Wednesday, July 21, 2010

Mutabaah Bukan Amal Kosong!

Cuti musim panas Eropah.

Sekadar mengimpikan cuti, kerana saya masih belum pulang ke pangkuan keluarga tersayang di Malaysia. Dijangka pada minggu depan. Biiznillah.

Walaupun panas dan hangat cuaca di bumi Rusia ini, tiba-tiba hati pula dihujani persoalan. Merasai betapa kontangnya kemarau iman ini, maka memang tepatlah masanya persoalan ini datang, membasahinya.

Cuti dan rehat...mutabaah amal macam mana?

Mutabaah pun nak rehat juga!

Astaghfirullah. Teringat disaat liqa' kami. Bersama murobbi dan ikhwah tercinta. Soal mutabaah amal tidak pernah ada noktahnya. Kalau yang kurang akan ditambah, yang sedia ada akan di upgrade lagi. Itu bila kami bersama, ukhuwwah dan bi'ah solehah mengikat hati-hati ini, merumpunkan dalam segelung nilai tarbiyyah.

Namun jiwa kita tetap manusiawi. Iman kita ada naik dan turunnya. Bila lagi ikhwah berjauhan, urusan tarbiyyah tergendala bak berkurun lamanya, biarpun hanya seminggu dua pada hakikatnya. Maka soalnya pada mutabaah kita. Bukan pada amal, tapi pada pelaksana iaitu kita sendiri.

Mutabaah bukan amal nilai kosong.

Bila musim exam ada alasannya. Bila cuti dan masa terluang pun ada juga alasannya!

Sampai bila nak maju bro!?

Disaat dan ketika ini, yang perlu adalah muhasabah diri pada apa disandarkan iman dan amal kita. Pada bi'ah? Pada ukhuwwah? Pada murobbi?

Biarlah amal itu bersandar pada iman. Iman kita subur dengan gerak kerja da'wah, bila segala-galanya hanya untuk da'wah. Dengan itu amal berkadar terus seiringan kekuatan iman. Usah lagi risau dengan kekontangan amal, andai iman sentiasa dibasahi dengan tarbiyyah, disuburi dengan gerak yang tidak pernah ada putusnya.

Da'wah yang kita tujukan kepada umat Islam ialah mengajak mereka merasai tanggungjawab besar yang diletakkan di bahu mereka apabila mereka mendakwa mereka berIMAN dengan Allah dan akhirat, dan apabila mereka mengaku akur dengan segala perintah Allah dan RasulNya...

[Syeikh Abul al-'Ala al-Maududiyy]


Mutabaah bukan amal kosong. Mutabaah amal perlu menjadi benih yang menyuburkan rasa istiqomah, meningkatkan darjat mujahadah.

Rasa sunyi tidak patut membuatkan amal goyah. Kiranya betul imannya, maka akan betul caranya. Masakan uzlah itu satu pengesyoran membaik pulih amal, padahal uzlah menuju kesunyian, tapi pada kebenarannya ia membina riuhnya iman.

Belum lagi cuti, tapi rasa risau. Bukan risaukan mutarobbi sahaja, tapi lebih-lebih lagi pada diri sendiri.

Akhi! tarbiyyah zatiyah mesti on selalu. Ingat tu, TZ!


Mutabaah bukan amal kosong. Isinya mutabaah amal itu adalah jawapan kepada persoalan, untuk apa aku hidup dalam tarbiyyah? Itu hasilnya liqa' tarbawi yang kita selusuri, yang kita perah untuk mendapatkan hasilnya. Jika tidak, liqa' kita hanya tidak lari seperti kelas-kelas agama, duduk-duduk, sembang-sembang. Tiada manfaat. Catitan mutabaah amal sekadar catitan kedatangan yang tiada ertinya.

Jauh di sudut hati, kita tanam cita-cita tinggi. Jadikan cuti ini manfaatnya bukan pada perut-perut yang bakal kekenyangan, pada mata-mata yang lagha dengan tatapan hiburan dan nafsu. Tapi cuti ini satu medan amal yang luasnya perlu diisi dengan kesungguhan!

Fastaqim kama umirta... Hembusan satu azam. Dengan izinNya.



