Wednesday, May 5, 2010

Ukhuwwah selamanya!


Ukhuwwah kita atas dasar iman
Bukan kerana 'Halaqah Kau dan Aku Sama'
Bukan juga 'Aku ada Halaqah, Kau Tiada'
Moga ukhuwwah yang terbentuk ini membawa ke jannah




Hak-hak Umum Ukhuwwah Islamiyah

• Mengucapkan salam
• Menjawab salam
• Menjenguknya jika sakit
• Mengiringi jenazahnya
• Memenuhi undangannya
• Mendoakan jika dia bersin• Benar dalam bersumpah
• Menolong jika dia zalim / menzalimi
• Memberikan nasihat
• Membuang kesulitan / kesusahan daripadanya
• Membantu jika dia dalam kesusahan• Menutupi aibnya
• Menjauhkan diri dari sifat dengki, sakiti hati, benci, zalim dan sombong





p/s Sambil itu nak promote 'Rehlah Kita' untuk antum semua. Isnin ini, 10hb Mei 2010. Jumpa di Hostel Hiroshima jam 8.30 pagi ye? Ukhuwwah fillah!

Sunday, May 2, 2010

Daie Benarkah Engkau Ikhlas?


Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka
tidak akan banyak dai yang berguguran di tengah jalan. Dakwah akan terus laju dengan lancar untuk meraih tujuan-tujuannya dan mampu menanam prinsip-prinsipnya dengan kukuh.

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka dia tidak akan peduli ketika ditempatkan di barisan depan atau belakang. Komitmennya tidak akan berubah ketika dia diangkat menjadi pemimpin yang boleh mengeluarkan keputusan dan ditaati atau hanya sebagai jundi yang tidak dikenal atau tidak dihormati.

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka semua orang akan sangat menghargai waktu. Bagi setiap dai, tidak ada waktu untuk terbuang sia-sia kerana dia akan selalu menggunakannya untuk beribadah kepada Allah di sudut mihrab, atau berjuang melaksanakan dakwah dengan menyeru kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran. Atau, menjadi murabbi yang gigih mendidik dan mengajari anak serta isterinya di rumah. Dai yang aktif di masjid untuk menyampaikan nasihat dan membimbing masyarakat.

Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan segera menunaikan kewajipan kewangannya untuk dakwah tanpa dihinggapi rasa ragu sedikitpun. Semboyannya adalah

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاق

“Apa yang ada padamu akan habis dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.”

[an Nahl, 16:96]

Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan patuh dan taat tanpa berasa ragu dan bimbang. Di dalam benaknya tidak ada lagi erti keuntungan peribadi dan menang sendiri.”

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka akan muncul fenomena pengorbanan yang nyata. Tidak ada kata “ya” untuk dorongan nafsu atau segala sesuatu yang seiring dengan nafsu untuk berbuat maksiat. Kata yang ada adalah kata “ya” untuk setiap perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Jika komitmen para dai benar-benar ikhlas, maka setiap anggota akan menaruh kepercayaan yang tinggi kepada para pemimpin fikrah. Setiap yang bergabung akan melaksanakan kebijakan pemimpinnya dan mengakkan prinsip-prinsip dakwah dalam hatinya.

Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka setiap orang yang kurang teguh komitmennya akan menangis, sementara yang bersungguh-sungguh akan menyesali dirinya kerana ingin berbuat lebih banyak dan berharap mendapat balasan serta pahala dari Allah.



p/s Dirumus daripada buku tulisan Muhammad Abduh - Komitmen Da'i Sejati



Saturday, April 24, 2010

Hidup Pasti Melangkah

Akuilah, jalan juang ini tidak pernah sunyi. Jauh jalan ini telah kita lalui namun hujungnya masih belum kelihatan lagi. Jalan ini bukan sebatang. Jalan ini banyak bercabang. Ada kalanya kita tersedut ke cabang-cabang sulit dan himpit, lalu terus tersepit. Ada ketikanya hati-hati kita hitam berpalit, tiada apa yang nampak melainkan dosa-dosa dan jahiliyyah yang tercatit. Namun akuilah, jalan benar itu tetap disitu letaknya. Tidak pernah beralih arahnya, tidak pula samar tujuannya. Hidup ini satu kepastian untuk terus bergerak melangkah. Bawalah hati-hati yang celik, kerana itulah penyuluh jalan agar tidak hilang pedoman dan itulah kekuatan agar langkah ini tidak sesat berjalan.



