Friday, August 27, 2010

Allah Ghoyatuna!

Bilakah hari kan siapnya binaan, kiranya kau membina yang lain meruntuhkan.

Seribu pembina dengan satu peruntuh sudah mencukupi. Bagaimana dengan seorang pembina seribu peruntuh?

Tinggal beberapa hari menghabiskan sisa-sisa cuti, sebelum kembali meneruskan langkah di medan ilmu perjuangan. Musim panas kadang-kala jadi suam. Rupanya semakin hampir menyambut musim luruh Eropah. Nah, masa memenggal lagi!

Dalam gerak-geri ini, satu yang tidak boleh kita lari ialah tujuan, atau hala tuju. Kalau kita melancong di tempat orang, tercari -cari road map, agar mudah kita bergerak kepada tujuan yang perlu.

Begitu jugalah dalam hidup ini, dalam jalan ini yang juga jalan para Rasul dan sahabat r.a. Dalam jalan yang juga jalan kita dan pendukung-pendukungnya. Tiada lain melainkan matlamatnya hanyalah Allah.


Jika tujuan itu Allah, maka perbuatan dan amal kita perlulah bersifat robbaniyyah, iaitu ke hadrat Tuhan semata-mata. Bila amal kita robbaniyah, maka tiada yang lain melainkan apa yang kita lakukan semata-mata kerana Allah.

Namun, kita menyembah Allah ikut siapa? Ikut Allah suka atau ikut kita suka?

Jika ada 2 orang anak, yang diminta ayahnya membawa segelas air. Seorang daripadanya datang membawa segelas air sahaja. Manakala yang seorang lagi datang membawa segelas air bersama lapik gelasnya sekali, nampak tersusun dan teratur. Anak yang mana yang lebih disukai ayahnya? Tentulah ayahnya senang melihat anaknya yang tahu melayannya dengan baik, kerna anaknya itu tahu melayan mengikut apa yang ayahnya suka!

Sekali lagi, kita menyembah Allah ikut siapa? Ikut Allah suka atau ikut kita suka?

Tidak cukup hanya sekadar berkata hidup dan gerak kita untuk Allah, sedangkan kita masih pekat tenggalam dalam naluri nafsu sendiri sehingga menjadikan ia pedoman demi mengharapkan Allah menyukainya.

Bila kita tersasar, kembalilah pada benarnya. Bergerak di atas jalan da'wah bukanlah mudah, malah syaitan dan hembusannya disekeliling, tetap teguh menyeleweng. Jangan kita termakan daya helah nafsu dan syaitan, sehingga akhirnya kita futur bersama syaitan menghiasinya. Dengan itu, kita akan terasa indah akan perbuatan buruk kita.

Andai akal itu bersifat ruh, maka otak itu fizikalnya. Tarbiyyah itu gerak kerja kita, robbaniyah itu spiritualnya. Allah ghoyatuna!

Ramadhan Kareeem.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan Saringan Iman

Terasa lain setiap kali menyambut Ramadhan di tanah air - Malaysia. Tahun ini pula bakal masuk tahun kelima menyambut Syawal di bumi asing - Rusia.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Syukur kita sebenarnya bukan dikira pada tempat kita menyambut Ramadhan, sama ada di Rusia, atau di Malaysia atau di mana-mana jua pun. Tapi biarlah rasa syukur ini hadir kerana kita dipilih Allah untuk merasai nikmat Ramadhan itu sendiri.

Allah masih memberi pinjam kita nikmat usia, nikmat kesihatan sehingga kita berpulang merasai Ramadhan kareem tahun ini. Kalau dilihat nasib umat Islam yang lain, di Palestin, di Pakistan, kita jauh berbeza yang teramat. Begitu mewahnya umat Islam di Malaysia sehinggakan Ramadhan ini bukan sekadar bulan ibadah, tapi sudah di transformasi menjadi pesta juadah!

"Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan"

[al-A'raf : 31]

Tamparan firman Allah ini hanya akan terasa sakit bagi orang-orang yang berfikir. Sakitkah kita?

Bila Ramadhan datang, semua kita tahu ia bulan yang penuh barakah. Bukan sekadar berlapar dan dahaga, tapi menyekat dan menundukkan nafsu pada segala bentuk dan cabang-cabangnya.

Ramadhan sebenarnya ibarat sebuah madrasah. Di dalamnya kita menuntut dan mendapat tarbiyyah. Ujian sebagai saringan iman tidak akan pernah putus menguji, dan bagi mereka yang teguh dengan niat dan azam yang betul pada landasannya, itulah golongan yang paling hadapan mendapat fadhilat Ramadhan yang sebenar.


Akan tetapi, Ramadhan itu hanya sebulan. Bayangkanlah jika Ramadhan itu setahun?! Akan kekalkah umat Islam berduyun-duyun berjemaah di masjid-masjid? Akan penuhkah tabung-tabung infaq, derma-derma ihsani? Dan persoalan penting, akan mampukah kita membendung nafsu, meninggalkan tompok-tompok kotornya iman?

Tetapi, Ramadhan itu tetap sebulan. Kerana Ramadhan itu bulan saringan untuk setiap ummah. Iman dan taqwa kita bakal memasuki fasa penapisan dan pembersihan. Maka selepas itu, kita akan keluar dari Ramadhan dan dari situlah bermulanya praktikal iman dan amal yang sebenar.

Ada yang lulus, ada yang gagal. Kita dimana ye?

Mereka yang terlebih awal gagal juga ada. Belum lagi tamat Ramadhan, tetapi sudah mula kotor hatinya, nafsu meronta-ronta minta dilepaskan. Nah! Mengaku muslim atau mukmin?

Allah membezakan orang muslim dan orang mukmin, melalui firmanNya:

" Orang-orang Arab Badui berkata: 'Kami telah beriman.' Katakanlah (kepada mereka): 'Kamu belum beriman, tapi katakanlah, 'Kami telah tunduk (Islam),' kerana iman belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun (pahala) amalmu. Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang"

[Al-Hujurat:14]

Mukmin iaitu mereka yang beriman, adalah seorang muslim yang memiliki iman yang masuk ke dalam hatinya. Maka jadilah seorang muslim yang mukmin, dengan iman yang melekat dan menusuk jauh ke dalam hati qolbu.

Oleh itu Ramadhan inilah saringannya. Bilakah masanya lagi untuk kita mencari turning point, untuk kita tetapkan haluan kita sebagai seorang mukmin? Ramadhan inilah kurniaan Allah yang besar, untuk orang-orang yang berakal dan berfikir tentangnya. Ramadhan ini benar-benar sebuah madrasah robbaniyah, iaitu yang membawa kita dekat mengenali Allah, memandu kita agar sentiasa kenal jalan sebenar menjadi penganut satu-satunya agama yang diredhai Allah, iaitu Islam.

Jangan kita kotori dan cemarkan Ramadhan dengan jahiliyyah, yang sughra atau yang kubro, yang sirriyah atau yang jahriyah. Katakan tidak pada maksiat dan mintalah Allah kekalkan kita dalam jalan yang kita pilih untuk berubah keranaNya. Sungguh benar, hidayah itu milik Allah, bagi orang-orang yang dipilihNya.

"Dan demikian Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran, (agar terlihat jelas jalan orang-orang yang soleh) dan agar terlihat jelas (pula) jalan orang-orang yang berdosa"

[al-An'am:55]

Kita, jalan mana ye?

Allah, tsabatkanlah kami! Tawakkal 'ala Allah.

Wednesday, July 21, 2010

Mutabaah Bukan Amal Kosong!

Cuti musim panas Eropah.

