Sunday, September 25, 2011

Ukhuwwah Yang Abadi

Rasulullah s.a.w sangat memberikan perhatian yang tinggi ke atas cinta dan ukhuwwah.

Ketika kaum Muslimin menderita kekalahan dalam perang Uhud, meskipun sempat memenangkan perang sebelumnya, kaum Muslimin kehilangan 70 parajuritnya.

Di antaranya adalah Hamzah, paman sekaligus saudara sesusu Rasulullah s.a.w. Di samping korban luka parah dan lainya, kekalahan itu disebabkan ketidakpatuhan mereka terhadap perintah Rasulullah s.a.w. Rasulullah yang ketika itu berusia 57 tahun, menderita luka pada bahagian paha dan kepalanya. Semuanya merasakan kepedihan dan keletihan teramat, serta luka yang mendalam....

Dalam kondisi yang sukar ini, kaum Muslimin harus menggali perkuburan untuk memakamkan para syuhada yang gugur. Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat agar menguburkan 2 syuhada dalam satu liang lahad. Mereka melakukannya meskipun teramat dalam luka yang mereka rasakan kerna kehilangan 70 para sahabat yang syahid.

Ketika pemakaman berlangsung, para sahabat dikejutkan dengan arahan daripada Rasulullah s.a.w yang meminta supaya mereka berhenti.

"Mengapa harus kita berhenti, ya Rasulullah? Kami hendak menyelesaikannya. Kami sangat letih dan hendak beristirehat di rumah" protes sahabat.

"Carilah Amr Bin Jamuh dan Abdullah Bin Harram dalam antara sahabat yang gugur" perintah Rasulullah.

"Mengapa ya Rasulullah?" Sabahat bertanya.

Rasulullah menjawab, "Kebumikan mereka dalam satu liang. Mereka adalah 2 sahabat yang saling mencintai selama mereka di dunia". (HR Ibnu Sa'd dalam Thabaqat al-Qubra, rujuk 3/106).

Selawat ke atas mu ya Rasulullah s.a.w. Baginda yang memahami betul bahawa jiwa yang telah saling kenal, dan hati yang telah lebur dalam taat dan cinta kepada Allah, tidak dapat dipisahkan meskipun oleh sebuah kematian. Kelak kedua sahabat yang saling mencintai itu akan dibangkitkan bersama dari liang lahad yang sama.





Ahmad Ramdan Zainordin
25 Sept 2011 9.38am
Volgograd, Russia.


Saturday, September 17, 2011

Bertaubatlah Wahai Pemuda Pemudi


'Taubat adalah kesempatan yang mulia, di mana seseorang boleh memperbaharui jiwanya dan mengembalikannya dari himpitan dosa serta kesalahan. Sehingga ia menjelma menjadi manusia yang berfikir kembali tentang keampunan dan kerelaan. Ketika seorang manusia kehilangan rasa kemanusiaannya, maka hidup akan berubah menjadi azab, ketakutan dan kegelisahan' - Prof. Fathi Yakan.

"Dan orang-orang yang tidak menyembah Ilah lain bersama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (untuk membunuhnya), kecuali dengan alasan yang dibenarkan serta tidak berzina. Adapun bagi siapa yang melakukan perkara itu , nescaya ia akan mendapat balasan atas dosa yang telah dikerjakannya. Yakni, akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan akan kekal dalam azab tersebut , dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka kejahatan yang telah mereka lakukan akan diganti oleh Allah dengan kebajikan. Allah adalah Zat Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" - Al-Furqan:68-70

Dalam Fii Zilalil Quran termaktub penafsiran mengenai ayat ini, yang menyatakan, bahwa Allah s.w.t sentiasa membukakan pintu taubat bagi para hambaNya yang ingin selamat dari azab yang buruk. Kesemuanya itu dapat dilakukan dengan cara bertaubat, memperbaiki iman dan beramal soleh.



Ingatlah, pintu taubat itu sentiasa terbuka dan dapat dimasuki oleh setiap orang yang terjaga mata hatinya serta menginginkan untuk kembali kepada Allah.

Orang yang memiliki keinginan tidak akan mudah berpaling. Mereka tidak akan ada rasa gelisah.

