Saturday, March 27, 2010

Hijrah Sebuah Cinta

"Risau. Serba serbi tidak kena. Hati ini bercelaru bila memikirkannya. Sejak kami berkenalan beberapa tahun dahulu, sehingga kami saling mencintai dan kini saya masih keliru, risau. Mengapa dia bertindak sebegitu? Bukankah sebelum ini dia berjanji untuk terus bersama cinta ini? Tapi mengapa dia lari? Hati ini buntu. Cuma apa yang ada dalam fikiran saya, mungkin dia tidak lagi mencintai diri ini. Ya, cinta dia selama ini hanyalah palsu. Sampai hati dia sanggup meninggalkan saya sebegini..."

Coretan hati seseorang yang 'ditinggalkan' kekasihnya. Itu bukanlah kata-kata saya, namun kata-kata yang saya simpulkan untuk membawa pembaca memahami. Sama ada dia seorang wanita yang ditinggalkan teman lelakinya, atau juga seorang lelaki yang ditinggalkan teman wanitanya. Begitu banyak sebab mengapa 'ditinggalkan'. Mungkin ditinggalkan kerana kekasihnya sudah bosan, mungkin juga kerana menemui orang lain yang lebih memahami, yang lebih dekat untuk sentiasa mendampingi. Atau mungkin juga kerana sesuatu yang tidak pasti - iaitu mungkin perasaan yang 'mewajibkan' diri ini untuk meninggalkannya, suatu perasaan yang rumit dan tidak pernah berakhir, dan perasaan inilah yang sentiasa berbisik pada diri sendiri, bahawa:

'Aku perlu meninggalkan dirinya kerna aku ingin mencari sesuatu, iaitu erti cinta yang lebih besar, dan aku akan pulang dari 'jalan pencarian' ini dengan membawa 'kejayaan' yang lebih hebat, lebih istimewa, lebih terutama, untuk cinta kita'

Itulah hijrah sebuah cinta. Ramai yang tahu maksudnya hijrah. Ya, hijrah itu perjalanan, perubahan dan perjuangan. Ketika menyebut tentang hijrah, ramai pula yang teringat akan hijrah Rasulullah s.a.w. Hijrah Baginda bukanlah sekadar melangkah mengukir tapak-tapak diatas padang pasir, namun hijrah itu sendiri amat mendalam maksudnya. Hijrah jiwa dan rohani, hijrah yang membawa Islam sehingga kukuhnya ke hari ini, begitulah juga hijrah yang membawa sebuah cinta agar kelak terbina cinta sejati dan cinta abadi. Itulah analogi, sebuah cinta yang berhijrah, yang meninggalkan kepalsuan dan jahiliyyah.

Siapa yang perlu memulakannya? Kita yang perlu memulakannya. Sama ada kita yang perlu 'meninggalkan' dan terus melangkah berhijrah atau kita yang 'ditinggalkan'. Bagi yang 'ditinggalkan', adakah akan terus duduk tanpa bertindak? Atau mungkin merungut dan 'makan dalam', risau yang tidak pernah padam, buntu dan bercelaru bertambah-tambah? Jangan biarkan perasaan itu menghakis sebuah kepercayaan. Ayuh! marilah kita bersama berhijrah. Walaupun kita 'ditinggalkan' tapi kita tidak pernah ketinggalan!

"Akan aku kejarNya dihadapan, agar antara kita akan berputik harapan dan cinta pada keikhlasan. Tidak lagi perlu diragukan, tiada apa perlu dirisaukan..Dia pemilik hati ini, padaNya tempat aku mencari jalan dan kehidupan..Ya Allah, kuatkan.."


Akhirnya, kita mengetahui apakah itu jalan hijrah. Dalam cinta ada jalan kisahnya, dan jalan yang terbaik adalah hijrah. Namun, hijrah itu bukanlah mudah seperti yang disangka. Sedangkan untuk kita memulakan langkah pertama, derita dan sengsaranya itu tidak terkira. Malah walaupun sudah melangkah, langkahan seterusnya belum tentu kita lepasi. Mungkin jatuh tersungkur? Rebah menyembah dan akhirnya akur semula pada tuntutan dan bisikan hembusan nafsu dan syaitan.

