Thursday, December 25, 2008

Setanggi Syurga; Antara Hamba dan Pencipta

Lagu ini ana bawa dalam usrah ana, bersama dengan video clip In-team yang menyanyikan lagu ini. Lirik setiap bicaranya, pada sekilas mata yang memandang, memang agak sukar untuk mendapat kefahaman. Namun, jika diamati dengan tekun, hakikatnya adalah indah, begitu indah..itulah cinta teragung. Mendapatkan CINTA Ilahi itu bukanlah semudah lafaz kata, malah mendapatnya adalah ni'mat paling agung, yang kesudahannya sudah pasti di syurgaNya kelak...



SETANGGI SYURGA

Percaya...
Kata janjiMu,
Kerna ku yakin apa digenggamMu
Keharuman setanggi syurga,
Bukan kilauan sebilah belati.

Terseksa,
Jiwa merindu,
Bagai terkurung dibasah tengkujuh
Kewangian aroma bunga,
Tak menggugah keteguhan iman.

Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur,
pada redup renung mata yang menipu,
Tuntas ku mendaki,
Puncak CINTA TERAGUNG...

Izinkan aku melafazkan kata,
Bicara hati yang mudah diterjemah,
Betapa aku...
Gerun pada teduh untuk bernaung,
Kerna awan itu rapuh.

Bahagia buat mereka yang bertemu cinta yang teragung
Yang membawa ke syurga hakiki dan abadi...

Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur,
Pada redup renung mata yang menipu,

Tuntas ku mendaki,
Puncak Cinta teragung...

Izinkan aku melafazkan kata,
Bicara hati yang mudah diterjemah,
Betapa aku gerun pada teduh untuk bernaung...

Dendam tak marah menyala dan membakar,
Oleh putih salju yang berguguran,
Kerna dosa itu lebih hitam dan gelap,

Ku anyam rindu menjadi hamparan,
Kerna ku pasti adanya pertemuan,


Disana nanti bukti cinta suci dilafazkan,
Tak bertemu pengucapan...

Percaya...
Kata janjiMu,
Kerna ku yakin apa digenggamMu,
Keharuman setanggi syurga,
Bukan kilauan sebilah belati....


" Kami memohon padaMu ya Allah! Bekalkanlah kami dengan rasa CINTA yang tidak rapuh kepadaMu, dan kurniakanlah kami rasa CINTA rahsia teragung, agar boleh kami mencintai hanya mereka yang mencintaiMU"


(Duduk dari kiri) Atikullah & Firdaus
(Berdiri) Aizzat

Lagu ini amat bermakna kerna ia mengajar erti Cinta Teragung, iaitu cinta kepada Allah. Ayat

"kerna ku yakin apa digenggamMu" bermaksud keyakinan kita bahawa mereka yang memiliki cinta Ilahi, tiada tempat yang lain selain syurgaNya.

"Terseksa jiwa merindu" dan " kewangian aroma bunga tak menggugah keteguhan iman" bermaksud begitu sukar untuk menahan rindu dan cinta ini terhadap manusia iaitu selain cinta Allah, namun godaan wanita(aroma bunga) itu tidak sewenang-wenangnya dapat merebahkan iman..

"Cinta tak terbunggar dan terlebur, pada redup renung mata yang menipu" - inilah sifat2 cinta kepada Allah, iaitu cinta kepadaNya tidak mudah goyah, dan bila kita memiliki cinta Ilah ini, maka tidak akan kita tunduk pada tuntutan nafsu dan mata2 wanita yang menggoda.
"Tuntas ku mendaki, puncak cinta teragung" - terus aku mendapatkan cinta Allah, iaitu cinta teragung.
"Izinkan aku melafazkan kata...." - bermaksud orang yang mencintai Allah ingin mengatakan sesuatu (mungkin kepada wanita yang dicintainya) bahawa "betapa aku gerun untuk berteduh, kerana awan itu rapuh"... tidak sanggup aku memberikan cinta kepada orang lain, sedangkan cintaku kepada Allah masih belum tentu diterimaNya..Subhanallah! Tidak semua manusia mampu melafazkan kata2 ini melainkan mereka menjulang cinta Allah yang teragung.
Bahagialah buat mereka yang bertemu cinta Allah itu, yang membawa mereka ke syurga yang hakiki dan abadi.