Kerana, cahaya petunjuk Allah untuk mereka mencari perlindungan kepadaNya, maka walau apa jua keadaan dan dosa apa jua pun yang diperbuat, dia tetap berada pada jalan yang benar untuk meraih keampunan Allah.

Adapun demikian, kita harus menjadi hamba yang bersungguh-sungguh untuk uzlah ini.

Acuh tak acuh bukanlah satu prinsip taubat yang menjelmakan nakhoda istiqamah untuk memimpin diri kita.

1. Bangunlah di waktu malam gelap gelita, wahai orang yang menyerahkan diri, yakni di kala kebanyakan manusia itu sedang lena tertidur.

2. Bangun dan serulah Rabbmu yang menciptakan gelapnya malam. Juga pada waktu diserukan untuk bergegas menunaikan solat Subuh dari kumandang suara azan.

3. Mohonlah keampunan kepada Allah Yang Maha Besar dengan segenap jiwa dan carilah redhaNya, kerana Dia sama sekali bukanlah pendendam.

4. Sesalilah apa yang telah engkau buat dan tinggalkanlah apa yang telah terjadi untuk kamu melalui hari esok yang lebih baik.

5. Rendahkanlah dirimu dan katakanlah 'Ya Rabb, aku memohon keampunanMu, sesungguhnya aku tanpa maafMu tiada memiliki apa-apa yang menolongku.

6. Alangkah menyedihkan, jika umurku aku sia-siakan dengan pelbagai perbuatan dosa, sementara Engkau mengawasiku dari atasku.

7. Ya Rabb, aku tidak terfikir akan menerima kepahitan akibat tergelincir, sedangkan asalnya dilihat bagus.

8. Ya Rabb, sungguh berat bagiku dosa-dosa besar di depan mataku yang masih berlalu lalang.

9. Ya Rabb, tiada tempat untuk berlindung, kecuali kasih sayang Mu, Semoga aku tidak diusir dari perlindungan Mu.

10. Ya Rabb, berilah aku rahsia taubat, di mana aku dapat membayar hutang-hutangku kepadaMu. Sungguh, keagunganMu sebagai saksi atas perkara tersebut.

11. Engkau Maha Tahu tentang keadaan hambaMu. Sesungguhnya aku sedang dibelenggu oleh rantai yang sangat berat.

12. Engkau Maha Mengabulkan setiap doa permintaan hambaMu, Engkaulah Yang Maha Pemberi Balasan bagi setiap hamba yang memohon pertolongan.

13. Dari laut mana selain lautMu yang kami minum, dan ke pintu mana selain pintuMu yang kami ketuk.

Dalam hadith riwayat Muslim, Rasulullah saw bersabda:

'Allah lebih senang dengan taubat hamba, ketika hamba bertaubat kepadaNya, daripada kegembiraan salah seorang di antara kamu jika ia berada di atas untanya di padang pasir, kemudian untanya itu meninggalkannya sedangkan diatasnya terdapat makanan dan minuman yang menjadi bekal baginya. Lalu dia merasa berputus asa untuk mendapatkan kembali untanya. Kemudian dia mendatangi sebatang pohon dan baring dibawah bayangannya. Sungguh dia telah berputus asa untuk mendapatkan kembali untanya. Ketika dia berada dalam keadaan begitu, tiba-tiba untanya berdiri disampingnya. Dia pun memegang tali untanya. Kemudian dia berkata dengan gembiranya : 'Ya Allah! Engkaulah hambaku dan akulah Rabb-Mu. Dia tersalah mengucapkan kerana terlalu gembira'

Lihatlah, sungguh Allah itu menerima taubat setiap hambaNya dan betapa Allah sentiasa gembira menerima kepulangan hamba-hambaNya yang bertaubat, malah lebih gembira daripada orang yang kehilangan untanya dan menjumpainya semula.

Teguhlah istiqamah dalam taubat kita.

Semoga kita dapat meningkatkan darjat taubat kita, dari darjat taubat seorang hamba kepada darjat taubat golongan yang bertaqwa. InshaAllah.


Ahmad Ramdan Zainordin
17 September 2011 930pm
Volgograd, Russia.