Andai terluka ditusuk sembilu
pandanglah pada kata-kata
mendung tak akan selalu
murung pasti berlalu

Dibalik suram kamar sepi
rupanya kasih tersembunyi
biar diri dicemuh
guris hati nan luluh
yakin tak akan berubah

Ingin ku tinta langit biar memutih
basah didalam zikir insan terpilih
Kilau agungMu pasti di dalam kalbu
terukir salju rinduku

Terasa pimpinanMu sepanjang waktu
bertakhta dinurani keagunganMu
Hidup Pasti Melangkah menuju rindu
dalam janji yang satu







Friday, April 9, 2010

Segalanya MilikMu

Sekadar ingin berkongsi sebuah lagu. Syahdu mendalam liriknya, seakan membawa kita menilai sejauh mana kasih dan cinta kita berputik kepada Pencipta.


Kau yang menciptakan cinta
dan Kau jua yang menghampar bahagia
di ribaan-Mu terhimpun harapan
impian tulus setiap insan

Kau yang mengutuskan duka
dan Engkaulah yang mengirimkan hampa
namun pada-Mu jua diadukan
merebahkan keresahan dan tangisan

Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cinta-Mu
dan ku tahu tiap yang terbaik untukku
tak semuanya yang ku mahu...

Di celah hangat nafas yang terhela
ada dingin saat menyebut nama-Mu
terarah segala ronta rasa
pada damainya dakapan-Mu (ya ALLAH)

Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu
dan ku tahu disegenap ruang rasaku
telah kau titipkan kekuatan oh Tuhan...




Saturday, March 27, 2010

Hijrah Sebuah Cinta

"Risau. Serba serbi tidak kena. Hati ini bercelaru bila memikirkannya. Sejak kami berkenalan beberapa tahun dahulu, sehingga kami saling mencintai dan kini saya masih keliru, risau. Mengapa dia bertindak sebegitu? Bukankah sebelum ini dia berjanji untuk terus bersama cinta ini? Tapi mengapa dia lari? Hati ini buntu. Cuma apa yang ada dalam fikiran saya, mungkin dia tidak lagi mencintai diri ini. Ya, cinta dia selama ini hanyalah palsu. Sampai hati dia sanggup meninggalkan saya sebegini..."

Coretan hati seseorang yang 'ditinggalkan' kekasihnya. Itu bukanlah kata-kata saya, namun kata-kata yang saya simpulkan untuk membawa pembaca memahami. Sama ada dia seorang wanita yang ditinggalkan teman lelakinya, atau juga seorang lelaki yang ditinggalkan teman wanitanya. Begitu banyak sebab mengapa 'ditinggalkan'. Mungkin ditinggalkan kerana kekasihnya sudah bosan, mungkin juga kerana menemui orang lain yang lebih memahami, yang lebih dekat untuk sentiasa mendampingi. Atau mungkin juga kerana sesuatu yang tidak pasti - iaitu mungkin perasaan yang 'mewajibkan' diri ini untuk meninggalkannya, suatu perasaan yang rumit dan tidak pernah berakhir, dan perasaan inilah yang sentiasa berbisik pada diri sendiri, bahawa:

'Aku perlu meninggalkan dirinya kerna aku ingin mencari sesuatu, iaitu erti cinta yang lebih besar, dan aku akan pulang dari 'jalan pencarian' ini dengan membawa 'kejayaan' yang lebih hebat, lebih istimewa, lebih terutama, untuk cinta kita'

Itulah hijrah sebuah cinta. Ramai yang tahu maksudnya hijrah. Ya, hijrah itu perjalanan, perubahan dan perjuangan. Ketika menyebut tentang hijrah, ramai pula yang teringat akan hijrah Rasulullah s.a.w. Hijrah Baginda bukanlah sekadar melangkah mengukir tapak-tapak diatas padang pasir, namun hijrah itu sendiri amat mendalam maksudnya. Hijrah jiwa dan rohani, hijrah yang membawa Islam sehingga kukuhnya ke hari ini, begitulah juga hijrah yang membawa sebuah cinta agar kelak terbina cinta sejati dan cinta abadi. Itulah analogi, sebuah cinta yang berhijrah, yang meninggalkan kepalsuan dan jahiliyyah.

