Monday, July 19, 2010

Ikhtilat : Antara Adat dan Syari'at

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu”

Al-Baqarah : 208

Penulisan ini hanyalah kesinambungan daripada entry saya sebelum ini yang bertajuk Fitnah Dalam Fitrah. Saya rasakan tajuk ini sangat sukar dan rumit untuk menulis tentangnya. Mengambil masa yang lama, menilai dari segenap sudut, tentang apa itu ikhtilat.

Fiqh Ikhtilat boleh jadi fiqh semasa, kerana ikhtilat ‘hidup’ dengan mengembang biak menuruti masa. Sekarang sudah tidak lagi ditolak, bahwa ikhtilat itu adalah racun perosak yang utama dalam menghancurkan pegangan syari’at, apatah lagi jika ia melibatkan jalan kerja da’wah, para du’at.

Ikhtilat (atau percampuran lelaki dan perempuan ajnabi) yang diharamkan pada pandangan syarak ialah ikhtilat yang membawa kepada perkara haram seperti zina atau muqoddimahnya, terutama sekali fitnah.

Fitnah terhadap jalan da’wah, adalah satu keburukan yang sangat dahsyat. Fitnah boleh membiak menjadi maksiat, mengundang pandangan jelik manusia pada isi da’wah. Maka tidak mustahil, mengapa kemaksiatan ini boleh menghalang suatu kemenangan.

Seorang lelaki yang menghormati seorang perempuan ajnabi yang dianggapnya sebagai kakak, dan seorang perempuan ajnabi yang lebih muda yang dianggapnya seperti seorang adik. Ini namanya adat. Ia bagus, kerana ia mengajar aspek menghormati, biarpun antara lelaki dan perempuan.

Akan tetapi, bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggapnya sebagai kakak tersebut? Dan bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggap adik itu? Ya, kerana mereka bukannya mahram. Dan ini pula namanya syari’at.

Ramai yang tidak sedar, betapa kebida’ahan minda sekian lama telah meletakkan syari’at jauh terkebelakang daripada adat. Masakan ibadah lain juga telah di transformasi menjadi adat, yang dipegang erat tak mahu dilepaskan!

Saya yakin, seorang muslimah yang teguh jati pegangan da’wahnya, tidak akan memandang dan menagih teguran-teguran ‘hormat’ daripada seorang lelaki. Seorang da’ie penting untuk menjaga soal ikhtilat, soal berbicara dengan mereka yang bukan mahram supaya tiada lohong-lohong fitnah yang merosakkan etika da’wah.

Ini bukan bermaksud bahwa ikhtilat ini membina tembok tinggi mengasingkan lelaki dan perempuan, tetapi seperti maksud ikhtilat di atas, yang diharamkan ialah ikhtilat yang mengundang zina dan fitnah.

Orang lain memerhatikan kita. Apatah lagi pada zaman yang serba moden ini, dengan laman-laman sosial seperti Facebook misalnya, semakin menggila menampakkan ikhtilat yang menghancurkan. Kuasai dan halangi diri daripada berbicara sesuatu yang tiada faedahnya, apatah lagi jika ia disaluti kata-kata yang dilunakkan, dimanja-manjakan, biarpun kepada seseorang yang dianggap sebagai ‘adik’, mahupun sebagai ‘kakak’. Mereka bukan mahram!

Ukhuwwah itu manis nilainya. Jalan da’wah ini mengajar kita untuk membina itsar, menerbitkan rasa kecintaan pada ukhuwwah. Tapi ia ukhuwwah antara kita seikhwah, dan ukhuwwah antara mereka sejiwa muslimah. Bukan ukhuwwah khusus antara seorang muslim dan muslimah, kerana ia pelik tafsirannya. Jika kita masih jahil, tiada usaha untuk memahamkan diri, maka tidak mustahil ia membentuk satu masalah yang lebih kronik, iaitu cinta ‘anta-anti’, laksana duri dalam daging, api dalam sekam.

Maka apakah pantas orang yang dijadikan terasa indah perbuatan buruknya, lalu menganggap baik perbuatannya itu? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Maka jangan engkau (Muhammad) biarkan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat

Fatir : 8

Sewajarnya kita memilih sesuatu yang meletakkan kita jauh daripada anasir kemaksiatan. Setiap perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. Kaedah ini namanya Saddu al- Zaraei (menutup jalan kejahatan). Masakan Allah s.w.t mengharamkan bukan sahaja zina, malah menegah daripada menghampirinya.


0 Comments: