Saturday, February 11, 2012

Akulah Muslimah Itu



 Dan Fahri yang sendiri. Bertemankan bayang-bayang sepi. Di penjuru jalan itu langkahnya terhenti. Dia melihat ke langit biru. Mengambil hembusan nafas baru.

*******************************************************

‘Fahri!!!!!!!!!!!!!!!’.

Fahri yang terkejut sepantasnya menoleh ke belakang. Diletak semula buku-buku yang dipegang pada raknya.

Fahri, seorang anak muda berbadan tegap, berkulit cerah. Kini sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pendidikan. Indah akhlak peribadinya, seindah senyuman dan lesung pipitnya!

‘Azza! Buat apa kat sini?’ tanya Fahri.

’Bukan Azza lah. Julia’, tegas Julia.

Julia, seorang gadis muda yang cantik, seusia dengan Fahri. Nama sebenarnya Nur Azza Az Zahrah. Lebih mahu dikenali dengan nama Julia. Julia Wilson.

I nak ajak you keluar dinner malam ni, boleh? tanya Julia.

’Keluar ke mana? Kita berdua je? tanya Fahri, kehairanan.

’I nak belanja you makan sebab you dah tolong I siapkan reference course minggu lepas, ingat tak?’ terang Julia dengan harapan untuk menawan hati Fahri.

’Ingat, tapi I tak pasti dapat keluar atau tak sebab malam ni...

’Malam ni you ada usrah?’ sampuk Julia segera.

Fahri mengangguk perlahan. Julia hanya tersenyum.

Mereka berdua kemudian berlalu meninggalkan Pusat Sumber itu dan pulang ke rumah masing-masing.

***********************************************

Setelah selesai solat Maghrib di Masjid Universiti, Fahri pun pulang dengan berjalan kaki menuju ke rumah Adam, murobbi usrahnya.

Sedang berjalan, wajah Fahri berkerut. Fikirannya kusut memikirkan sesuatu. Tentang Julia.

Setelah hampir 3 tahun mengenali Julia, Fahri tahu benar bahawa Julia ingin menawan hatinya. Julia mencintainya. Kerap kali mereka keluar bersama, makan bersama, belajar bersama. Tetapi dalam diri Fahri, dia merasakan sesuatu yang meresahkan dan tidak menyenangkan dalam hubungan itu.

Fahri disenangi rakan-rakan sekuliah dek kerana akhlaq dan peribadinya yang baik, namun pada dirinya itu seakan kepalsuan tatkala memikirkan keintiman hubungannya dengan Julia. Fahri menyedari bahawa tiada apa yang dia peroleh dengan belajar agama, solat berjemaah di masjid-masjid, meringankan kakinya melangkah ke setiap usrah.

’Kenapa aku buat semua ni kalau aku tak mahu ubah diri aku sendiri?’ monolog Fahri sendirian.

’Ya Allah, berikanlah aku petunjuk, pimpinlah aku ke jalanMu’, rintih Fahri.

**********************************************
’Alhamdulillah, sekarang ada sesiapa yang nak sharing sesuatu?’ tanya Adam sebaik sahaja selesai mengendalikan usrahnya.

Fahri terdiam di penjuru sudut itu. Dipandangnya ikhwah lain satu per satu dan wajah murobbinya.

’Fahri?’ tanya Adam.

Fahri memandang. Pada raut wajahnya ada sesuatu yang ingin dilontarkan.

Dari situ Fahri bermula. Ceritanya sejak pengenalan dengan Julia sebagai teman karibnya, sehingga Julia menaruh cinta daripada dirinya.

Hari-hari yang semakin mematangkan Fahri. Dia sendiri yang menyedari kekhilafan dirinya. Namun tidak sesekali untuk dia menyalahkan sesiapa, apatah lagi kehadiran Julia yang mencintainya.

Perkongsian Fahri malam itu berakhir tanpa tuntasi.

Setibanya di rumah, Fahri menerima mesej dalam kotak emelnya. Dia duduk dan membacanya.

Assalamualaikum.

Fahri, sesungguhnya ana menyayangi anta kerana Allah. Curahan hati anta malam tadi sangat menyentuh hati kecil ini sehingga tidak terkata sebutir lafaz pun untuk ana jawab dihadapan anta. Hidayah itu sungguh milik Allah. Dia sahaja yang mengaturkan hidayah kepada hamba-hamba yang Dia pilih untuk berada pada jalanNya. Fahri, akhlaq mulia itu boleh dimiliki sekelian manusia. Namun akhlaq mulia disisi Allah itu adalah akhlaq orang-orang beriman. Begitu juga untuk cinta. Semua manusia memiliki cinta, untuk mencintai dan dicintai pula. Namun, cinta yang hakiki, cinta yang abadi adalah cinta yang Allah berikan sebagai hidayah untuk lebih dekat kita mencintaiNya. Ana yakin, Fahri mampu membuat keputusan yang terbaik. Semoga Allah memeliharamu. Wassalam.

