Pages
Thursday, December 24, 2009
Sendiri Menyepi
Sendiri Menyepi..
Tenggelam dalam renungan
Ada apa aku
seakan kujauh dari ketenangan…
Perlahan kucari,
mengapa diriku hampa…
mungkin ada salah, mungkin ku tersesat,
mungkin dan mungkin lagi…
Oh Tuhan aku merasa
sendiri menyepi…
ingin ku menangis, menyesali diri,
mengapa terjadi
Sampai kapan ku begini
resah tak bertepi
kembalikan aku pada cahayaMu
yang sempat menyala
benderang di hidupku..
Perlahan kucari,
mengapa diriku hampa
mungkin ada salah mungkin ku tersesat,
mungkin dan mungkin lagi
Oh Tuhan aku merasa..
sendiri menyepi…
Ingin ku menangis, menyesali diri,
mengapa terjadi
Sampai kapan ku begini,
resah tak bertepi,
kembalikan aku pada cahayaMu,
yang sempat menyala…
Oh Tuhan aku merasa…sendiri..
aku merasa sendiri..
sampai kapan begini..
resah tiada bertepi...
Kuingin cahayaMu
benderang di hidupku….
Tuesday, December 22, 2009
Ukhuwwah Itu Cinta
Bila menyebut tentang cinta, tidak lain ramai yang membayangkan tentang percintaan dua jantina – lelaki dan perempuan.
Ya, semua jawapan itu betul. Tapi saya amat tertarik untuk berkongsi penulisan ini yang berkisar tentang hakikat sebuah cinta atas nama titian ukhuwwah. Bila menyebut tentang ukhuwwah, pasti pula yang terbayang adalah sahabat dan rakan-rakan disekeliling bukan? Ukhuwwah itu sangat besar pengertiannya, tapi saya fokuskan ukhuwwah pada nama cinta itu kepada pengertian yang lebih mudah difahami – cinta pada sahabat.
Mungkin kita selalu dengar ayat-ayat perbualan seperti ini:
“luv u so much!”
“syg awk! Miss u so much!”
“Jumpe lg nnti eyk!? Miss u!”
“luv u 2..muuahh!”
Beberapa ayat perbualan diatas ini sering kali kita jumpai, samaada di web-web sosial seperti Friendster dan Facebook, malah juga jika ‘terbaca’ mesej pada handset kawan kita yang lain, atau tidak terkecuali kita sendiri yang lebih arif dengan ayat-ayat ini! Bukanlah menyindir, tetapi mungkin ayat-ayat ini perlu lebih dilengkapkan lagi, boleh jadi seperti ini:
“luv u so much!” kata Munirah kepada Syuhada..
“syg awk! Miss u so much!” kata Nurul kepada Latifah, sambil memeluk erat rakannya itu.
“Jumpe lg nnti eyk!? Miss u!” jerit Izzah kepada Nor sambil melambai, penuh keakraban.
“luv u 2..muuahh!” kata Siti sambil memimikkan ciuman kepada Azizah, sahabat lamanya…
Itulah yang dimaksudkan. Kita menilai erti lafaz sebuah cinta dalam skop yang begitu besar. Dan inilah lafaz cinta pada ukhuwwah iaitu mencintai sahabat kita yang lain, menyayangi mereka sebagai kekasih hati yang akrab dan memahami. Saya kagum dengan kehidupan kaum Hawa itu sendiri, terutama golongan wanita muslimah yang hidup dalam serba-serbi indahnya ukhuwwah yang terpancar. Mereka bersalam dan berpelukan, memegang erat tali persaudaraan dengan utuh dan penuh kemesraan. Maka tidak mustahil juga bagi mereka berkongsi hati, mencoret nurani dengan kisah hidup mereka yang boleh saling dikongsi. Hati mereka yang terikat atas nama ukhuwwah Islamiyyah itu saling mengerti, tidak terlintas sesaat jua pandangan mata yang saling melihat dan mendalami. Itu yang ada dalam ciri muslimah sejati, yang memiliki teman yang sentiasa mendahului daripada mereka mencari cinta yang tidak punya erti, iaitu cinta seakan monyet yang bergayut dari dahan ke dahan, entah ke mana halatuju yang dicari. Andai tiada ciri perkakasan ini, jangan salahkan hakikat cinta itu sendiri, tapi renungkanlah sejauh mana kita menilai sahabat yang kita miliki.
Sahabat bagaikan sebutir mutiara. Yang menggilapkannya adalah ukhuwwah. Bukan calang-calang ukhuwwah, tapi ukhuwwah yang maksimum utuhnya, pegangan yang tidak gentar putusnya, dan terlekatnya hati mereka dek kerana Iman yang manisnya seperti sabda Baginda Muhammad s.a.w:
ثلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الايمان:أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما وأن يحب المرء لا يحبه الا لله وأن يكره أن يعود فى الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف فى النار".
متفق عليه
Daripada Anas r.a:
“Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman.
Muttafaqun ‘alaih.
Mengapa saya menyentuh soal manisnya ukhuwwah hanya pada wanita? Mungkinkah eratnya ukhuwwah ini tidak wujud dalam golongan Adam? Bagi saya tidak. Ukhuwwah itu adalah nikmat pemberian Allah untuk sekalian hambaNya. Cuma bagi saya, golongan Adam tidak mungkin mahu melafazkan kata-kata perbualan seperti diatas! Agak janggal bukan?!
Untuk gologan lelaki, jiwa mereka ada sedikit bezanya. Mereka tidak akan terus menilai dan mencari-cari teman untuk dijadikan sahabat yang sejati dan peneman yang setia disisi, tapi bagi mereka yang lebih utama itu adalah tuntutan mencari wanita sebagai kekasih hati. Malah amat rugi sekali, andai kita lupa dan tidak langsung mengambil iktibar tentang eratnya ukhuwwah yang terbina dalam diri para Sahabat bersama Rasulullah s.a.w.
Lelaki itu ada egonya dalam diri. Mungkin mencari sahabat itu bagaikan tiada ‘class’ dan lebih dianggap dan ditohmah dengan fikiran yang bukan-bukan oleh orang lain. Dan apabila masa terus meningkat, jiwa yang gusar dan menggelodak akhirnya akur dengan tuntutan nafsu, mengejar dan mengangkat cinta sebelum akad, maka terciptalah perjalanan mendekati zina yang setiap langkahannya pasti tercatit amalan durhaka.
Sahabat itu andai dia disisi, bukan pula untuk sekadar bergelak tawa, tapi dialah yang memahami dan setiap renungannya mampu mentakrif apa dihati ini. Sahabat itu bila dia disakiti, dia akan ‘pergi’, dan perginya itu bukan meninggalkan diri ini, tapi mencari erti rindu dikala jauh menyepi…dan dia akan kembali dan menyapa, kerana dialah sahabat yang sejati. Sahabat itu tidak pernah luntur doanya untuk ukhuwwah yang terbina, biar kadang-kala kita tidak memahami akan dia mendoakan kita, kerana cukuplah persahabatan dan cinta ini terbentuk atas pengetahuan Allah semata-mata.
Dalam perjalanan hidup yang jauh ini, Allah mengurniakan kita nikmat ukhuwwah yang besar teramatnya, atau mudah difahami sebagai ramai kawan disekeliling kita. Namun, ukhuwwah itu tidak akan bermakna, andai kita tidak sedikit pun mengambil peluang membina cinta bersama atas namaNya – iaitu cinta pada sahabat dan berjuang menuju cintaNya pula.
Sahabat, mungkin dia tidak pernah mengerti bahawa kita mencintainya, kita menyayanginya lebih dari kita menyayangi diri sendiri. Tetapi ingatlah, Allah lebih memahami setiap sudut hati ini, dan Dia lebih mengetahui bahawa kita sebenarnya pemilik ukhuwwah sejati. Carilah sahabat yang bukan sekadar menemani, tetapi jua meniti jalan hidup ini menuju cinta Allah yang hakiki. Dan dengan yang sedemikian itu, abadilah cinta kurnianNya pada perjalanan sebuah ukhuwwah sejati.