslimah wajar memiliki rahsia diri. Itulah harga diri mereka, iaitu akhlaq yang disaluti manisnya iman, tutur kata dan pergaulan yang mencerminkan seorang muslimah berperibadi dan di sanjung tinggi. Rahsia ini tidak ada siapa pun yang mengetahuinya, melainkan Allah. Dan sesiapa yang ingin mengetahui erti disebalik kerahsiaan muslimah seperti ini, mereka hanya perlu merujuk kepada Allah; bertanya kepadaNya, meminta kepadaNya, memohon petunjuk dariNya, bukankah manis bila cinta itu berputik apabila hanya Allah yang menghubungkan kita?


Apabila cinta itu ditujukan kerana keindahan akhlaq, kerana tingginya perisai yang melitupi diri itu, pastinya cinta itu mengharapkan keredhaan Allah. Rahsia yang disimpan dalam diri wanita muslimah, adalah rahsia yang menjadikan hidupnya begitu istimewa. Namun, keistimewaan itu akhirnya akan dikongsi mereka yang teguh mencari jalan, mengejar pengertian hakikat cinta teragung. Merekalah golongan yang bertuah. Mereka jugalah yang akhirnya bersama dibawah lindungan cinta dan rahmat Ilahi.


Begitu indah bila kita memperkatakan tentang cinta. Tetapi ingatlah, cinta itu kurniaan Allah kepada hamba-hambanya, dan cinta itu juga boleh datang dari nafsu yang mana syaitan sebagai Tuhannya. Tidak perlu kisah, sekiranya cinta yang terpesong itu membawa sehingga terjalin ikatan hingga ke akhir hayat. Tetapi yang perlu dikisahkan, dimana keredhaan Allah? Rahsia itulah yang memelihara diri seseorang wanita, menjadikan dia kadang kala hadir dalam diri kita, tanpa kita sedari. Dan kerana itulah, kehadirannya sebagai kurniaan Ilahi.






Wednesday, October 28, 2009

Jika Aku Jatuh Cinta...




On behalf of all my beloved mutarobbi,

"Aidid, Anuar, Rizwan, Naqib, Aizzat and Keyri"


with specially dedicated from their deep heart...


FOR YOU...

Sunday, August 16, 2009

Muhasabah Cinta...

Muhasabah Cinta

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Ku pasrahkan semua padaMu

Tuhan baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cintaMu...

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar
Jadi penawar dosaku...

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi...Muhasabah cintaku...

Tuhan.. kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu...

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar
Jadi penawar dosaku...

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi...Muhasabah cintaku...

Wednesday, August 5, 2009

Dia Isteriku, dan Aku Suaminya...

“Assalamualaikum. Tujuan saya menulis e-mail ini adalah untuk memberitahu bahawa saya ingin melamar awak menjadi isteri saya yang sah. Harap awak dapat memaklumkan kepada saya samaada awak bersetuju atau menolak lamaran ini”


“Waalaikumussalam. Terima kasih atas lamaran itu dan kepercayaan saudara terhadap saya untuk dijadikan isteri. Saya minta maaf, kerana saya telah dimiliki seorang hamba Allah yang lain. Saya harap saudara dapat menerima bahawa saya perlu menolak lamaran saudara. Wassalam.”


“Tidak mengapa. Saya membuat keputusan untuk melamar saudari hanya kerana pegangan Islam yang kuat dalam diri saudari. Walaupun saya tidak pernah bercakap mahupun mengenali rapat saudari, tapi dari perwatakan dan pergaulan saudari sudah cukup menggambarkan betapa saudari seorang muslimah yang sejati dan digeruni. Saya menerima ketentuan Allah bahawa saudari bukan milik saya. Semoga terus berbahagia dan dirahmati Allah. Wassalam”


Si lelaki yang terlibat dalam perbualan diatas begitu tenang menghadapi situasi tersebut. Tetapi pada realiti kini, sudah pasti kaum lelaki akan merasai resah, gundah gulana, iri hati, sakit hati, kecewa, dendam, dan macam-macam lagi perasaan andai cintanya ditolak sedemikian rupa. Apa tidaknya, orang yang sentiasa diperhatikannya, yang sentiasa dipuja-puja, disayang-sayang malah terbayang-bayang akhirnya telah melayang! Rugi!