Sekadar mengimpikan cuti, kerana saya masih belum pulang ke pangkuan keluarga tersayang di Malaysia. Dijangka pada minggu depan. Biiznillah.

Walaupun panas dan hangat cuaca di bumi Rusia ini, tiba-tiba hati pula dihujani persoalan. Merasai betapa kontangnya kemarau iman ini, maka memang tepatlah masanya persoalan ini datang, membasahinya.

Cuti dan rehat...mutabaah amal macam mana?

Mutabaah pun nak rehat juga!

Astaghfirullah. Teringat disaat liqa' kami. Bersama murobbi dan ikhwah tercinta. Soal mutabaah amal tidak pernah ada noktahnya. Kalau yang kurang akan ditambah, yang sedia ada akan di upgrade lagi. Itu bila kami bersama, ukhuwwah dan bi'ah solehah mengikat hati-hati ini, merumpunkan dalam segelung nilai tarbiyyah.

Namun jiwa kita tetap manusiawi. Iman kita ada naik dan turunnya. Bila lagi ikhwah berjauhan, urusan tarbiyyah tergendala bak berkurun lamanya, biarpun hanya seminggu dua pada hakikatnya. Maka soalnya pada mutabaah kita. Bukan pada amal, tapi pada pelaksana iaitu kita sendiri.

Mutabaah bukan amal nilai kosong.

Bila musim exam ada alasannya. Bila cuti dan masa terluang pun ada juga alasannya!

Sampai bila nak maju bro!?

Disaat dan ketika ini, yang perlu adalah muhasabah diri pada apa disandarkan iman dan amal kita. Pada bi'ah? Pada ukhuwwah? Pada murobbi?

Biarlah amal itu bersandar pada iman. Iman kita subur dengan gerak kerja da'wah, bila segala-galanya hanya untuk da'wah. Dengan itu amal berkadar terus seiringan kekuatan iman. Usah lagi risau dengan kekontangan amal, andai iman sentiasa dibasahi dengan tarbiyyah, disuburi dengan gerak yang tidak pernah ada putusnya.

Da'wah yang kita tujukan kepada umat Islam ialah mengajak mereka merasai tanggungjawab besar yang diletakkan di bahu mereka apabila mereka mendakwa mereka berIMAN dengan Allah dan akhirat, dan apabila mereka mengaku akur dengan segala perintah Allah dan RasulNya...

[Syeikh Abul al-'Ala al-Maududiyy]


Mutabaah bukan amal kosong. Mutabaah amal perlu menjadi benih yang menyuburkan rasa istiqomah, meningkatkan darjat mujahadah.

Rasa sunyi tidak patut membuatkan amal goyah. Kiranya betul imannya, maka akan betul caranya. Masakan uzlah itu satu pengesyoran membaik pulih amal, padahal uzlah menuju kesunyian, tapi pada kebenarannya ia membina riuhnya iman.

Belum lagi cuti, tapi rasa risau. Bukan risaukan mutarobbi sahaja, tapi lebih-lebih lagi pada diri sendiri.

Akhi! tarbiyyah zatiyah mesti on selalu. Ingat tu, TZ!


Mutabaah bukan amal kosong. Isinya mutabaah amal itu adalah jawapan kepada persoalan, untuk apa aku hidup dalam tarbiyyah? Itu hasilnya liqa' tarbawi yang kita selusuri, yang kita perah untuk mendapatkan hasilnya. Jika tidak, liqa' kita hanya tidak lari seperti kelas-kelas agama, duduk-duduk, sembang-sembang. Tiada manfaat. Catitan mutabaah amal sekadar catitan kedatangan yang tiada ertinya.

Jauh di sudut hati, kita tanam cita-cita tinggi. Jadikan cuti ini manfaatnya bukan pada perut-perut yang bakal kekenyangan, pada mata-mata yang lagha dengan tatapan hiburan dan nafsu. Tapi cuti ini satu medan amal yang luasnya perlu diisi dengan kesungguhan!

