Sunday, November 22, 2009

Wanita itu Rahsia

“Maaf, saya hanya meletakkan segalanya kepada Allah. Andai benar saudara ditentukan untuk diri saya, maka keredhaan itulah yang akan saya pegang…tapi andai tidak diizinkan Allah, itulah juga yang terbaik untuk kita…”


Andai seorang laki-laki menyatakan hasrat untuk menjadikan seorang wanita itu sebagai isterinya yang sah, lalu wanita itu membalasnya dengan kata-kata diatas, mungkin itu menjadi suatu kesukaran yang sangat rumit bagi lelaki tersebut. Apa tidaknya, kata-kata itu begitu luas maksudnya, begitu mendalam pengertiannya, malah amat sukar untuk ditafsir maksud disebaliknya..samaada terima atau mungkin tidak??


Walaubagaimanapun, tidak semua mereka (iaitu kaum Hawa) memiliki keupayaan dan kerelaan untuk melafazkan kata-kata itu, kerana kata-kata itulah yang mencerminkan diri wanita itu sendiri sebagai ‘rahsia’. Ya, wanita itu sendiri adalah rahsia, dan kerahsiaan seorang wanita menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam diri mereka yang berhasrat untuk memilikinya.


Namun, rahsia itu sendiri tidak diketahui wanita tersebut! Mengapa? Kerana rahsia itu hanya di dalam pengetahuan Allah,dan kerana itulah, untuk membongkar rahsia itu, ditumpukan segala ketentuan hanya kepada-Nya. Rahsia ini adalah hijab dan perisai dalam diri seorang wanita muslimah, yang mengetahui keperluan memelihara dirinya dan mengekalkan kerahsiaan itu. Rahsia ini hanya dimiliki seorang wanita yang berpegang teguh pada syariat Illah, yang berpendirian dalam meniti dan memupuk cinta, malah tidak mudah berbangga dengan kecantikan, penampilan dan kualiti diri dari pandangan mata manusia.


Rahsia itu jika terbongkar, maka ia tidak akan lagi bernilai, pastinya ia bukan lagi istimewa, malah jatuh nilainya. Setiap wanita yang mengakui dirinya sebagai muslimah wajar memiliki rahsia diri. Itulah harga diri mereka, iaitu akhlaq yang disaluti manisnya iman, tutur kata dan pergaulan yang mencerminkan seorang muslimah berperibadi dan di sanjung tinggi. Rahsia ini tidak ada siapa pun yang mengetahuinya, melainkan Allah. Dan sesiapa yang ingin mengetahui erti disebalik kerahsiaan muslimah seperti ini, mereka hanya perlu merujuk kepada Allah; bertanya kepadaNya, meminta kepadaNya, memohon petunjuk dariNya, bukankah manis bila cinta itu berputik apabila hanya Allah yang menghubungkan kita?


Apabila cinta itu ditujukan kerana keindahan akhlaq, kerana tingginya perisai yang melitupi diri itu, pastinya cinta itu mengharapkan keredhaan Allah. Rahsia yang disimpan dalam diri wanita muslimah, adalah rahsia yang menjadikan hidupnya begitu istimewa. Namun, keistimewaan itu akhirnya akan dikongsi mereka yang teguh mencari jalan, mengejar pengertian hakikat cinta teragung. Merekalah golongan yang bertuah. Mereka jugalah yang akhirnya bersama dibawah lindungan cinta dan rahmat Ilahi.


Begitu indah bila kita memperkatakan tentang cinta. Tetapi ingatlah, cinta itu kurniaan Allah kepada hamba-hambanya, dan cinta itu juga boleh datang dari nafsu yang mana syaitan sebagai Tuhannya. Tidak perlu kisah, sekiranya cinta yang terpesong itu membawa sehingga terjalin ikatan hingga ke akhir hayat. Tetapi yang perlu dikisahkan, dimana keredhaan Allah? Rahsia itulah yang memelihara diri seseorang wanita, menjadikan dia kadang kala hadir dalam diri kita, tanpa kita sedari. Dan kerana itulah, kehadirannya sebagai kurniaan Ilahi.