Si lelaki di atas tidak pernah berbual dengan wanita tersebut, malah terus menyatakan hasrat untuk menikahinya. Bukan pula hasrat untuk ber’couple’ dengannya! Si lelaki itu tidak pula kecewa kerana wanita itu menolak lamarannya, kerana dia tidak pernah bercinta dengan wanita itu! Andai sekiranya wanita itu menerima lamaran itu dan menjadi isterinya yang sah, bermula dari situlah mereka saling mencintai.


Dan segalanya bermula apabila mereka terlebih dahulu menemui cinta pertama – cinta Yang Maha Esa. Atas dasar cinta kepada Allah, si lelaki itu mengenali wanita itu bukan pada rupa parasnya tetapi pada aqidah dalam dirinya. Kerana mencintai Allah, si lelaki itu menemui kecantikan akhlaq wanita itu, sopan santun dan malu adalah hijab perisai dirinya, membuatkan si lelaki itu tertanya-tanya betapa tingginya kemuliaan muslimah itu.


Andai seseorang itu mencintai yang lain hanya kerana Allah, nescaya dia akan merasai betapa manisnya iman. Muslimah yang sejati adalah isteri yang solehah, yang tetap taat kepada suaminya yang disayangi, yang mengetahui sifat malu itu perisai hidupnya, dan mengetahui juga tanggungjawabnya kepada suami tercinta, di luar dia tidak dimiliki sesiapa melainkan suaminya kerana aurat yang dilitupinya memelihara cinta mereka bersama.


Tiada ‘couple’ dalam Islam, kerana itu menghampiri zina dan mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan bersama syaitan laknatullah! Andai niat kita baik sekalipun, tetap tidak ada ‘couple’ dalam Islam, kerana menghampiri zina itu haram, apatah lagi melakukannya. Andai masih belum termampu untuk saling menikahi, itu bukan modal untuk menghalalkan yang haram. Teguhkanlah rasa malu dalam diri! Jika tidak, kita tiada bezanya dengan orang kafir yang lain. Malah yang lebih menyedihkan, ada yang murtad semata-mata untuk memperjuangkan cintanya. Tiada yang lain di antara lelaki dan perempuan yang berdua-duaan melainkan yang ketiga itu ialah syaitan! Tidak kira dekat ataunya jauh mereka berhubung, syaitan itu sentiasa bersama mereka. Bisikan dan hembusan syaitan itulah yang menghimpunkan dosa. Biarpun mereka kekal hingga ke akhir hayat, tetapi keredhaan Allah terhadap mereka itu yang menjadi tanda tanya.


Wanita yang perlu memelihara diri, kerana mereka bagaikan sayap kiri pada agama. Wanita yang sanggup menggadai maruah dirinya dengan ber’couple’ adalah wanita yang lupa pada azab seksaan Allah yang amat dahsyat. Tiada rasa malu dalam diri mereka, malah mereka juga tidak akan gentar untuk melakukan perkara yang sama walaupun sudah bersuami kelak. Dan begitu juga kepada lelaki, pastinya akan menemui pasangan hidup yang mengikut kehendak nafsunys semata-mata.


Firman Allah s.w.t;


“Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki yang mulia (syurga)” An-Nur:26


Sedar tidak sedar, cinta yang terungkap kerana Allah, itulah cinta yang membawa ke syurga! InsyaAllah.

Friday, June 5, 2009

'RUMAH BARU'

Salam 'alaik..

Laman penulisan saya telah mula beranak pinak ke http://www.tarb1world.wordpress.com/

Bagi laman ilmiah dan kesihatan pula capaian di http://www.healthyarewe.blogspot.com/


Wallahualam. :-)