Siapa yang perlu memulakannya? Kita yang perlu memulakannya. Sama ada kita yang perlu 'meninggalkan' dan terus melangkah berhijrah atau kita yang 'ditinggalkan'. Bagi yang 'ditinggalkan', adakah akan terus duduk tanpa bertindak? Atau mungkin merungut dan 'makan dalam', risau yang tidak pernah padam, buntu dan bercelaru bertambah-tambah? Jangan biarkan perasaan itu menghakis sebuah kepercayaan. Ayuh! marilah kita bersama berhijrah. Walaupun kita 'ditinggalkan' tapi kita tidak pernah ketinggalan!

"Akan aku kejarNya dihadapan, agar antara kita akan berputik harapan dan cinta pada keikhlasan. Tidak lagi perlu diragukan, tiada apa perlu dirisaukan..Dia pemilik hati ini, padaNya tempat aku mencari jalan dan kehidupan..Ya Allah, kuatkan.."


Akhirnya, kita mengetahui apakah itu jalan hijrah. Dalam cinta ada jalan kisahnya, dan jalan yang terbaik adalah hijrah. Namun, hijrah itu bukanlah mudah seperti yang disangka. Sedangkan untuk kita memulakan langkah pertama, derita dan sengsaranya itu tidak terkira. Malah walaupun sudah melangkah, langkahan seterusnya belum tentu kita lepasi. Mungkin jatuh tersungkur? Rebah menyembah dan akhirnya akur semula pada tuntutan dan bisikan hembusan nafsu dan syaitan.

Hanya buat mereka yang tidak ragu pada cintanya Allah, merekalah golongan yang kuat dan teguh ber'istiqomah'. Mereka tetap melangkah, tidak sesekali pandangan itu beralih arah. Jiwa mereka hanya ada Allah dan hanya Dia yang menemani jalan hijrahnya. Hijrah itu jihad dan inilah jalan cinta yang sukar.

Seperti juga hijrah dan jihad Rasulullah s.a.w, jihad dan hijrah sebuah cinta ini juga tidak lari daripada duka dan hibanya. Namun, tidakkah kita mempelajari sejarah, bahawa hijrah yang sukar dan pedih itu, akhirnya ketenangan dan gembira itu penyudahnya. Derita kepayahan itu akhirnya Allah balas dengan kejayaan yang lebih berganda tanpa diduga. Ini semua akan kita miliki dengan teguhnya pendirian bahawa Allah itu sentiasa ada bersama kita.

Tiada lagi kerisauan. Hentikan setiap keraguan. Andai kita 'ditinggalkan', janganlah kita lemah dan memutuskan harapan. Tapi bangkitlah mengejar ke hadapan. Aturkan langkah-langkah ini dan sisipkan cinta itu sebagai bekalan.


Mungkin boleh saya katakan, bahawa kita 'ditinggalkan' kerana kita disayangi, dan kerana Allah lebih menyayangi mereka yang berusaha menghapuskan kebatilan dalam diri. Tinggalkanlah kepalsuan dan jahiliyyah cinta, dan teguhlah membatasi diri dengan hijab dari hati dan nurani yang suci. Kita bersihkan diri ini, kita sucikan hati ini, kita bersama memikul beban sepanjang jalan hijrah ini, sehingga kita sampai pada pertemuan sebuah cinta yang hakiki dan abadi. Itulah cinta antara kita. Iaitu cinta yang pernah suatu ketika 'ditinggalkan' dan 'meninggalkan'. Dan di pengakhirannya, cinta itu kita pertemukan. Pertemuan cinta yang begitu indah, sentiasa dipayungi rahmat dan kasih Tuhan.

Hijrah itu sebatang jalan. Sukar dan payahnya bergantung sejauh mana kita sanggup melaksanakan syari'at Illah. Selagi kita tiada cinta padaNya, masakan pula akan terlaksana syari'atNya? Jika syari'atNya kita tinggalkan, masakan pula ingin kita berhijrah ke arahNya? Dan selagi hijrah itu tiada, jauhkah kita dari maksiat dan dosa?

Hijrah sebuah cinta, hijrah paling manis buat semua. Semoga hidayah Allah menyuluhi jalan ini selamanya.