"Dendam tak marah menyala dan membakar, oleh putih salju yang berguguran" - bermaksud, walaupun kite membelakangi cinta manusia, dendam tidak akan sedikit pun timbul, kerna cinta Allah itu adalah penawar, bagaikan putih salju yang berguguran, memadamkan segala nyala dan baraan...

"Ku anyam rindu menjadi hamparan, kerna ku pasti adanya pertemuan" - bermaksud, rindu dihati ini tetap disimpan dengan penuh kesabaran, bagaikan kita bersabar dalam menganyam, dan anyaman itu adalah rindu yang akhirnya menjadi hamparan..biarpun tidak dipertemukan dengan si"dia" yang memiliki CINTA TERAGUNG, yakinlah, bahawa pertemuan itu tetap ada, yakni di syurgaNya kelak...dan di'sana' jualah cinta suci itu akan benar2 terbukti, tanpa memerlukan pengucapan sepertimana cinta manusia di bumi ini...

Indah sungguh setiap bait bicara lagu ini. Pengajaran dan didikannya amat bermakna, oleh itu ingin sekali ana hadiahkan lagu ini kepada anak2 usrah ana dan semua, terutama kepada mad'u ana yang 'terpilih' (jauh di sudut hati ini ana berharap...agar dirinya diberi cinta Ilah, insyaAllah)


"Sesungguhnya Orang-orang yang Bersabarlah, yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"

az-Zumar;10

Wednesday, December 24, 2008

Refleksi Cinta Ilahi

CINTA itu suci, SESUCI sebuah CINTA adalah keredhaan ILAHI;

Kini jalan tarbiah makin getir rasanya. Bila mana ikatan antara kami telah tersimpul nurani yang sahih, masakan pula bercampur kebatilan. Refleksi Cinta Ilahi, adalah salah satu tema Hakikat Perjuangan Hakiki. Sebenarnya, jika mengikut takwim usrah ana, topik ini hanya perlu diperjelaskan setelah anak2 usrah betul2 dipertengahan 'takwin'(pembentukan/pembinaan). Tapi, ana perlu lebih arif menilai situasi tentang perkembangan dalam usrah ana sendiri. Melihat pada keadaannya, topik ini harus didahulukan, kerna soal 'cinta' ini boleh menjadi racun dan juga penawar kepada aqidah.


Allah itu Maha Bijaksana, setiap penentuan diaturNya dengan sungguh rapi dan istimewa. Begitulah yang berlaku antara diri ana dengan seorang mad'u ana ini. Tiba2 ana tersedar, setiap apa yang terlintas dalam fikiran setiap hambaNya, pasti di pengetahuanNya yang Maha Mengetahui. Ana tahu setiap perangai dan cara hidup setiap anak2 usrah ana (tanpa mereka mengetahuinya! kecuali Allah). Secara jujurnya, memang agak sukar untuk memulakan topik ini dalam usrah, silap2 nanti boleh mengguris hati mana2 mad'u ana. Jadi ana memang sangat buntu, dan ana memang sepanjang hampir 2 minggu berdoa khusus, agar diberiNya petunjuk, diberNya jalan dan pertemuan bagi sebuah permulaan...


