Saturday, January 22, 2011

Walimah



Alhamdulillah

Saya dan isteri, Aida Atirah Azmal
dengan setulusnya menjemput kalian
ke majlis kami.

Semoga Allah memberkati
Lagi melancarkan perjalanan majlis ini.

Ameen.




Tawakkal alallah

Wednesday, January 19, 2011

Ketika Syaitan Bersuara

Manusia itu sememangnya lemah, malah tidak dapat elak daripada merasai kelemahan. Namun bukanlah dengan menghina diri dan menyesali penciptaan Allah ini, sebagai jalan mengubati kelemahan itu.

Biarpun ramai, dan terlalu ramai manusia itu yang sangat suka merungut, menghela nafas panjang mengenang apakah nasib diri atas 'ketidak-adilan' yang Allah berikan pada kita.

Begitu kita manusia yang tidak berfikir, apatah lagi hendak bershukur?

Tidaklah sezalim itu Tuhan pencipta kita hendak membiarkan hamba-hambaNya yang lemah terkapai-kapai hanyut, tenggelam timbul ditelan ombak dunia. Cuma yang tidak memahami, maka dia tidak mengenali Allah yang al-Hakam (Maha Mengadili) dan Al-Adl (Yang Mempunyai Keadilan).

Apatah lagi al-Wadud (Maha Pengasih), ar-Rahman (Maha Pemurah), ar-Rahim (Maha Penyayang).....afala tatafakkarunn???

Kita, sebagai manusia, pasti juga pernah tenggelam dalam lubang-lubang hitam. Hilang arah tuju, tiada pedoman, malah yang memacu jalan adalah syaitan dengan rantaian nafsunya yang mengikat kita. Sedangkan sehebat-hebat manusia pertama itu turut diuji, sehingga syaitan terlaknat itu mengutuh janjinya demi menyesatkan manusia, hingga ke hujung dunia!

Maka tidaklah Allah itu membiarkan kita yang hanyut untuk terus bersama arusnya. Sedangkan tangan yang terkapai itu akan ada yang menggenggamnya, membawa kita bangun dan bangkit semula.

Sungguh, firman Allah yang jelas :

'Aliff Lam Ra. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari KEGELAPAN kepada CAHAYA terang benderang dengan izin Tuhan, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang al-Aziz (Maha Perkasa) dan al-Hamid (Maha Terpuji)'

Ibrahim:1

Manusia, itulah makhluk yang Allah sentiasa berikan persoalan dalam hidupnya.

Tidak pernah bershukur.
Tidak pernah berfikir.
Tidak pernah mengerti.
Tidak pernah mengambil pengajaran.
Tidak pernah memerhatikan.
...

Suluhan jalan ini memang sudah sedia ada, tetapi hanyalah sekadar lampu pelita usang, tiada minyaknya, hangus sumbunya, malah tiadalah minat untuk menyalakannya. Gelap. Gelita.

Sedangkan kita sebenarnya tahu bahawa kita dalam kegelapan, namun kita suka padanya yang teramat, kerana itulah ikatan tali syaitan. Rantaian yang mengikat kita hingga mencecah rusuk!
Enak. Sungguh enak dan manis jahilliyah itu, sehingga benar-benar terbukti.

Ketika syaitan mula bersuara.

Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) itu telah diselesaikan;

"Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan sekadar aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu"

Sungguh, orang yang zalim akan mendapat seksaan yang pedih

Ibrahim:22


Ahmad Ramdan Zainordin
19 Januari 2011, 859pm
Volgograd, Rusia.