Tuesday, March 23, 2010

Derita Daie











Tuesday, March 9, 2010

Setanggi Syurga


"Setanggi Syurga. Mungkin ada yang pernah mendengar lagu ini, dan boleh jadi lagu ini adalah lagu yang paling anda minati. Sekadar untuk berkongsi, lagu ini beserta liriknya, adalah lagu yang paling saya minati. Sejak dahulu hingga kini, lagu ini seakan membawa 'sesuatu', yang menusuk jauh ke dalam hati kecil ini, tapi masih sukar untuk ditakrifkan secara lumrahnya. Namun, bagi mereka yang pertama kali mendengarnya, tidak mudah mencari makna yang tersembunyi. Cubalah fahaminya. Lagu ini berlirikkan sebuah perjalanan, yang jauh meninggalkan kepalsuan, tapi begitu menguatkan, untuk terus teguh mengejar hakikat cinta Allah, biarpun permulaannya telah jauh kita tinggalkan, namun hujungnya masih belum kelihatan"



"Bila saya telah lama tidak mendengar alunan lagu ini, dan kemudian saya mendengarnya, diri terasa seakan jauh, hati ini sebak dan luruh, mungkin zikrayat yang tersimpan dahulu, seakan menyala membawa bara. Itulah apa yang boleh saya maksudkan. Mungkin anda sendiri lebih layak mentafsir bait liriknya. Tapi bagi saya, itu tetap yang sama"


Percaya...
Kata janjiMu,
Kerna ku yakin apa digenggamMu
Keharuman setanggi syurga,
Bukan kilauan sebilah belati.

Terseksa,
Jiwa merindu,
Bagai terkurung dibasah tengkujuh
Kewangian aroma bunga,
Tak menggugah keteguhan iman.

Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur,
pada redup renung mata yang menipu,
Tuntas ku mendaki,
Puncak CINTA TERAGUNG...

Izinkan aku melafazkan kata,
Bicara hati yang mudah diterjemah,
Betapa aku...
Gerun pada teduh untuk bernaung,
Kerna awan itu rapuh.

Bahagia buat mereka yang bertemu cinta yang teragung
Yang membawa ke syurga hakiki dan abadi...

Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur,
Pada redup renung mata yang menipu,

Tuntas ku mendaki,
Puncak Cinta teragung...

Izinkan aku melafazkan kata,
Bicara hati yang mudah diterjemah,
Betapa aku gerun pada teduh untuk bernaung...

Dendam tak marah menyala dan membakar,
Oleh putih salju yang berguguran,
Kerna dosa itu lebih hitam dan gelap,

Ku anyam rindu menjadi hamparan,
Kerna ku pasti adanya pertemuan,


Disana nanti bukti cinta suci dilafazkan,
Tak bertemu pengucapan...

Percaya...
Kata janjiMu,
Kerna ku yakin apa digenggamMu,
Keharuman setanggi syurga,
Bukan kilauan sebilah belati....



Saya pernah suatu ketika dahulu menulis pengertian "Setanggi Syurga". Sudah tentu, itu hanyalah pendapat dan tafsiran saya. Jika anda berminat mengkaji, capaiannya di sini





Sunday, March 7, 2010

Cinta Mati

"Saya tidak tahu bila ajal saya. Kawan saya juga tidak tahu bila ajal dirinya. Tapi Allah yang Maha Mengetahui. Jadi adakah perlu kita berdoa dan meminta agar Allah memberitahu kita tentang tarikh kematian ini? Andai kata kita tahu bahawa ajal itu tiba pada 4hb Januari 2035, adakah kita berani membuat jaminan untuk teguh bertaubat pada usia kita sekarang? Tepuk dada, tanyalah iman. Tiada siapa di dunia ini yang tahu tentang bila kematiannya, tapi yang perlu dipupuk adalah perasaan untuk sentiasa mengingati mati"

Setiap yang hidup pasti menemui kematian. Tapi istimewanya mati dan istimewanya hari Qiamat itu terletak pada tarikhnya. Iaitu keistimewaan yang tidak pernah ternilai dengan jiwa yang ragu-ragu tentang 2 'hari besar' itu. Mati itu adalah simbol kebesaran yang Maha Esa. Ghaibnya alam kematian itu seakan misteri kerana tiada seorang pun yang mati akan hidup kembali ke dunia kita ini untuk duduk bersama-sama dan menceritakan pengalamannya di Barzakh.