Fastaqim kama umirta... Hembusan satu azam. Dengan izinNya.



'Hammuka ala qadari ma ahammak'

'Keseriusan anda adalah bergantung pada kadar apa yang kamu sibukkan'

Monday, July 19, 2010

Ikhtilat : Antara Adat dan Syari'at

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu”

Al-Baqarah : 208

Penulisan ini hanyalah kesinambungan daripada entry saya sebelum ini yang bertajuk Fitnah Dalam Fitrah. Saya rasakan tajuk ini sangat sukar dan rumit untuk menulis tentangnya. Mengambil masa yang lama, menilai dari segenap sudut, tentang apa itu ikhtilat.

Fiqh Ikhtilat boleh jadi fiqh semasa, kerana ikhtilat ‘hidup’ dengan mengembang biak menuruti masa. Sekarang sudah tidak lagi ditolak, bahwa ikhtilat itu adalah racun perosak yang utama dalam menghancurkan pegangan syari’at, apatah lagi jika ia melibatkan jalan kerja da’wah, para du’at.

Ikhtilat (atau percampuran lelaki dan perempuan ajnabi) yang diharamkan pada pandangan syarak ialah ikhtilat yang membawa kepada perkara haram seperti zina atau muqoddimahnya, terutama sekali fitnah.

Fitnah terhadap jalan da’wah, adalah satu keburukan yang sangat dahsyat. Fitnah boleh membiak menjadi maksiat, mengundang pandangan jelik manusia pada isi da’wah. Maka tidak mustahil, mengapa kemaksiatan ini boleh menghalang suatu kemenangan.

Seorang lelaki yang menghormati seorang perempuan ajnabi yang dianggapnya sebagai kakak, dan seorang perempuan ajnabi yang lebih muda yang dianggapnya seperti seorang adik. Ini namanya adat. Ia bagus, kerana ia mengajar aspek menghormati, biarpun antara lelaki dan perempuan.

Akan tetapi, bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggapnya sebagai kakak tersebut? Dan bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggap adik itu? Ya, kerana mereka bukannya mahram. Dan ini pula namanya syari’at.

Ramai yang tidak sedar, betapa kebida’ahan minda sekian lama telah meletakkan syari’at jauh terkebelakang daripada adat. Masakan ibadah lain juga telah di transformasi menjadi adat, yang dipegang erat tak mahu dilepaskan!

Saya yakin, seorang muslimah yang teguh jati pegangan da’wahnya, tidak akan memandang dan menagih teguran-teguran ‘hormat’ daripada seorang lelaki. Seorang da’ie penting untuk menjaga soal ikhtilat, soal berbicara dengan mereka yang bukan mahram supaya tiada lohong-lohong fitnah yang merosakkan etika da’wah.

Ini bukan bermaksud bahwa ikhtilat ini membina tembok tinggi mengasingkan lelaki dan perempuan, tetapi seperti maksud ikhtilat di atas, yang diharamkan ialah ikhtilat yang mengundang zina dan fitnah.

Orang lain memerhatikan kita. Apatah lagi pada zaman yang serba moden ini, dengan laman-laman sosial seperti Facebook misalnya, semakin menggila menampakkan ikhtilat yang menghancurkan. Kuasai dan halangi diri daripada berbicara sesuatu yang tiada faedahnya, apatah lagi jika ia disaluti kata-kata yang dilunakkan, dimanja-manjakan, biarpun kepada seseorang yang dianggap sebagai ‘adik’, mahupun sebagai ‘kakak’. Mereka bukan mahram!

Ukhuwwah itu manis nilainya. Jalan da’wah ini mengajar kita untuk membina itsar, menerbitkan rasa kecintaan pada ukhuwwah. Tapi ia ukhuwwah antara kita seikhwah, dan ukhuwwah antara mereka sejiwa muslimah. Bukan ukhuwwah khusus antara seorang muslim dan muslimah, kerana ia pelik tafsirannya. Jika kita masih jahil, tiada usaha untuk memahamkan diri, maka tidak mustahil ia membentuk satu masalah yang lebih kronik, iaitu cinta ‘anta-anti’, laksana duri dalam daging, api dalam sekam.