'Hammuka ala qadari ma ahammak'

'Keseriusan anda adalah bergantung pada kadar apa yang kamu sibukkan'

Monday, July 19, 2010

Ikhtilat : Antara Adat dan Syari'at

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu”

Al-Baqarah : 208

Penulisan ini hanyalah kesinambungan daripada entry saya sebelum ini yang bertajuk Fitnah Dalam Fitrah. Saya rasakan tajuk ini sangat sukar dan rumit untuk menulis tentangnya. Mengambil masa yang lama, menilai dari segenap sudut, tentang apa itu ikhtilat.

Fiqh Ikhtilat boleh jadi fiqh semasa, kerana ikhtilat ‘hidup’ dengan mengembang biak menuruti masa. Sekarang sudah tidak lagi ditolak, bahwa ikhtilat itu adalah racun perosak yang utama dalam menghancurkan pegangan syari’at, apatah lagi jika ia melibatkan jalan kerja da’wah, para du’at.

Ikhtilat (atau percampuran lelaki dan perempuan ajnabi) yang diharamkan pada pandangan syarak ialah ikhtilat yang membawa kepada perkara haram seperti zina atau muqoddimahnya, terutama sekali fitnah.

Fitnah terhadap jalan da’wah, adalah satu keburukan yang sangat dahsyat. Fitnah boleh membiak menjadi maksiat, mengundang pandangan jelik manusia pada isi da’wah. Maka tidak mustahil, mengapa kemaksiatan ini boleh menghalang suatu kemenangan.

Seorang lelaki yang menghormati seorang perempuan ajnabi yang dianggapnya sebagai kakak, dan seorang perempuan ajnabi yang lebih muda yang dianggapnya seperti seorang adik. Ini namanya adat. Ia bagus, kerana ia mengajar aspek menghormati, biarpun antara lelaki dan perempuan.

Akan tetapi, bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggapnya sebagai kakak tersebut? Dan bolehkah lelaki itu menikahi perempuan yang dianggap adik itu? Ya, kerana mereka bukannya mahram. Dan ini pula namanya syari’at.

Ramai yang tidak sedar, betapa kebida’ahan minda sekian lama telah meletakkan syari’at jauh terkebelakang daripada adat. Masakan ibadah lain juga telah di transformasi menjadi adat, yang dipegang erat tak mahu dilepaskan!

Saya yakin, seorang muslimah yang teguh jati pegangan da’wahnya, tidak akan memandang dan menagih teguran-teguran ‘hormat’ daripada seorang lelaki. Seorang da’ie penting untuk menjaga soal ikhtilat, soal berbicara dengan mereka yang bukan mahram supaya tiada lohong-lohong fitnah yang merosakkan etika da’wah.

Ini bukan bermaksud bahwa ikhtilat ini membina tembok tinggi mengasingkan lelaki dan perempuan, tetapi seperti maksud ikhtilat di atas, yang diharamkan ialah ikhtilat yang mengundang zina dan fitnah.

Orang lain memerhatikan kita. Apatah lagi pada zaman yang serba moden ini, dengan laman-laman sosial seperti Facebook misalnya, semakin menggila menampakkan ikhtilat yang menghancurkan. Kuasai dan halangi diri daripada berbicara sesuatu yang tiada faedahnya, apatah lagi jika ia disaluti kata-kata yang dilunakkan, dimanja-manjakan, biarpun kepada seseorang yang dianggap sebagai ‘adik’, mahupun sebagai ‘kakak’. Mereka bukan mahram!

Ukhuwwah itu manis nilainya. Jalan da’wah ini mengajar kita untuk membina itsar, menerbitkan rasa kecintaan pada ukhuwwah. Tapi ia ukhuwwah antara kita seikhwah, dan ukhuwwah antara mereka sejiwa muslimah. Bukan ukhuwwah khusus antara seorang muslim dan muslimah, kerana ia pelik tafsirannya. Jika kita masih jahil, tiada usaha untuk memahamkan diri, maka tidak mustahil ia membentuk satu masalah yang lebih kronik, iaitu cinta ‘anta-anti’, laksana duri dalam daging, api dalam sekam.

Maka apakah pantas orang yang dijadikan terasa indah perbuatan buruknya, lalu menganggap baik perbuatannya itu? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Maka jangan engkau (Muhammad) biarkan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat

Fatir : 8

Sewajarnya kita memilih sesuatu yang meletakkan kita jauh daripada anasir kemaksiatan. Setiap perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. Kaedah ini namanya Saddu al- Zaraei (menutup jalan kejahatan). Masakan Allah s.w.t mengharamkan bukan sahaja zina, malah menegah daripada menghampirinya.