Bila saya bertanya tentang 'mati' kepada segelintir orang Rusia (beragama Kristian), mereka agak terkejut dan cuba mengelak daripada bercerita tentangnya. Mungkin mereka juga ada perasaan untuk takut pada kematian, tapi bagi saya takut mereka tidak berasas, kerana mereka takut pada mati disebabkan dunia yang mereka cintai. Di dalam Islam, takut pada kematian itu perlu menjadi keperluan, tapi dalam ketakutan itu bukanlah bermaksud kita perlu lari daripada mati, tapi sebaliknya, kita perlu lebih mendekatkan diri kepada Pencipta.Sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"
Perbanyakkanlah mengingati perkara yang memutuskan segala kelazatan - iaitu mati" (Riwayat Tirmizi)

Bila mati itu tiba, maka terpisahlah jasad yang kita bawa dengan roh didalamnya. Yang tinggal adalah amalan dan segala perbuatan yang kita lakukan sepanjang usia di dunia nyata. Keluarga akan kita tinggalkan, harta benda akan kita biarkan. Segalanya akan kita lafazkan 'selamat tinggal'. Oleh kerana itu, mati itulah pemutus segala kelazatan. Mati itulah perhentian segala perjalanan duniawi, dan tiba-tiba kita hilang! Lalu kembalinya kita ke Barzakh, dan kemudian ke Akhirat yang kekal abadi.


Manusia itu pada asasnya adalah 'insan'. Seorang yang mudah lupa dan leka. Itulah kita semua, manusia yang kerdil dan tiada kuasa. Mengapa saya katakan sebegitu, ini kerana mati itu hanyalah stimulasi bagi orang yang sentiasa memikirkan tentangnya. Tapi tidak semua kita mampu untuk itu. Kadang-kala bila ada azab di sekeliling kita, barulah kita tersedar untuk bangun dari tidur. Tapi malangnya kita mengantuk dan tidur semula dengan nyenyaknya.

Bila Allah menurunkan bencana dan azab, mungkin seperti wabak penyakit, gempa bumi yang bertalu-talu gendangnya, tsunami yang menenggelamkan pelusuk dunia - maka barulah kita bangkit, kita duduk, kita sujud, meminta Allah membantu dan menyelamatkan. Kata pepatah Melayu - sudah terhantuk, baru hendak terngadah.

Begitu juga dengan mati. Sehingga ke hari ini, saya telah merasai kehilangan 3 orang sahabat yang saya kenali ketika dibangku sekolah. Dan yang masih baru dan segar diingatan saya, pemergian seorang sahabat saya yang saya kenali di MRSM dulu, pada bulan Februari lepas. Allahyarham yang pergi meninggalkan kita, usianya sama dengan saya. Impiannya juga sama, malah harapan keluarganya juga sama untuk dirinya. Namun, kita berada dalam dunia yang berbeza. Matlamat itu ada tetap pada saya, tapi bagi dirinya, ia telah terputus segalanya. Kita di dunia nyata, dan dia di Barzakh sana. Usia itu tidak menghalang ajal. Sesaat lewat dan sesaat cepat tidak akan terjadi samasekali. Ajal itu tidak mengenal siapa, andai itu yang tertulis, itu jualah yang terjadi. Allahu Rabbi.

Pemergiaan sahabat-sahabat disekeliling kita ini, memang agak mengejutkan. Kemudian kita seakan duduk bertaubat sebentar, melafazkan al-Fatihah, berfikir sejenak. Namun, kitalah manusia. Sepertimana usia itu yang tidak lama, kesedaran kita juga tidak lama bertahannya. Mungkin dalam beberapa minggu atau bulan, kita telah lupa tentang itu. Perasaan tragis dan sedihnya mengenangkan pemergiaan sahabat kita, kini telah hilang. Sehinggalah stimulasi berikutnya sampai, dan kemudian kita akan bertaubat semula. Begitulah kitarannya, sehinggalah tibanya masa kita!