Maka apakah pantas orang yang dijadikan terasa indah perbuatan buruknya, lalu menganggap baik perbuatannya itu? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Maka jangan engkau (Muhammad) biarkan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat

Fatir : 8

Sewajarnya kita memilih sesuatu yang meletakkan kita jauh daripada anasir kemaksiatan. Setiap perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. Kaedah ini namanya Saddu al- Zaraei (menutup jalan kejahatan). Masakan Allah s.w.t mengharamkan bukan sahaja zina, malah menegah daripada menghampirinya.


Saturday, June 26, 2010

Maksiat Tanda Syukur?

Bila tibanya ujian, kita pun tiba-tiba rasa hiba, rendah diri yang teramat kepada Allah, memohon dan menangis teresak-esak meminta bantuan, agar dipermudahkan. Paling mudah, musim exam. Kita pun kembali baca Quran, kembali kita solat, malah doa yang panjangnya pelik daripada hari-hari kita sebelum ini.

Nah! Allah pun berikan apa yang kamu mahu. Apa yang kamu inginkan dalam setiap hajatmu telah Allah berikan, dengan kudratNya yang seluas-luas pemandangan!

Namun malangnya, syukur kita bukan pada Allah, tapi pada satu ikatan maksiat, yang makin rancak, menjadi-jadi. Tidak sedikit pun kita rasa gentar dengan azab Allah yang terpedih.

Sedarlah wahai hati, maksiat itu tetap Allah 'pelihara' dalam pandanganNya. Janganlah kita mudah berasa selesa dengan ujian yang dapat kita lepasi, namun kita susuri dengan maksiat yang tiada henti!



* Risaukan bila kita semakin banyak 'lagha', itu simptom awal kemusnahan hati!

* Kita tiada hak menilai orang, sama ada dia sheikh, alim, rajin, cemerlang atau dia jahat, pelaku maksiat, durjana. Penilaian itu pada Allah, jangan tersilap menilai!

* Melakukan perkara yang tidak berkaitan dengan kita, itu bukan kesempurnaaan Islam! Jauhi lagha, membuang masa dengan tidak berfaedah!


p/s : Entry paling cepat saya tulis, biarpun dalam musim exam, kerana tersangat sedih dengan keadaan sekeliling! Semoga Allah berikan pedoman. InsyaAllah.

Sunday, June 20, 2010

Pemimpin Tidak Terpimpin

Pemimpin perlu ada kepimpinan, atau leadership. Kepimpinan yang asas dalam diri seorang pemimpin, ialah kepimpinan diri, atau self-leadership. Jangan kita melihat pemimpin kepada sejauh mana idea yang dia ada, sehebat mana ilmu yang ditimba, berapa banyak pengaruh yang boleh dia bawa. Tapi jika dia seorang yang tidak terurus masanya, tidak tahu menilai prioriti pada sesuatu perkara, tidak menentu matlamat hidupnya, kehidupan penuh lagha dan sia-sia, dan jauh dari mengenal apatah lagi dekat dengan Pencipta. Itu bukan pemimpin namanya.

Akhlaq adalah subjek terpenting yang perlu kukuh terbit dalam asas seorang pemimpin. Bila sebut tentang pemimpin, maka dia adalah khalifah. Amatlah rugi andai dia seorang pemimpin yang tidak pernah meletakkan matlamat da'wah dalam kepimpinannya. Itu ibarat jalan yang tiada papan tanda, layang-layang yang terputus talinya.