Hanya buat mereka yang tidak ragu pada cintanya Allah, merekalah golongan yang kuat dan teguh ber'istiqomah'. Mereka tetap melangkah, tidak sesekali pandangan itu beralih arah. Jiwa mereka hanya ada Allah dan hanya Dia yang menemani jalan hijrahnya. Hijrah itu jihad dan inilah jalan cinta yang sukar.

Seperti juga hijrah dan jihad Rasulullah s.a.w, jihad dan hijrah sebuah cinta ini juga tidak lari daripada duka dan hibanya. Namun, tidakkah kita mempelajari sejarah, bahawa hijrah yang sukar dan pedih itu, akhirnya ketenangan dan gembira itu penyudahnya. Derita kepayahan itu akhirnya Allah balas dengan kejayaan yang lebih berganda tanpa diduga. Ini semua akan kita miliki dengan teguhnya pendirian bahawa Allah itu sentiasa ada bersama kita.

Tiada lagi kerisauan. Hentikan setiap keraguan. Andai kita 'ditinggalkan', janganlah kita lemah dan memutuskan harapan. Tapi bangkitlah mengejar ke hadapan. Aturkan langkah-langkah ini dan sisipkan cinta itu sebagai bekalan.


Mungkin boleh saya katakan, bahawa kita 'ditinggalkan' kerana kita disayangi, dan kerana Allah lebih menyayangi mereka yang berusaha menghapuskan kebatilan dalam diri. Tinggalkanlah kepalsuan dan jahiliyyah cinta, dan teguhlah membatasi diri dengan hijab dari hati dan nurani yang suci. Kita bersihkan diri ini, kita sucikan hati ini, kita bersama memikul beban sepanjang jalan hijrah ini, sehingga kita sampai pada pertemuan sebuah cinta yang hakiki dan abadi. Itulah cinta antara kita. Iaitu cinta yang pernah suatu ketika 'ditinggalkan' dan 'meninggalkan'. Dan di pengakhirannya, cinta itu kita pertemukan. Pertemuan cinta yang begitu indah, sentiasa dipayungi rahmat dan kasih Tuhan.

Hijrah itu sebatang jalan. Sukar dan payahnya bergantung sejauh mana kita sanggup melaksanakan syari'at Illah. Selagi kita tiada cinta padaNya, masakan pula akan terlaksana syari'atNya? Jika syari'atNya kita tinggalkan, masakan pula ingin kita berhijrah ke arahNya? Dan selagi hijrah itu tiada, jauhkah kita dari maksiat dan dosa?

Hijrah sebuah cinta, hijrah paling manis buat semua. Semoga hidayah Allah menyuluhi jalan ini selamanya.




Tuesday, March 23, 2010

Derita Daie




video







Tuesday, March 9, 2010

Setanggi Syurga


"Setanggi Syurga. Mungkin ada yang pernah mendengar lagu ini, dan boleh jadi lagu ini adalah lagu yang paling anda minati. Sekadar untuk berkongsi, lagu ini beserta liriknya, adalah lagu yang paling saya minati. Sejak dahulu hingga kini, lagu ini seakan membawa 'sesuatu', yang menusuk jauh ke dalam hati kecil ini, tapi masih sukar untuk ditakrifkan secara lumrahnya. Namun, bagi mereka yang pertama kali mendengarnya, tidak mudah mencari makna yang tersembunyi. Cubalah fahaminya. Lagu ini berlirikkan sebuah perjalanan, yang jauh meninggalkan kepalsuan, tapi begitu menguatkan, untuk terus teguh mengejar hakikat cinta Allah, biarpun permulaannya telah jauh kita tinggalkan, namun hujungnya masih belum kelihatan"



"Bila saya telah lama tidak mendengar alunan lagu ini, dan kemudian saya mendengarnya, diri terasa seakan jauh, hati ini sebak dan luruh, mungkin zikrayat yang tersimpan dahulu, seakan menyala membawa bara. Itulah apa yang boleh saya maksudkan. Mungkin anda sendiri lebih layak mentafsir bait liriknya. Tapi bagi saya, itu tetap yang sama"


Percaya...
Kata janjiMu,
Kerna ku yakin apa digenggamMu
Keharuman setanggi syurga,
Bukan kilauan sebilah belati.