Analogi mati ini adalah tidur. Tidur itu mati yang sementara. Saya pernah tidur dan bermimpi ngeri. Jantung saya berdegup kencang seakan saya tidak mampu lari dari kengerian itu. Tapi akhirnya saya terjaga dari tidur, dan rupanya itu hanyalah mimpi buruk. Namun, ketika kita mati, terkujur di Barzakh, itu bukan lagi mati yang sementara. Andai mimpi ngeri itu datang ketika mati ini, kita tidak akan pernah terjaga seperti terjaganya daripada tidur, malah mimpi itu menghantui kita selama mana kita di Barzakh.

Itulah saatnya. Saat ketika segala kelazatan terputus. Mati namanya.


Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang anak Adam itu mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad)


"Kepada sahabat yang telah pergi, Allahyarham Azri Hazim, Mohamad Anif dan Akram Kamarzaman, semoga pemergiaanmu ke Barzakh itu disertai rahmat dari Allah. Dialah yang berkuasa menghidupkan dan berhak pula mematikan. Semoga ibrah itu kekal dalam diri kami yang masih hidup di dunia yang fana ini."
Al-Fatihah


Sunday, February 21, 2010

Istikharah Cinta

“Saya masih belum berkahwin. Tapi saya berazam untuk berkahwin. Buat masa ini, biarlah saya bercinta dahulu. Tapi saya akan berkahwin nanti. Mungkin bukan sekarang, tapi saya berazam untuk berkahwin juga. Supaya pasangan saya tidak lari, dan supaya dia tahu bahwa saya sangat mencintainya, biarlah kami bercinta dahulu buat masa ini. Tapi kami juga ingin berkahwin, dan kami berazam untuk itu. Tapi mungkin bukan sekarang, insyaAllah nanti…”



Istikharah – bermaksud meminta Allah memberikan ilham, dalam kita membuat pilihan dalam pelbagai perkara dan urusan. Saya percaya, ramai daripada kita yang pernah mendengar perkataan ‘istikharah’ ini dengan membawa maksud ‘istikharah untuk memilih pasangan hidup’, ataupun lebih tepat boleh saya katakan – istikharah cinta.



Saya telah lama tahu tentang istikharah dan solatnya. Pertama kali saya bersolat sunat istikharah adalah ketika saya ingin membuat keputusan untuk belajar di MRSM. Dan kali keduanya adalah ketika saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran perubatan di Rusia.



Pada hujung bulan Januari yang lalu, saya pulang bercuti ke Malaysia sempena cuti musim sejuk ataupun bagi saya – cuti peristiwa ‘ribut salji’ yang melanda Eropah. Ketika saya sedang membelek-belek berita dalam akhbar Utusan Malaysia yang sudah lama tidak saya pegang, pandangan saya tertarik kepada sebuah artikel tentang ‘Istikharah’.



Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliyyah iaitu meramalkan masa depan berpandukan kepada berhala dan syaitan. Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan.



Dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)



Setelah saya ber’istikharah’, saya tidak pula menunggu sehingga datang mimpi tentang pilihan yang ingin saya putuskan. Tiada suatu nas atau dalil yang menyatakan demikian. Namun, itu semua bergantung juga pada kehendak dan kekuasaan Allah untuk setiap hamba-hambaNya yang meminta kepadaNya.



Setelah istikharah, maka saya teguh dengan keputusan saya. Saya percaya kata-kata al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya. Maka saya teguh meneruskan keputusan yang telah saya pegang, samaada saya berasa senang atau tidak, kerana kebaikan itu pasti ada dalam jiwa ini, meskipun jiwa ini tidak menyenanginya.



Namun, sedar tidak sedar, ada sebuah rahsia rumit disebalik istikharah ini. Apabila seseorang itu meminta agar Allah memberikannya ilham atas keputusan dan pilihannya, maka selepas itu dia berasa begitu yakin, optimis dan pilihannya jitu! Maka tanpa membuang masa, dia terus memulakan langkah pilihannya.



Tapi sedihnya, istikharah itu bukanlah membawa dia ke arah menyempurnakan syari’at ke gerbang perkahwinan, tapi ‘hidayah’ yang dia peroleh membawa dia kearah jalan yang mencatitkan dosa sepanjang perjalanannya. Sehingga sanggup dia bercinta diluar akad yang sah, malah mengisytiharkan bahawa ‘saya kini telah berpunya’!



Sudah tentulah bukan hidayah dan petunjuk Allah yang membawa dia kepada jalan ini, tapi syaitan itulah yang mengilhamkan kepada dirinya. Syari’at istikharah itu indah, tapi pudar kesannya apabila nafsu itu yang menjadi nakhoda iman.