Tanpa ana sangka, mad'u ana ini telah datang mencari ana sendiri untuk bersolat Subuh berjemaah. Ana sangat bersyukur, kerna ana yakin, di situlah jalan yang Allah tunjuk dengan kasihNya kepada kami. Mad'u ana ini memang bagi ana, luarannya positif, khusus ibadatnya.. Sesudah itu, ana tahu dalam dirinya tersimpul masalah yang rumit, perasaan CINTA, pada manusia yang melebihi segalanya.. Dia pada mulanya tidak mengetahui, tetapi lama kelamaan, ana sendiri yang berterus terang kepadanya. Ana risau kalau dia akan menolak kehadiran ana, tapi alhamdulillah, Allah itu Maha Berkuasa, kami tetap ber'muzakarah'. Adakalanya ana sendiri berasa sedih dan hiba, lebih sedih dari apa yang dia rasa. Masakan tidak seorang ibu tidak tersentuh melihat anaknya begitu? Begitu jugalah kasihnya seorang Murabbi kepada mutarabbinya. Apabila tiba dikemuncaknya, ana memahami, bahwa ana hanya mampu mengubah fikrah dirinya, kerana fitrah itu adalah mutlak. Ya Allah! begitu besar dugaan Engkau berikan kepada diri ini..dan kepada diri kami sebagai insan yang lemah!


Di pertengahan dan akhir Zulhijjah ini, memang Allah betul2 menguji pendirian diri ana, dalam mentarbiah dan berda'wah. Ana cuba untuk kentalkan hati, ana cuba rapatkan lagi ukhuwwah dengan mad'u ana itu, agar dia tidak lari jauh menuju jalan yang salah, paling tidak pun ana perlu memegangnya untuk tetap berdiri dipersimpangan dua cabang jalan. Itulah cara yang ana termampu..setiap kali bersolat bersama, ana mengarahnya menjadi imam, agar ikatan cintanya kepada Ilah itu lebih kukuh simpulannya. Ketika itulah, ana berasa amat tenang berdoa dan mendengar setiap bait bacaannya, dan dalam hati ini, hanya Allah yang tahu, betapa ana berdoa supaya Allah menurunkan petunjuk kepada kami...Dialah satu-satunya Yang Maha Mengetahui.


Tidak disangka, ujian yang Allah turunkan ini, ada terselit hikmah yang agung, apabila hadirnya Muharram, dan hijrah itu sendiri yang menjadi 'petunjuk' kepada kami. Dari saat inilah, apabila kami berdoa untuk menutup tahun yang lalu, sebak rasa hati, memikirkannya semula. Dan setelah bermulanya tahun yang baru, kami berazam menegakkan CINTA hanya kepadaNya. Dialah pemilik CINTA SEJATI, yang mengatur setiap pertemuan, dan ajal pengakhiran. Jauh di sudut hati ini, ana berharap, mad'u ana itu mendapat hidayah Allah yang berterusan, biarpun ana telah 'pergi' selepas ini, insyaAllah, akan diketemukan jua hati orang2 yang beriman, yang mencintai ALLAH, lebih daripada segalanya (mungkin di syurgaNya kelak? Itulah harapan ana, insyaAllah)...


Hari demi hari ana melangkah, mengejar CINTA HAKIKI...(sangat dalam harapan ini, agar dia turut menemani ana mengejar cinta ini)


"YA ALLAH, Perteguhkanlah CINTA kami kepadaMu melebihi segala-galanya, dan pertemukanlah juga kami dengan insan yang menCINTAIMU...Engkaulah Pemilik CINTA TERAGUNG"