Terseksa,
Jiwa merindu,
Bagai terkurung dibasah tengkujuh
Kewangian aroma bunga,
Tak menggugah keteguhan iman.

Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur,
pada redup renung mata yang menipu,
Tuntas ku mendaki,
Puncak CINTA TERAGUNG...

Izinkan aku melafazkan kata,
Bicara hati yang mudah diterjemah,
Betapa aku...
Gerun pada teduh untuk bernaung,
Kerna awan itu rapuh.

Bahagia buat mereka yang bertemu cinta yang teragung
Yang membawa ke syurga hakiki dan abadi...

Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur,
Pada redup renung mata yang menipu,

Tuntas ku mendaki,
Puncak Cinta teragung...

Izinkan aku melafazkan kata,
Bicara hati yang mudah diterjemah,
Betapa aku gerun pada teduh untuk bernaung...

Dendam tak marah menyala dan membakar,
Oleh putih salju yang berguguran,
Kerna dosa itu lebih hitam dan gelap,

Ku anyam rindu menjadi hamparan,
Kerna ku pasti adanya pertemuan,


Disana nanti bukti cinta suci dilafazkan,
Tak bertemu pengucapan...

Percaya...
Kata janjiMu,
Kerna ku yakin apa digenggamMu,
Keharuman setanggi syurga,
Bukan kilauan sebilah belati....



Saya pernah suatu ketika dahulu menulis pengertian "Setanggi Syurga". Sudah tentu, itu hanyalah pendapat dan tafsiran saya. Jika anda berminat mengkaji, capaiannya di sini





Sunday, March 7, 2010

Cinta Mati

"Saya tidak tahu bila ajal saya. Kawan saya juga tidak tahu bila ajal dirinya. Tapi Allah yang Maha Mengetahui. Jadi adakah perlu kita berdoa dan meminta agar Allah memberitahu kita tentang tarikh kematian ini? Andai kata kita tahu bahawa ajal itu tiba pada 4hb Januari 2035, adakah kita berani membuat jaminan untuk teguh bertaubat pada usia kita sekarang? Tepuk dada, tanyalah iman. Tiada siapa di dunia ini yang tahu tentang bila kematiannya, tapi yang perlu dipupuk adalah perasaan untuk sentiasa mengingati mati"

Setiap yang hidup pasti menemui kematian. Tapi istimewanya mati dan istimewanya hari Qiamat itu terletak pada tarikhnya. Iaitu keistimewaan yang tidak pernah ternilai dengan jiwa yang ragu-ragu tentang 2 'hari besar' itu. Mati itu adalah simbol kebesaran yang Maha Esa. Ghaibnya alam kematian itu seakan misteri kerana tiada seorang pun yang mati akan hidup kembali ke dunia kita ini untuk duduk bersama-sama dan menceritakan pengalamannya di Barzakh.

Bila saya bertanya tentang 'mati' kepada segelintir orang Rusia (beragama Kristian), mereka agak terkejut dan cuba mengelak daripada bercerita tentangnya. Mungkin mereka juga ada perasaan untuk takut pada kematian, tapi bagi saya takut mereka tidak berasas, kerana mereka takut pada mati disebabkan dunia yang mereka cintai. Di dalam Islam, takut pada kematian itu perlu menjadi keperluan, tapi dalam ketakutan itu bukanlah bermaksud kita perlu lari daripada mati, tapi sebaliknya, kita perlu lebih mendekatkan diri kepada Pencipta.Sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"
Perbanyakkanlah mengingati perkara yang memutuskan segala kelazatan - iaitu mati" (Riwayat Tirmizi)

Bila mati itu tiba, maka terpisahlah jasad yang kita bawa dengan roh didalamnya. Yang tinggal adalah amalan dan segala perbuatan yang kita lakukan sepanjang usia di dunia nyata. Keluarga akan kita tinggalkan, harta benda akan kita biarkan. Segalanya akan kita lafazkan 'selamat tinggal'. Oleh kerana itu, mati itulah pemutus segala kelazatan. Mati itulah perhentian segala perjalanan duniawi, dan tiba-tiba kita hilang! Lalu kembalinya kita ke Barzakh, dan kemudian ke Akhirat yang kekal abadi.