Kalau dilihat pada kata-kata diawal penulisan saya ini, itu bukanlah kata-kata saya. Tapi kata-kata itu saya simpulkan daripada sebuah kebenaran. Fikirkanlah, perkahwinan itu tuntutan syari’at, akad yang sah itu mengikat perhubungan antara fitrah sebuah cinta. Namun, mengapa perlu bercinta diluarnya? Sehingga sanggup mengatakan:



“insyaAllah saya akan berkahwin nanti, buat masa ini biarlah saya bercinta dahulu” – adakah kata-kata ini sudah cukup untuk menyejukkan bahang neraka Allah dan memadamkan nyalaan apinya?



Jangan kita pesongkan cinta itu dengan salutan syari’at yang diputarbelitkan tali-tali syaitan, kerana hebatnya syaitan itu terserlah, janjinya untuk menyesatkan ummah tidak pernah luntur, kerana semakin hampir Qiamat itu mendekati, semakin kuat janjinya termakbul.



Peganglah syari’at itu dan genggamlah seerat-eratnya! Jadikanlah istikharah itu sebagai pedoman untuk memayungi kesucian cinta dibawah lindungan Allah, dan letakkanlah perkahwinan itu sebagai garis mula perjalanan sebuah kemesraan cinta yang hakiki dan abadi.



Hati saya tersentuh, bila saya membaca sepotong doa, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Jabir r.a:


"Ya Allah, aku memohon petunjuk kebaikan kepada-Mu dengan ilmu-Mu. Aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu. Ya Allah, seandainya Engkau tahu bahwa pilihan ini baik untukku dalam agamaku, kehidupanku dan jalan hidupku, jadikanlah untukku dan mudahkanlah bagiku dan berkatilah aku di dalam pilihan ini. Namun jika Engkau tahu bahwa pilihan ini buruk untukku, agamaku dan jalan hidupku, jauhkan aku darinya dan jauhkan pilihan itu dariku. Tetapkanlah bagiku kebaikan dimana pun kebaikan itu berada dan redhailah aku dengan kebaikan itu".

Saya termenung memahami doa ini. Mana tidaknya, sepotong doa ini begitu sempurna untuk menjelaskan ayat Allah, sebuah ayat al-Quran yang sentiasa menemani jalan cinta ini:

"Diwajibkan ke atas kamu berperang, sedangkan berperang itu sesuatu yang kamu benci. Mungkin kamu benci pada sesuatu, sedangkan ia lebih baik bagimu, mungkin juga kamu cintai sesuatu, sedangkan ia mudarat bagimu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak"




Friday, January 8, 2010

Senyum Murobbi

Malam ini sunyi. Orang lain mesti tengah nyenyak tidur. Tapi diluar tingkap rumah, saya lihat jentera pengorek salji, dan bunyinya memecah kesunyian malam ini.

“Apehal la malam2 nak buat bising? Kesian orang lain nak tidur..ish..” monolog kalbu…

Yang bekerjanya seorang sahaja, dan dia seorang sahaja bersama jenteranya ditepi jalan ais itu. Mengorek dan terus mengorek, dan bunyinya bingit sekali! Saya melihat dan memerhati. Memang benar Allah itu menguasai hati setiap hambaNya, dan terdetik dalam benak fikiran ini tentang hakikat apa yang berlaku dihadapan saya.

Kalau diberikan peluang, tentulah dia ingin bekerja disiang hari. Dia juga manusia, mungkin juga memiliki keluarga, yang memerlukan dia untuk menemani mereka. Tapi hakikatnya, dia hanya boleh memilih malam sebagai ‘siang’ bagi dirinya untuk bekerja. Apa tidaknya, setiap awal pagi lagi jalan diluar rumah saya penuh dengan kereta, berpintas lalu tidak putus-putus! Jadi bagaimana pula nak mengorek salji disiang hari? Bukankah akan lebih menyukarkan orang lain nanti?

“Lagi kesian kalau dia dimaki hamun orang lain sebab buat traffic jam..hanya kerana dia ingin bekerja disiang hari..ish..” monolog kalbu.