Orang akan merasa senang, indah melihat suatu kepimpinan dari pemimpin yang berakhlaq. Kerana akhlaq itu berupa kepimpinan yang indirect, yang lebih masuk dalam ke lubuk hati berbanding kata-kata yang berbunga-bunga, hanya dengar di telinga dan jauh untuk terasa ke dalam qolbu. Menyentuh hati orang disekeliling kita, dengan pedoman, akhlaq dan pembawaan diri yang tersusun dan teratur - itulah kuncinya kepimpinan bertamadun.

Ibnu Hibban telah meriwayatkan dalam kitab sahihnya, bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata kepada Abu Zar r.a:

"Seseorang itu sudah dianggap mendapat kejahatan sesuatu yang dia tidak tahu tentang dirinya dan memberatkan diri dengan sesuatu yang tidak berkenaan dengannnya"


Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya"

Hadis Hasan, riwayat Tirmizi dan lain-lain

Pemimpin perlu ada akhlaq terpuji. Dengan akhlaq kita boleh mendidik. Dengan akhlaq kita boleh menegur tanpa membuka mulut berkata-kata. Dengan akhlaq kita nampak jalan juang dengan matlamat di hujungnya. Malah akhlaq itu sendiri ilmu yang paling utama dalam kerja da'wah dan tarbiyyah. Kerana akhlaq itu sendiri mengatakan bahwa kita melakukan perkara yang kita perkatakan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) amatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"

al-Quran As-Saff:2-3

Tiada ragunya lagi, andai kita seorang yang berakhlaq, setiap corak kepimpinan kita, setiap bentuk didikan dan teguran kita untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan dan tamadun, tidak akan sama dengan golongan yang ditegur Allah seperti ayat di atas.

Seperti seorang yang penipu, dan mengajak orang untuk bercakap benar, apatah lagi yang menegur orang kerana menipu. Maka persoalan itu untuk dia.

Ramai orang yang bercita-cita menjadi pemimpin hebat. Ramai orang menanam impian untuk disegani masyarakat. Dan ramai pula yang muncul membawa kesedaran kepada ummah untuk berubah dan berganjak ke arah Islam yang syumul. Tapi kita masih terlupa, aspek kepimpinan diri perlu menjadi asas yang paling penting. Tarbiyyah dzatiyah menjadikan kita seorang khalifah, seorang pendidik, seorang penegur, seorang murobbi yang berkeberhasilan, yang berasas tujuan.

Hanya pada Robb.

Monday, May 31, 2010

Hasbunallahu wa ni'mal wakil


"Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti menceroboh), maka ketahuilah bahawasanya Allah pelindung kamu:Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu".
Al-Anfal:40

Friday, May 28, 2010

Istiqomah Hati

عن أبي عمرو، وقيل: أبي عمرة، سفيان بن عبد الله الثقفي رضي الله عنه قال : قلت: يا رسول الله، قل لي في الإسلام قولا لا أسأل عنه أحدا غيرك، قال: قل آمنت بالله ثم استقم – رواه مسلم

Daripada Abu 'Amr, menurut satu pendapat Abu 'Amrah, Sufyan Bin 'Abdullah al-Thaqafi r.a berkata: "Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Katakanlah satu perkataan kepadaku tentang Islam yang aku tidak perlu menanyakannya kepada orang lain" Sabda Rasulullah s.a.w:
"Ucapkanlah 'Aku Beriman dengan Allah' kemudian berIstiqomahlah kamu"
[Muslim]

Hadith Rasulullah s.a.w ini adalah diambil daripada Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan barkata:
"Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqomah) akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) serta janganlah kamu sedih hati, dan bergembiralah kamu dengan Syurga yang telah dijanjikan kepadamu"
[al-Fussilat:30]

Apa lagi ayat Allah tentang istiqomah? Ini dia...

