Sunday, February 21, 2010

Istikharah Cinta

“Saya masih belum berkahwin. Tapi saya berazam untuk berkahwin. Buat masa ini, biarlah saya bercinta dahulu. Tapi saya akan berkahwin nanti. Mungkin bukan sekarang, tapi saya berazam untuk berkahwin juga. Supaya pasangan saya tidak lari, dan supaya dia tahu bahwa saya sangat mencintainya, biarlah kami bercinta dahulu buat masa ini. Tapi kami juga ingin berkahwin, dan kami berazam untuk itu. Tapi mungkin bukan sekarang, insyaAllah nanti…”



Istikharah – bermaksud meminta Allah memberikan ilham, dalam kita membuat pilihan dalam pelbagai perkara dan urusan. Saya percaya, ramai daripada kita yang pernah mendengar perkataan ‘istikharah’ ini dengan membawa maksud ‘istikharah untuk memilih pasangan hidup’, ataupun lebih tepat boleh saya katakan – istikharah cinta.



Saya telah lama tahu tentang istikharah dan solatnya. Pertama kali saya bersolat sunat istikharah adalah ketika saya ingin membuat keputusan untuk belajar di MRSM. Dan kali keduanya adalah ketika saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran perubatan di Rusia.



Pada hujung bulan Januari yang lalu, saya pulang bercuti ke Malaysia sempena cuti musim sejuk ataupun bagi saya – cuti peristiwa ‘ribut salji’ yang melanda Eropah. Ketika saya sedang membelek-belek berita dalam akhbar Utusan Malaysia yang sudah lama tidak saya pegang, pandangan saya tertarik kepada sebuah artikel tentang ‘Istikharah’.



Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliyyah iaitu meramalkan masa depan berpandukan kepada berhala dan syaitan. Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan.



Dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)



Setelah saya ber’istikharah’, saya tidak pula menunggu sehingga datang mimpi tentang pilihan yang ingin saya putuskan. Tiada suatu nas atau dalil yang menyatakan demikian. Namun, itu semua bergantung juga pada kehendak dan kekuasaan Allah untuk setiap hamba-hambaNya yang meminta kepadaNya.



Setelah istikharah, maka saya teguh dengan keputusan saya. Saya percaya kata-kata al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya. Maka saya teguh meneruskan keputusan yang telah saya pegang, samaada saya berasa senang atau tidak, kerana kebaikan itu pasti ada dalam jiwa ini, meskipun jiwa ini tidak menyenanginya.



Namun, sedar tidak sedar, ada sebuah rahsia rumit disebalik istikharah ini. Apabila seseorang itu meminta agar Allah memberikannya ilham atas keputusan dan pilihannya, maka selepas itu dia berasa begitu yakin, optimis dan pilihannya jitu! Maka tanpa membuang masa, dia terus memulakan langkah pilihannya.



Tapi sedihnya, istikharah itu bukanlah membawa dia ke arah menyempurnakan syari’at ke gerbang perkahwinan, tapi ‘hidayah’ yang dia peroleh membawa dia kearah jalan yang mencatitkan dosa sepanjang perjalanannya. Sehingga sanggup dia bercinta diluar akad yang sah, malah mengisytiharkan bahawa ‘saya kini telah berpunya’!



Sudah tentulah bukan hidayah dan petunjuk Allah yang membawa dia kepada jalan ini, tapi syaitan itulah yang mengilhamkan kepada dirinya. Syari’at istikharah itu indah, tapi pudar kesannya apabila nafsu itu yang menjadi nakhoda iman.




Kalau dilihat pada kata-kata diawal penulisan saya ini, itu bukanlah kata-kata saya. Tapi kata-kata itu saya simpulkan daripada sebuah kebenaran. Fikirkanlah, perkahwinan itu tuntutan syari’at, akad yang sah itu mengikat perhubungan antara fitrah sebuah cinta. Namun, mengapa perlu bercinta diluarnya? Sehingga sanggup mengatakan:



“insyaAllah saya akan berkahwin nanti, buat masa ini biarlah saya bercinta dahulu” – adakah kata-kata ini sudah cukup untuk menyejukkan bahang neraka Allah dan memadamkan nyalaan apinya?