Pengorbanan. Mungkin itulah yang boleh saya rumuskan. Pekerja d
an jenteranya itu, berkorban dengan berjaga di malam buta, hanya kerana ingin mengelak hati-hati amarah manusia sekeliling terhadapnya jika dia menganggu mereka disiang hari, meskipun masih ada juga yang amarah kerana jenteranya bingit di waktu malam!

Memilih antara dua yang perit, keperitan itu tetap kekal ada. Memilih samaada bekerja malam atau siang hari, kedua-duanya buat orang tidak puas hati. Tapi pengorbanan itu jawapannya…

Jalan ini jauh. Banyak pula cabangnya. Kalau ke kanan berbatu tajam, ke kiri pula tajam berduri, ke hadapan berbara api, namun kebelakang tidak sekali-kali! Tapi saya juga tidak boleh berdiri disini! Biarlah lambat bergerak daripada terus berhenti!

Murobbi ada jiwa. Kerana dia juga seorang manusia. Cuma jiwa itu sentiasa disaluti cinta. Dan cinta inilah yang menguatkan dia, cinta inilah yang
memandu arah jalan hidup kepada keredhaan Robb. Cinta sehebat ini tidak pernah muncul, melainkan ianya adalah penyatuan cinta daripada yang lain. Ibu mana yang tidak menyayangi anaknya, begitu juga murobbi, yang tidak pernah lekang kasihnya membawa cinta pada setiap mutarobbi.

Ada ketikanya cinta itu menjadi ujian. Dan ujian inilah yang betul-betul mewarnai jalan hidup. Murobbi tidak boleh menyangka warna warni itu sentiasa indah, ianya boleh kabur dan musnah bercampur, sehingga tidak termampu lagi mentafsir warna yang diimpi. Kasih dan cinta itu diberi, bukanlah untuk murobbi dicintai dan dikasihi. Tapi cukuplah kita sekadar memberi dan terus memberi. Biarlah Allah sahaja yang menilai dan mengiktiraf kerja dan usaha kita. Bukan manusia, bukan juga mutarobbi itu sendiri.

Murobbi yang memberi dan terus memberi, janganlah sesekali mengharapkan balasan. Biarpun perit dan sukar kita menanggung beban ini, biarlah kepada Allah kita letakkan segalanya. Murobbi bertanya pula pada dirinya:

“Mungkin aku belum cukup memberi..dan adik-adik belum cukup menerimanya?

Tidak, sebanyak mana jua pengorbanan yang kita gadaikan demi mereka yang kita bawa, hanya Allah yang layak mengagihkannya. Apa yang diagihkanNya – itulah hidayah. Hidayah itu milik Allah! Murobbi duduk dan berfikir, jauh ke dalam hati kecilnya –


“Aku hanyalah manusia biasa, yang menguatkan aku adalah cintaku pada mereka, kerana aku cintakan Allah, dan aku ingin mereka juga mencintaiNya, tapi cinta ini milik Engkau ya Allah, aku tidak mampu menyaingi cinta ciptaanMu, kerana aku insan biasa, dan hidayah itu tetap milikMu”

Coretan perjalanan ini jauh. Kabur atau cerahnya jalan dihadapan ini hanya bergantung pada kekuatan kita. Kalau mereka lemah, kita
tidak boleh ikut lemah. Murobbi perlu kuat. Murobbi perlu banyak bersabar. Murobbi senyum biarpun hatinya muram, tawanya itu tangisan dan kesedihan mendalam. Tapi hati ini sentiasa memujuk:

“Tak mengapa, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk aku…satu hari nanti Allah pasti akan berikan aku apa yang aku pinta kepadaNya selama ini..biarpun bukan didunia, insyaAllah diakhirat nanti..”

Bila hati sendiri memujuk, rasa begitu tenang untuk terus melangkah. Bila hati ini disapa dengan duka lagi, kita tidak akan lagi berundur tapi terus jauh melangkah.


Saya tidak mahu,
Ukhuwwah kerana dunia,
Pasti tak akan lama,
Musnah dan punah akhirnya..

Saya tidak mahu,
Ukhuwwah tanpa bicara,
Bila terus memendam rasa,
Itu bukan petanda ikhlasnya kita.

Saya hanya mahu,
Allah bersama kita,
Bila berduka dan saling berduka,
cintaNya jua yang mengembalikan kita…




Kini, saya mampu untuk senyum.