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka istiqomah, tidak ada rasa khuatir pada mereka dan mereka tidak pula bersedih hati"
[al-Ahqaf:13]

ISTIQOMAH ini tidak mudah. Istiqomah itu satu tingkat tertinggi dalam menentukan makrifah, keadaan dan kejernihan hati. Sesungguhnya manusia tidak akan sampai kepada tingkatan istiqomah yang sebenarnya, bahkan pasti melalui proses ketidak-sempurnaan. Allah berfirman:

"Maka hendaklah kamu tetap teguh beristiqomah di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaan Allah) serta pohonlah kepadaNya supaya mengampuni (dosa-dosa yang telah lalu)"
[Fussilat:6]

Istiqomah hati itu adalah asas utama. Apabila hati telah istiqomah di atas makrifat kepada Allah, takut, mengagungkan, menghargai, mencintai, menghendaki, berharap, memohon, tawakkal hanya kepadaNya, dan berpaling daripada selainNya, maka seluruh anggota akan taat kepadaNya. Mengapa? Ini kerana hati itu adalah raja kepada anggota badan, dan anggota yang lain hanyalah seperti parajurit dan rakyat yang mentaati seorang raja.

Tanpa istiqomah, hati itu kosong. Diisi pula tarikan-tarikan nafsu, iaitu kawannya syaitan. Lalu kita lemah, jatuh, futur, terbang tanpa arah dan tujuan. Tanpa hidayah dari Allah, kita akan terus hilang menyepi disebalik pekatnya jahiliiyah dalam diri.

Bangkit! Tiada masa untuk kita bermanja. Tiada masa untuk kita duduk di ribaan syaitan dan nafsu yang didodoinya!

Istiqomah kita demi kerana Allah. Mengapa perlu kita mengakui bahwa Allah itu tuhan kita sedangkan kita sedikit pun tidak istiqomah mengharap redhaNya?

Mohonlah keampunan, teguhlah bermujahadah dan tetaplah beristiqomah.

فاستقم كما أمرت
"Oleh itu hendaklah kamu (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh (istiqomah) di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu"
[Hud:112]

Wednesday, May 19, 2010

Lelaki yang benar-benar kuat!

“Aku tengok Danny tu makin teruk la sejak dia berpisah dengan Najwa..”

“kenapa?”

“Yelah..dulu kalau Najwa ada,,boleh tolong nasihatkan dia sikit..”

Banyak cantik.

Senang betul pemikiran lelaki zaman sekarang.

Seorang lelaki,akan jadi ‘baik’ kalau ada awek disampingnya

Atau, seorang perempuan, akan menjadi asbab perubahan seorang pria yang sepi.

Apa neraca perubahan kita? Rabbani? Manusiawi?

“Hrm..tapi kalau aku cakap dengan Najwa pun..tak ada gunanya kan..”

“ye aku tau..”

Tau takpe.

“Sebab bukan ada tanggungjawab apa pada dia.. kalau perempuan yang menasihat ni, lain macam jadinya.Aku rasa, lebih baik kalau kawan2 lelaki sendiri yang tegur..”


Unit kecil bernama usrah

Satu unit kecil, dibentuk oleh orang2 yang besar jiwanya.. dibina oleh individu2 yang kental cita-citanya..

Yakni, membentuk individu muslim yang beriltizam dengan islam.. membina rijal yang akan mendokong sebuah dakwah di jalan Allah, sebagai penyambung generasi ummah dalam perjalanan menuju ustaziyatul alam.

Mereka ini, adalah individu yang mujahadah nya tinggi melawan nafsu dunia. Tarikan gravity bumi tidak sekali melemahkan tenaganya untuk turbo ke kerajaan langit, lantas melihat dunia dari jendela akhirat!

Adanya murabbi..untuk sentiasa menegur.Dialah bapa untuk dicurahkan kasih sayang, dia jugalah syeikh yang menyuapkan makanan ruh, dia ustaz yang menta’lim, dia juga sebagai pemimpin yang menunjuk ajar.

Murabbi itu,berlegar di hati.. bukan di akal sahaja.

Kerana tarbiyah kita,adalah tarbiyah hati. Hati yang di dalamnya ada iman. Iman yang dapat melawan perkara yang disukai oleh nafsu.

Dan buatkanlah untuk mereka,perumpamaan kehidupan dunia ini,ibarat air (hujan) yang Kami turunkan dari langit,sehingga menyuburkan tumbuh-tumbuhan di bumi,kemudian (tumbuhan itu) menjadi kering yang diterbangkan oleh angin.. Al-kahf; 45

Usrah…bukanlah sekadar duduk-duduk dan berbincang kesalahan orang lain, juga bukan hanya dihadiri kerana hormatkan ‘senior’, tidak pula membuahkan amal. Malah, setelah naqib tiada, masing2 membawa hala tuju sendiri..hanyut…sepi….gersang……

“Aku nak berhenti merokok”

“Betul,kau kena mujahadah..”

“Ha’ah..tengah cuba lah ni”

“Lelaki ni kan, kalau mujahadah pun tak lepas…tak kuatlah”

-diam-

“Ish, tajam sungguh kata-kata kau ni”


Mujahadah melahirkan seorang rijal

Apa yang menjadikan seorang lelaki itu kuat?

Dia pelari pecut 100m secepat 9.58 sec? (eh,ni macam Usain Bolt)

Dia striker team futsal? Atau defender mungkin?

Dia yang patahkan papan dalam taekwondo?

Dia hafal semua jurus silat & kombat, bertali pinggang harimau cula tiga?

Namun…

Ketika bermujahadah untuk berhenti merokok.. dialah yang pertama katakan ‘susahlah…’

Janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri 2;195

Ketika diajak teman rapat untuk clubbing dan melepak di kelab snuker..

Dialah yang paling cepat angkat tangan

Dari Abu Hurairah r.a katanya: ” Telah bersabda Rasulullah SAW : ” Sebaik-baik Islam seseorang itu adalah peninggalannya tentang apa yang tiada kena mengena dengannya. “

Ketika dirinya bersendirian tanpa teman perempuan, atau ketika dia putus cinta…

Dia gersang, hilang arah.. ditangisi nasib bak anak2 kecil..

Hilanglah dunianya…

Hilanglah nafasnya..

Hilanglah kekuatannya…

Ketika melintas seorang wanita dihadapannya, hampir terkeluar bola matanya mengintai!

Rasulullah yang mulia dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, di mana beliau bersabda,

“Tidak pernah kutinggalkan sepeninggalku godaan yang lebih besar bagi kaum lelaki daripada wanita.” (HR. Bukhari Muslim)


Apa macam? Anda rasa anda kuat?macho?

Mujahadah dah lepas?

Bapak-bapak seaqidah…

Muslimah memerlukan seorang lelaki yang soleh untuk membentuk dirinya. Lelaki yang juga seorang rijal, yang mujahadahnya mantap.. ruhbanu billayl, fursanu bin nahar..

Bukannya kami yang perlu membentuk diri kalian.

Bukannya hanya kami yang berusaha ditarbiyah, kalian hanya mencedok hasil tarbiyah kami..

Bila nakkan isteri nak yang solehah saja…

Beginilah, muhasabah diri kita..

Tarik nafas..buang ego jauh2…

Kembali pada unit kecil tadi..usrah.

Bentuk keluarga anda sendiri.. ya,keluarga yang semuanya lelaki.

Jalinkan ukhuwwah islamiyah yang mantap

Saling tegur menegur..saling bermujahadah menjadi lelaki yang BENAR-BENAR KUAT

Dan kami akan memanggil anda ikhwah..

Da’i di jalan Allah

Soleh wa mosleh

Selamat bermujahadah

wassalam,

Dari seorang muzakkirah

p/s: Saya bukan anti-lelaki ya.. hanya berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran..

Moga bermanfaat iAllah


Dipetik daripada Muslim Circle