Manusia itu pada asasnya adalah 'insan'. Seorang yang mudah lupa dan leka. Itulah kita semua, manusia yang kerdil dan tiada kuasa. Mengapa saya katakan sebegitu, ini kerana mati itu hanyalah stimulasi bagi orang yang sentiasa memikirkan tentangnya. Tapi tidak semua kita mampu untuk itu. Kadang-kala bila ada azab di sekeliling kita, barulah kita tersedar untuk bangun dari tidur. Tapi malangnya kita mengantuk dan tidur semula dengan nyenyaknya.

Bila Allah menurunkan bencana dan azab, mungkin seperti wabak penyakit, gempa bumi yang bertalu-talu gendangnya, tsunami yang menenggelamkan pelusuk dunia - maka barulah kita bangkit, kita duduk, kita sujud, meminta Allah membantu dan menyelamatkan. Kata pepatah Melayu - sudah terhantuk, baru hendak terngadah.

Begitu juga dengan mati. Sehingga ke hari ini, saya telah merasai kehilangan 3 orang sahabat yang saya kenali ketika dibangku sekolah. Dan yang masih baru dan segar diingatan saya, pemergian seorang sahabat saya yang saya kenali di MRSM dulu, pada bulan Februari lepas. Allahyarham yang pergi meninggalkan kita, usianya sama dengan saya. Impiannya juga sama, malah harapan keluarganya juga sama untuk dirinya. Namun, kita berada dalam dunia yang berbeza. Matlamat itu ada tetap pada saya, tapi bagi dirinya, ia telah terputus segalanya. Kita di dunia nyata, dan dia di Barzakh sana. Usia itu tidak menghalang ajal. Sesaat lewat dan sesaat cepat tidak akan terjadi samasekali. Ajal itu tidak mengenal siapa, andai itu yang tertulis, itu jualah yang terjadi. Allahu Rabbi.

Pemergiaan sahabat-sahabat disekeliling kita ini, memang agak mengejutkan. Kemudian kita seakan duduk bertaubat sebentar, melafazkan al-Fatihah, berfikir sejenak. Namun, kitalah manusia. Sepertimana usia itu yang tidak lama, kesedaran kita juga tidak lama bertahannya. Mungkin dalam beberapa minggu atau bulan, kita telah lupa tentang itu. Perasaan tragis dan sedihnya mengenangkan pemergiaan sahabat kita, kini telah hilang. Sehinggalah stimulasi berikutnya sampai, dan kemudian kita akan bertaubat semula. Begitulah kitarannya, sehinggalah tibanya masa kita!

Analogi mati ini adalah tidur. Tidur itu mati yang sementara. Saya pernah tidur dan bermimpi ngeri. Jantung saya berdegup kencang seakan saya tidak mampu lari dari kengerian itu. Tapi akhirnya saya terjaga dari tidur, dan rupanya itu hanyalah mimpi buruk. Namun, ketika kita mati, terkujur di Barzakh, itu bukan lagi mati yang sementara. Andai mimpi ngeri itu datang ketika mati ini, kita tidak akan pernah terjaga seperti terjaganya daripada tidur, malah mimpi itu menghantui kita selama mana kita di Barzakh.

Itulah saatnya. Saat ketika segala kelazatan terputus. Mati namanya.


Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang anak Adam itu mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad)


"Kepada sahabat yang telah pergi, Allahyarham Azri Hazim, Mohamad Anif dan Akram Kamarzaman, semoga pemergiaanmu ke Barzakh itu disertai rahmat dari Allah. Dialah yang berkuasa menghidupkan dan berhak pula mematikan. Semoga ibrah itu kekal dalam diri kami yang masih hidup di dunia yang fana ini."
Al-Fatihah