Wednesday, March 30, 2011

Perlumbaan Hidup


Boleh saya katakan hidup satu perlumbaan?

Ya, itu jawapan saya. Hidup ini meletakkan kita sebagai manusia yang berlumba. Dari mula hingga ke garisan penamatnya.


Ada yang berlumba nak jadi orang hebat. Disegani masyarakat.
Ada yang berlumba nak jadi orang pandai. Best student. Top scorer.
Ada yang berlumba nak jadi kaya-raya. Kereta dan Banglo. Tidak lupa, bisnes.
Ada yang berlumba nak cari kekasih hati. Tengok orang lain berpunya, kita pun nak juga kan?
Ada yang berlumba nak belajar medic. Struggle habis untuk exam.
Ada yang berlumba nak menang games. Sampai tak tidur malam memikirkannya.
Ada yang berlumba nak jadi cantik. Nampak anggun bergaya.
Ada yang berlumba nak pujian orang. Biarlah Allah yang menentukan keikhlasannya.

Ada yang berlumba nak itu, nak ini. Semuanya tentang perlumbaan.

Begitu ramai para pelumba yang bergerak di atas bumi Allah ini. Masing-masing membawa halatuju mereka. Mereka bergerak menjadi robot yang menuruti segalanya hanya semata untuk mencapai tujuan dan matlamat perlumbaan mereka.

Sampai bila? Tiada kesudahan...

Betul, manusia tidak akan pernah merasa puas. Kalau engkau katakan puas, engkau tipu! Kerana kepuasan itu sendiri tidak kekal selamanya. Maka perlumbaan ini akan berulang dan berulang semula.

Ini perlumbaan yang membawa umat kita jauh menuju kemusnahan. Hanyut dan lemas. Tenggelam timbul dibawa arusnya tapi tidak mati kerana diselamatkan syaitan.

Mengapa perlu kita hidup sedangkan kehidupan kita hanya seperti robot? Itu bukan hidup namanya tapi mati. Kita dah mati!

Bukan pada jasadnya, tapi hati.

Matinya hati menguburkan jiwa kita, yang seharusnya diletakkan pada tindakan yang betul, perlumbaan yang sepatutnya kita tempuhi dengan matlamat yang betul.

Berlumba dalam memberikan peringatan, menyampaikan risalah-risalah Tuhanmu. Jangan kita biarkan hati itu membeku kering yang mati kesudahannya. Basahkanlah hati dengan matlamat yang jelas pada perintah Tuhanmu, pada hakikat engkau diciptakan sebagai manusia untuk manusia juga. Tidak lain, dirimu itu sebenarnya ruh-ruh yang hidup dalam jasad umat ini. Ayuh, bergeraklah.

Tinggalkan perlumbaan lalu. Kita berlumba pada trek yang baru.

Temui cinta Allah. Agama ini Allah beri, untuk manusia mencari kebahagiaan disisiNya.



Tawakkal alallah.


Ahmad Ramdan Zainordin
30 Mac 2011, 718pm
Volgograd, Rusia

Sunday, March 20, 2011

Orang Asing dan Makhluk Asing

Tidak dapat aku lari dari kesedihan. Mengenangkan betapa umat ini susah menjadi orang asing berbanding makhluk asing yang digila-gilakan.

Tidak dapat aku lari sejauh mungkin dari kesedihan ini. Kerana kalau diikutkan perasaan dan emosi, sudah tentu amarah sahaja yang aku anggap menyelesaikan.

Tapi Nabi pesan, la taghdob (jangan marah) [Riwayat Bukhari]

Pada siapa lagi kita hendak lontarkan segala isi hati ini. Segala macam rasa hiba, seksa, sedih yang menggigit-gigit. Mengenangkan kita yang terlalu asing untuk menjadi orang yang asing.

Pada Allah aku lontarkan. Supaya Engkau, Ya Allah berikanlah petunjuk dan seagung hidayahMu kepada mereka yang tidak FAHAM dalam jalan agamaMu! Agar Engkau, Ya Allah pimpinlah mereka yang terasa indah akan perbuatan dan amalan-amalan mereka yang padanya ada kemurkaanMu! Agar Engkau, Ya Allah masukkanlah mereka dalam keselamatan agamaMu ini sepenuh-penuhnya!

Agar mereka kembali pada kebenaran agamaMu yang satu-satunya Engkau redhai.

Aku pelik melihat orang yang suka memetik agama ini dari cabang-cabangnya. Orang yang suka berdebat, berbahas pada sesuatu yang bukan tertumpu pada asasnya agama itu sendiri. Kadang-kala mereka tidak FAHAM, tapi terasa ego untuk diFAHAMkan.

Ya, mereka ingin menjadi makhluk asing - bukan orang asing.

Aku sedih andai orang menggunakan agama itu untuk kepentingan diri mereka semata. Agar supaya mereka terasa tidaklah terlalu huduh dalam beragama, tetapi tidaklah terlalu cantik. Cukup-cukup makan sekadar untuk kepentingan diri mereka.

Tidak mudah menjadi orang asing. Asing itu sendiri meletakkan kita lebih jelas dalam khalayak. Membuatkan kita sendiri perlu lebih berhati-hati kerana yang asing itu sudah tentu diperhatikan selalu.

Sedikit khilaf, maka datanglah golongan yang aku sedihkan ini untuk 'bangkit' demi 'membetulkan' keadaan.

Pada mulanya aku fikirkan asing ini mencabar. Tapi rupanya lebih daripada itu, apabila yang lebih ramai dikeliling ini adalah makhluk asing.

Islam itu mula tersebar dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali kepada asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. [Riwayat Muslim]

Ya Allah, berikanlah kami kekuatan.

Tawakkal alallah.


Ahmad Ramdan Zainordin
20 Mac 2011, 1205am
Volgograd, Rusia