Pemimpin perlu ada kepimpinan, atau leadership. Kepimpinan yang asas dalam diri seorang pemimpin, ialah kepimpinan diri, atau self-leadership. Jangan kita melihat pemimpin kepada sejauh mana idea yang dia ada, sehebat mana ilmu yang ditimba, berapa banyak pengaruh yang boleh dia bawa. Tapi jika dia seorang yang tidak terurus masanya, tidak tahu menilai prioriti pada sesuatu perkara, tidak menentu matlamat hidupnya, kehidupan penuh lagha dan sia-sia, dan jauh dari mengenal apatah lagi dekat dengan Pencipta. Itu bukan pemimpin namanya.
Akhlaq adalah subjek terpenting yang perlu kukuh terbit dalam asas seorang pemimpin. Bila sebut tentang pemimpin, maka dia adalah khalifah. Amatlah rugi andai dia seorang pemimpin yang tidak pernah meletakkan matlamat da'wah dalam kepimpinannya. Itu ibarat jalan yang tiada papan tanda, layang-layang yang terputus talinya.
Orang akan merasa senang, indah melihat suatu kepimpinan dari pemimpin yang berakhlaq. Kerana akhlaq itu berupa kepimpinan yang indirect, yang lebih masuk dalam ke lubuk hati berbanding kata-kata yang berbunga-bunga, hanya dengar di telinga dan jauh untuk terasa ke dalam qolbu. Menyentuh hati orang disekeliling kita, dengan pedoman, akhlaq dan pembawaan diri yang tersusun dan teratur - itulah kuncinya kepimpinan bertamadun.
Ibnu Hibban telah meriwayatkan dalam kitab sahihnya, bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata kepada Abu Zar r.a:
"Seseorang itu sudah dianggap mendapat kejahatan sesuatu yang dia tidak tahu tentang dirinya dan memberatkan diri dengan sesuatu yang tidak berkenaan dengannnya"
Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya"
Hadis Hasan, riwayat Tirmizi dan lain-lain
Pemimpin perlu ada akhlaq terpuji. Dengan akhlaq kita boleh mendidik. Dengan akhlaq kita boleh menegur tanpa membuka mulut berkata-kata. Dengan akhlaq kita nampak jalan juang dengan matlamat di hujungnya. Malah akhlaq itu sendiri ilmu yang paling utama dalam kerja da'wah dan tarbiyyah. Kerana akhlaq itu sendiri mengatakan bahwa kita melakukan perkara yang kita perkatakan.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) amatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"
al-Quran As-Saff:2-3
Tiada ragunya lagi, andai kita seorang yang berakhlaq, setiap corak kepimpinan kita, setiap bentuk didikan dan teguran kita untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan dan tamadun, tidak akan sama dengan golongan yang ditegur Allah seperti ayat di atas.
Seperti seorang yang penipu, dan mengajak orang untuk bercakap benar, apatah lagi yang menegur orang kerana menipu. Maka persoalan itu untuk dia.
Ramai orang yang bercita-cita menjadi pemimpin hebat. Ramai orang menanam impian untuk disegani masyarakat. Dan ramai pula yang muncul membawa kesedaran kepada ummah untuk berubah dan berganjak ke arah Islam yang syumul. Tapi kita masih terlupa, aspek kepimpinan diri perlu menjadi asas yang paling penting. Tarbiyyah dzatiyah menjadikan kita seorang khalifah, seorang pendidik, seorang penegur, seorang murobbi yang berkeberhasilan, yang berasas tujuan.
Hanya pada Robb.