Saturday, November 22, 2008

Jelajah Seribu Marhalah

Jauh Perjalanan, Indah Pemandangan, Luas Pengetahuan...
Program usrah ana dimulakan dengan 'Jelajah Seribu Marhalah' (JSM). Marhalah disini adalah 'ilmu yang berpanjangan dan berterusan'. Ana rasakan program seperti ini perlu, memandangkan komuniti umat Islam Volgograd (Malaysian) di sini agak terpisah, mungkin dek jurang jarak yang memisahkan, walaupun hakikatnya dek jurang 'persefahaman'. Bagi ana ini bukanlah masalah yang besar, kerana ingin ana buktikan bahawa ukhuwwah itu terbina atas dasar keimanan kepadaNya, kerana selagi kita meletakkan Allah sebagai yang utama dalam setiap persaudaraan yang dibina, nescaya penyatuan itu akan wujud, kerna Dialah yang Esa, abadi bertakhta selamanya.
Jelajah Seribu Marhalah (JSM) untuk pertama kalinya bertempat di rumah saudara Mujahid, yang mengepalai tuntutan da'wah dan tarbiah diluar hostel pelajar2 Malaysia. Memang ada cadangan untuk buat di tempat lain, tetapi bagi ana, akan ada hikmahnya mengapa ana tetap membuat keputusan untuk ke rumah saudara Mujahid. Kesemua anak2 usrah ana ikut serta, termasuklah 2 orang lagi tambahan iaitu adik angkat ana, Syafiq dan seorang lagi, Firdaus.
Matlamat JSM ini amat besar bagi ana. Memang ana berharap, agar ukhuwwah itu akan tersimpul dengan ikatan yang sangat kukuh dan utuh. Dirumah saudara Mujahid, kami semua mendengar tazkirah yang lebih kepada perjalanan da'wah Muslimin Volgograd. Saudara Mujahid begitu banyak pengalamannya, setelah hampir 7 tahun menuntut di sini, dan inilah tahun terakhir baginya. Berbekalkan semangat tarbiah, kami mendengar dan turut berkongsi bersama. Ada juga perkara yang kadang kala menggoncang keutuhan iman di dada ini, seperti isu pelajar2 yang hampir murtad, hilang kepercayaan dan keyakinan pada Allah, mempersoalkan urusan tauhid dan aqidah, malah ada juga yang sehingga kini, masih mengikut ajakan kafirun ke arah agama mereka yang palsu...
Ana melihat, ada kesedaran yang timbul dalam diri mereka yang menyertai JSM kali ini, walaupun sedikit, namun kesedaran ini adalah tulang belakang untuk kita mengangkat da'wah sebagai perisai menghadapi dakyah musuh2 muslimin.
InsyaALLAH, dimasa2 berikutnya, JSM ini akan diteruskan sehingga ke suatu masa kelak, kami 'menjelajah seribu marhalah' bukan sahaja akan mengambil ilmu, tapi juga akan mentarbiah dan mengangkat sifat 'tabligh' yang ada pada junjungan besar kekasih hati, Rasulullah s.a.w.
Semoga Allah meredhai usaha2 kami, demi mengangkat agamaNya yang syumul.

Tuesday, November 4, 2008

Usrahku Tersayang, Islamku Dijulang



Perjalanan ini kian jauh rasanya...


Tanpa disedari, hari2 yang lepas telah pun berlalu, yang tinggal adalah masa 'kini' dan 'akan datang'. Ana bersyukur dipertemukan dengan adik2 ana yang baru, malah lebih ana bersyukur bila diaturNya pertemuan ana dengan adik angkat ana, Syafiq. Memang sudah menjadi aktiviti tahunan untuk muslimin Volgograd ini membahagikan pelajar2 baru kepada abg2 dan kakak2 angkat masing2 (buddy system). Tapi time ana 1st year dulu tak wujud pun sistem 'buddy' ni.


Permulaan yang baru ini dimulakan dengan halaqah. Adik2 yang ditetapkan dalam halaqah ana termasuklah semua yang ada di floor ana, ditambah dengan adik angkat ana, Syafiq (mengikut senarai yang diberi kepada ana). Namun, kadang kala tidak begitu tetap kehadiran mereka, ada yang ke halaqah lain. Bagi ana itu tak mengapalah, asal mereka mendapat ilmu, itu yang terpenting. Ketika di halaqah, ana sudah melihat dan boleh mentafsir adik2 semua, seperti komitmen mereka, minat dan perkongsian.


Setelah tamat halaqah(lebih kurang sebulan), adik2 semua hadir ke ISK (Ini Sejarah Kita). Disinilah mereka diajar tentang sejarah umat dari kebangkitan dan kegemilangannya sehinggalah tumbang dan rebahnya umat Islam dihari ini. Kesedaran ini penting, agar boleh kita belajar dari sejarah, sepertimana Allah menyuruh kita berfikir dan mengambil iktibar dari kisah2 umat terdahulu. Namun Allah mempersoal semula; Qul afala tafakkarun (mengapa kamu tidak berfikir?). Duduk berfikir akan mengembalikan kita kepada fikrah.


Kini telah pun bermula lembaran baru dalam kerja da'wah ana. Allah itu Maha Besar, lagi hebat pengetahuanNya. Dipertemukan ana dengan anak2 buah usrah yang ana dalami sebelum ini. Namun, ana agak sedih, bila ada juga adik2 ana yang ana cuba dekati, tetapi tidak terpilih untuk bersama ana lagi. Ana cuba yakinkan diri, bahawa Allah sentiasa bersama kita dalam perjuangan ini. Pasti akan ada hikmah disebaliknya. InsyaAllah.
Usrah ana kali ini memang ada variasi. Mereka terdiri daripada golongan yang ingin berubah (Qabil litaghyir) dan golongan yang berpotensi untuk mengubah orang lain (anasir at taghyir). Variasi ini memang penting untuk kedinamikan sesebuah usrah. Ana tahu, usrah ana ini 'kekurangan mutu' pada pandangan mata orang lain. tapi tak mahu ana huraikannya pada sesiapapun mengapa ana beranggapan demikian, ana hanya merujuk al-Baqarah ayat 216, itulah yang menjadi penawar bila hati ana tersentuh...Allahu Rabbi.


Perjalanan tarbiah ini tetap ana teruskan, biar sehebat manapun cabaran dan badainya. Satu persatu langkahan bermula, ana hanya merancang dan Allah sahaja yang menentukan. Ana yakin dengan janji Allah, bertemu dan berpisah itu ada rahmat dan kasihNya..pergilah gelita, hadirlah cahaya


Tema usrah ana - "Usrahku Tersayang, Islamku Dijulang"


  • Mohammad Nor Rizwan bin Abdul Samat Gul

  • Syed Aidid bin Syed Abdul Rahman

  • Muhammad Nazrin bin Azlan

  • Muhamad Anuar bin Yaakub

  • Mohamad Aizzat bin Mat Ghani
  • Mohamad Zulkhairi bin Che Mat


Kita berjuang demi agama, ukhuwwah fiisabilillah~

Gambar: (Dari kiri) - Nazrin, Anuar, Firdaus, Nadzrul, Aizzat, Khairi, Khai, Aidid.
(Tiada dalam gambar) - Rizwan dan ana.
"Ya Rabb, redhailah ukhuwwah ini, dan jalan da'wah yang kami pilih, pereratkanlah ukhuwwah ini dengan simpulan yang paling kukuh antara hati kami, kepadaMu jualah petunjuk kami harapkan, Tuhan sekelian Alam"
Barakallah fiikum.

Thursday, October 16, 2008

Hakikat Perjuangan Hakiki; Layarnya Kibaran Da'wah

Hakikat Perjuangan Hakiki (HPH) - adalah sebuah coretan, yang menggambarkan 'diari' setiap hamba Allah yang sedang 'merantau' dan mengembara' di bumi ini. Pengisian dalam karya pertama ana ini sebenarnya telah mula bercambah sejak di bangku persekolahan. Pada awalnya, ana mula berjinak dalam penulisan sajak dan puisi, kemudian minat ana beralih kepada penulisan berbentuk hujah dan perbincangan. Sehingga ke hari ini, alhamdulillah, biarpun ana bukan penulis sepenuh masa, namun pengisian karya ini masih lagi diteruskan...

Untuk pengetahuan pembaca semua, Hakikat Perjuangan Hakiki (HPH) merangkumi 2 bahagian. Bahagian pertama - meliputi tema-tema berikut:

  • Tema asas Hakikat Perjuangan Hakiki
  • Sanggupkah Kita; Demi Sahabat?
  • Ukhuwwah; Untuk Apa?

Bahagian kedua HPH pula bakal meliputi tema - tema berikut:

  • Refleksi Cinta Ilahi
  • Menganyam Rindu; Demi CintaNya
  • Untukmu Ibu
  • Hakikat Nurani Sejati

InsyaAllah, semua hasil penulisan ini akan dibukukan dan diterbitkan. Ana berdoa supaya usaha ini diredhai Allah s.w.t. TanpaNya yang memberikan hidayah dan petunjuk, maka tidak akan terbukalah hati yang gelap kelam ini. Ana juga amat memerlukan support antum semua, kerna kita semua adalah pejuang yang bergerak di medan da'wah yang sama, demi kasihNya Yang Maha Esa, InsyaAllah...

Barakallah fiikum.

Tuesday, September 30, 2008

Berlapang Dada; Ukhuwwah Di Mata Kita?

Ramadhan bermaksud 'PANAS'

Namun kepanasan itu pastinya dari tafsiran bahasa. Panasnya juga pastinya 'hot', bukan dengan tayangan2 pencangkir dosa2 mata dan telinga, tapi dengan ibadah dan taqarrub towards Him.

Dihujung Ramadhan ini, memang satu penantian yang mendebarkan...iaitu menunggu tibanya saudara2 baru kita ke bumi Russia ini ( adik2 1st maksudnya ). Debaran ini entah mengapa terasa begitu hebat tusukannya, sehingga menutup debaran kita pada Syawal yang menjelang.

Subhanallah, itulah nikmat kayanya ukhuwwah, biarpun masih belum lagi bertemu saudara2 baru itu, namun hati ini seperti sudah terikat kukuh. 27hb September(tak silap ana), sangkaan ana bahawa mereka akan datang awal dan sempat berbuka bersama tidak berapa tepat. Mereka hanya tiba dalam jam 9 malam. Malam itu angin musim luruh agak mendinginkan...

Ana setelah selesai terawikh dan tazkirah, mendengar pengumuman ketibaan mereka, seperti ketibaan 'putera puteri kayangan'. Ana hanya menunggu mereka di floor ana saja, sebab ramai sangat menunggu di luar. Di floor ana bakal ada ramai juga 1st year, ana nak tahu mereka lebih dekat. Ana sudah lama mengatur langkah da'wah fardhiah, dan disaat itulah ana terus memulakan langkah itu........

Dari wajah2 mereka, memang kurang keceriaannya(mungkin mereka terlalu penat). Inilah permulaan ukhuwwah yang suci, apabila kita mula berkenalan, bersalaman, dan bertegur. Ana berharap, akan ada mereka yang memahami akan dalamnya erti da'wah dan tarbiah itu. InsyaAllah. Di floor ana, salam perkenalan ana hulurkan kepada Aizzat, Firdaus, Khairi dan Anuar. Yang lain2 ana masih belum berkesempatan nak berjumpa, malah ada yang tinggal sementara di hostel lain kerana ada floor yang sedang di'repair'.

Apa2pun, ana bersyukur, apabila kita dipertemukan. InsyaAllah, ukhuwwah ini fisabilillah, merekalah adik2 ana yang ana sayangi. Da'wah ana ini masih perlu lagi diteruskan, malah baru saja bermula... 'Berlapang dada'lah kita dalam permulaan ukhuwwah, sehingga ke puncak keindahannya, apabila kita mengutamakan mereka yang lain lebih daripada diri kita sendiri...

'Ya Allah, aku mohon kekuatan dan kecekalan daripadaMu! Pereratkanlah jalinan yang terbina ini, kekalkanlah ia walaupun sesudah kami pergi..'

Wednesday, September 10, 2008

Cahaya Itu Terang, lagi Benderang!

Agak begitu lama ana tidak menulis. mungkin terlalu 'shock' dengan lifetime 3rd year di sini.. maklumlah, tahun terakhir pengajian pre-clinical years..memang tersangat mencabar.. itulah sebenarnya yang merisaukan, apabila dunia dikejar dan akhirat yang masih terkapai2 memanggil..


Permulaan hidup baru ana bagaikan baru sahaja bermula..inilah kali pertama ana hadir ke usrah Abg. Fadhli, kerana sebelum ini ana hanya menyertai usrah diluar hostel. Semua ini bagaikan petunjuk dariNya. Dialah yang mengatur setiap pertemuan dan menentukan ajal pengakhiran. Ana memang sudah merasai bahang da'wah fardhiah yang dibawa abg Fadhli kepada ana. Apatah lagi time abg Fadhli menyapa ana di masjid, malah dia menawarkan diri untuk membantu ana mengangkat barang2 waktu ana pindah masuk semula ke hostel nanti. Tapi ana menolak, ana tahu tawaran itu murni, tapi biarlah ana sendiri yang memilih jalan. Memang telah ana harapkan untuk turut serta dalam usrah Abg. Fadhli..tapi sebenarnya ana menunggu pelawaan abg Fadhli.


Beberapa hari lagi tinggal untuk ana pulang ke Malaysia, semester sudah berakhir. Masa yang tinggal ini ana tetap menanti 'jemputan' itu... Allah itu Maha Bijaksana, ana terdengar perbualan abg. Fadhli dengan seorang lagi mas'ul pasal daurah ketika cuti summer nanti. Dari situlah ana mula mengambil peluang, dan ana terus disapa oleh abg Fadhli lalu diajaknya sekali ke daurah. Ana hanya berkata 'insyaAllah', dalam hati ana "Ya Rabb! setelah Engkau menunjukkan aku jalan yang benar, janganlah Engkau pesongkan hati ini..." Cahaya da'wah itu terang, malah lagi benderang..



Thursday, August 21, 2008

Antara Tabah dan Taat; Bukan PilihanNya Untuk Diriku

GEMBIRA sungguh rasa hati ini setelah 3 hari 2 malam berdaurah di Serdang, Selangor (kurang pasti nama tempatnya). Biarpun secara sederhana, tapi manfaatnya amat besar bagi diri ana.
Cuti summer kali ini memang agak lain sedikit berbanding cuti summer sebelum ini, sebab ana lebih banyak berazam untuk fokus pada kerja dakwah dan tarbiah. Tapi, antum semua pun tahu kan..semakin hati ini ingin dekat kepadaNya, semakin kuat pula ujian yang menimpa..selepas daurah, memang ana berazam ke mukhayyam(camping) di Sg. Congkak..tapi Allah itu Maha Berkuasa.
Beberapa hari sebelum ana bertolak, tiba2 muncul dalam naluri hati ini rasa kasihan untuk meninggalkan ibu yang ana kasihi. Ibu ana kerap diserang lelah dan semput, namun riak wajahnya seperti dia tidak mahu berkongsi keperitan itu bersama yang lain..namun ana sebagai anak, ana mengetahui, walaupun tidak sepenuhnya. Bila ana menyatakan hasrat untuk ke mukhayyam, dia membenarkannya (tapi ana tahu dia keberatan untuk melalui hidupnya tanpa ana biarpun hanya 5 hari).
Sebenarnya, selepas ana pulang semula ke Russia hujung bulan ini, ibu ana akan tinggal keseorangan di rumah, kerana abg2 ana yang lain sudah berkahwin, dan ayah ana pula menetap dan bekerja di Melaka. Jadi, ana pun ingin memanfaatkan sisa cuti yang tinggal ini bersama ibu yang disayangi.
Allah Maha Pengasihani, Dia menguji perasaan ana, sampai ke puncaknya, apabila di pagi hari sebelum ana bertolak, setelah semua kelengkapan telah siap sedia, tiba2 ana terduduk, sebak. Ibu telah pun pergi bekerja di hari itu, tapi ana tidak sempat bersalam dan mencium tangannya kerana ibu keluar awal ketika ana masih tidur...perasaan ini semakin mencengkam, apabila melayang difikiran ana wajah ibu tersayang... Ana redha dengan ketentuan Allah...ana yakin pasti ada hikmah yang besar disebaliknya...ana batalkan hajat ke mukhayyam, kerna ana tahu, bahawa ana masih belum mampu berkorban demi CINTA kepadaNya..

Ya Rabb, berilah diri ini KEKUATAN, TARBIAHlah diri ini, janganlah Engkau menguji diri ini, dengan ujian yang tidak termampu untuk ku tanggung...