                                                                                                                                                   Adam.



’Cinta itu hidayah, untuk kita lebih dekat kepada Allah...’,bisik Fahri sendirian. Renungannya jauh melambai, bicara hati hingga malam melabuh tirai.

*************************************************

Pagi itu dingin. Hujan kelmarin masih santai menyelimuti bumi dengan kabusnya.

Fahri berjalan menuju ke Pusat Sumber. Padanya dijinjing sebuah bungkusan, dibaluti kain berwarna jasmine.

’Assalamualaikum’, sapa Fahri.

’Fahri! Apa you buat kat sini?’ tanya Julia spontan.

’Saya datang nak beri sesuatu.’ kata Fahri sambil dihulurkan bungkusan di tangannya itu.

Fahri pun berlalu meninggalkan Julia yang masih disitu. Membawa langkah yang penuh tanda tanya.

Julia duduk pada tempatnya lalu membuka bungkusan itu. Sebuah buku tertulis pada muka depannya ’Akulah Muslimah Itu’. Padanya terselit sehelai nota.

Di kedalaman hati ini, aku menyembunyi harapan suci. Namun kini bukanlah saat untuk aku membalas cintamu. Namun jangan disalahkan juga penantian itu. Jika segalanya terpena sebagai kehendak Ilahi, maka akan ku nanti membawamu ke Syurga abadi. Namun bukan kita yang memiliki cinta. Yang ingin ditaruh gadai sebegitu sahaja. Sekiranya pada mu ada yang terbaik dari diriku, maka doaku sentiasa mengiringi dirimu. Bekalkanlah dirimu dengan taqwa. Hiasilah akhlaqmu dengan tiraian suci. Iman itu yang mengukuhkan dirimu. Taqwa itulah yang menjamin kedudukanmu.   

Cinta itu kehidupan, dikala cinta dihidupkan iman. Nakhoda cinta adalah hati, yang dahagakan pelayaran berkekalan, meskipun laut ini memukul, seluas badai.

Fahri.


’Fahri...’, bisik Julia. Padanya tidak tertahan air mata itu. Mengalirnya jatuh menitisi hatinya.

*******************************************************
Empat tahun berlalu cukup pantas. Secelik mata sepejam tidurnya. Pusat Sumber itu menjadi saksi pertemuan dan perbualan terakhir Fahri dan Julia.

Di suatu petang yang damai, Fahri menerima sepucuk surat bersampul biru dan ungu cerah.

’Dari Mesir?’ kata Fahri sendirian yang mendapati stem kota Piramid itu tertampal pada sampulan.

Dibukanya lalu dibaca.

Jemputan ke Majlis Pernikahan
Al Athiq Marzuki & Nur Azza Az Zahrah


’Subhanallah, ya Allah..’, ungkap Fahri dengan kegembiraan pada raut wajahnya.

Fahri sungguh tidak menyangka, Julia yang telah empat tahun tidak mendengar khabarnya, akhirnya tiba dengan berita pernikahannya dengan Athiq, seorang ikhwah di Mesir yang amat Fahri kenali dan segani. Persoalan lalu juga terjawab pada akhirnya. Julia telah menyambung pelajarannya dalam Bahasa Arab dan Pengajian Al Quran di Universiti Mansoura, Mesir sebaik tamat menuntut bersama Fahri di UKM empat tahun lalu.

************************************************************

’Abang, jom balik? tanya Maisarah kepada suaminya, Fahri.

’Astaghfirullah al azim. Lama ke abang termenung kat sini?’ tanya Fahri, serba salah.

Maisarah tersenyum manis. Di penjuru jalan itu Fahri yang terhenti, memulakan langkah baru. Sempat menoleh ke langit biru, padanya awan tadi hilang sudah, berganti yang baru.

Fahri dan Maisarah melangkah pulang dari majlis perkahwinan Azza dan Athiq.

Segalanya berlaku sepantas bicara. Azza kini telah berubah, hanya kerana kuasa cinta yang diletakkan pada jalan yang sempurna, pada jalan harapan buat Pemilik cinta yang sebenarnya. Tiada lagi nama Julia yang harus diingati, melainkan kisah lalu yang menjadi titik pengajaran.





Ahmad Ramdan Zainordin
Pertandingan Mengarang Cerpen
Minggu Kirovsky IMAM Volgograd 2011