Jangan kita pesongkan cinta itu dengan salutan syari’at yang diputarbelitkan tali-tali syaitan, kerana hebatnya syaitan itu terserlah, janjinya untuk menyesatkan ummah tidak pernah luntur, kerana semakin hampir Qiamat itu mendekati, semakin kuat janjinya termakbul.



Peganglah syari’at itu dan genggamlah seerat-eratnya! Jadikanlah istikharah itu sebagai pedoman untuk memayungi kesucian cinta dibawah lindungan Allah, dan letakkanlah perkahwinan itu sebagai garis mula perjalanan sebuah kemesraan cinta yang hakiki dan abadi.



Hati saya tersentuh, bila saya membaca sepotong doa, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Jabir r.a:


"Ya Allah, aku memohon petunjuk kebaikan kepada-Mu dengan ilmu-Mu. Aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu. Ya Allah, seandainya Engkau tahu bahwa pilihan ini baik untukku dalam agamaku, kehidupanku dan jalan hidupku, jadikanlah untukku dan mudahkanlah bagiku dan berkatilah aku di dalam pilihan ini. Namun jika Engkau tahu bahwa pilihan ini buruk untukku, agamaku dan jalan hidupku, jauhkan aku darinya dan jauhkan pilihan itu dariku. Tetapkanlah bagiku kebaikan dimana pun kebaikan itu berada dan redhailah aku dengan kebaikan itu".

Saya termenung memahami doa ini. Mana tidaknya, sepotong doa ini begitu sempurna untuk menjelaskan ayat Allah, sebuah ayat al-Quran yang sentiasa menemani jalan cinta ini:

"Diwajibkan ke atas kamu berperang, sedangkan berperang itu sesuatu yang kamu benci. Mungkin kamu benci pada sesuatu, sedangkan ia lebih baik bagimu, mungkin juga kamu cintai sesuatu, sedangkan ia mudarat bagimu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak"




11 Comments:

hazreen baik said...

jazakallah ya akhi utk perkongsian yg sgt deep and meaningful ini. moga dipermudah Allah atas segale urusan. ;)

Saifullah said...

Assalamualaikum..trima kasih krn berkongsi penulisan ini..mmg byk mmbuka mata kita semua..

truskan menulis..=)

Dr.Ahmad Ramdan Zainordin, MD said...

Syukron jazilan akh Hazreen & Saifullah..insyaAllah..smoga keberkatan dan redha Allah itu yg menjadi tujuan dan matlamat hidup kita..Teruskan aura da'wahnya..=)

Anonymous said...

cayalah dr ahmad ramlan zainordin... luv u..

al-Azim said...

Setiap jln hidup ni, kte perlu letakkan Islam dan syariatnya ketat dlm hati kte..dlm apa jua yg kte niatkn, yg kte buat, biarlah hnya Allah yg kte tujukan..

Jzkk utk perkongsian ini..

Ahmedkzaman said...

istikharah cinta...istikharah yg ssh utk laksanakn..

whitemice85 said...

nice writing..teruskn usaha ini..jawapan persoalan rupa2nya ada di sini..thanks.

Dr.Ahmad Ramdan Zainordin, MD said...

Jazakumullah khairan..ibrahnya utk kita semua,insyaAllah...

NessaQ NasiR said...

TQ 4 this info..memang tengah mencari jawapan sal hal nie.. =)

nadiah said...

salam.. jazakallah atas penulisan yg sgt bguna.. minta izin share di fb group "Umat Islam Boleh". moga mndapat barakahNYA, insyaAllah..

CeKoDoK TeMpErEt said...

dlm mihrab cinta, serahkan sumanya padanya>.:)