Tuesday, April 19, 2011

Kebasahan Da'wah Pada Keringnya Hati


Seminggu yang lepas, berulang-alik untuk 5 hari ke cycle Psychology.

Saya tahu, dan kalian juga turut mengetahui - psychology ini adalah cabangnya medic. Malah saya pernah suatu ketika merasai sangsi tentang subjek ini. Adakah perlu seorang pelajar medic untuk belajar psychology? Duduk dalam kelas, baca buku-bukunya yang sukar difahami, istilah-istilah yang jauh lari dari seni scientific, malah membekukan lagi otak ini dengan kumulasi jiwanya yang bersifat penuh ke-su-sas-te-ra-an itu!

Tapi...

Akhirnya saya mengubah pemahaman diri. Kasihan pada psychology yang selama ini saya zalimi..huhuhu. Sungguh, psychology ini saya rasakan subjek yang bukan sekadar menjadi cabang dalam ilmu medic semata-mata, malah lebih jauh dari itu. Ia perencah kepada kehidupan. Ia menyebabkan kita berfikir dalam tentang hidup ini, tentang siapa diri kita, ada apa kita pada masyarakat dan banyak lagi...

Hampir setiap pagi di dalam kelas, kami menjawab pelbagai versi personality tests..

Ada yang tergaru-garu kepala, ada yang menggigit-gigit hujung pen, ada yang berkerut dahi, ada juga yang tergelak ketawa, ada juga yang kaku mencari-cari persoalan tentang diri.

Adakah kamu ini seorang yang membuat keputusan tanpa menyertakan orang lain?
Adakah kamu ini seorang yang suka berkongsi masalah diri?
Adakah kamu ini seorang yang suka mendapat pujian dan penghargaan orang?
Adakah kamu ini seorang yang percaya pada ketentuan dan nasib?
Adakah kamu ini seorang yang mudah mengubah pendirian?
Adakah kamu ini seorang yang yakin dengan setiap keputusan?

.....

Setiap orang yang pernah menjawab soalan personaliti ini akan pasti meletakkan sesuatu yang membolehkan mereka membuat keputusan. Sesuatu itu adalah neraca.

Neraca yang menimbang setiap keputusan mereka.

Mungkin neraca kita ialah kawan-kawan serumah kita. Mungkin juga bila diajukan soalan tentang perkongsian masalah diri dan kita lantas terbayangkan orang yang terdekat seperti keluarga. Bila ditanya tentang keyakinan pada setiap keputusan, maka kita akan terbayangkan keputusan-keputusan yang pernah kita ambil sebelum ini. Itulah neraca kalian, yang membolehkan kalian mencari jawapan.

NERACA DAKWAH

Sedar atau tidak, semudah ujian personaliti ini sebenarnya memberikan impak yang amat besar terhadap dakwah kita, bagi para du'at, iaitu bila mereka meletakkan neraca dakwah dalam pertimbangan mereka.

Mereka mempunyai sumber penting, iaitu mad'u. Mereka akhirnya akan dapat menilai sejauh mana prestasi pembinaaan hubungan dan ukhuwwah dirinya dengan mad'u yang dibawa. Lapuk berhabuk dakwah fardhiah yang akhirnya baru mereka sedari. Mereka akan termenung sejenak, memikirkan dengan mendalam sejauh mana amal jama'ie yang mereka fahami itu dipraktikkan dalam medan amal dan keputusan mereka pada gerak kerja. Mereka akan duduk memahami, sejauh mana kehadiran mereka di atas toriqud dakwah ini meletakkan keikhlasan sebagai keutamaan, atau hanya bermain pada bulatan titik yang sama. Tidak kehadapan, tidak kebelakang. Orang kata - syok sendiri.

Saya balik dari kelas, penuh tanda tanya dalam diri. Rupanya beruntung sungguh saya dapat jawab pelbagai soalan yang saya rasakan begitu berupaya membuatkan kita menilai dan muhasabah pada diri kita terutamanya.

Meletakkan fokus dakwah itu pada landasan yang betul dan sepatutnya. Kerna niat itu usah dibiarkan usang dan rapuh, malah memperbaharui niat adalah tuntutan untuk manusia yang sering alpa, apatah lagi lupa ini.


BASAHNYA DAKWAH, KERINGNYA HATI

Itu tajuk penulisan ini. Saya bawa anda belayar pada muqaddimah yang membolehkan kita lebih memahami.

Basahnya dakwah yang kita bawa, maka sangat perlu untuk kita kembali merujuk hati sendiri. Memang tidak mustahil untuk membasahkan dakwah dari hati da'ie yang kering kontang. Tapi itu menjadi dakwah yang songsang! Kita hanya akan rasa syok sendiri, malah jauh lari daripada keaslian dakwah dan fitrahnya.

Fitrahnya, diluar kita ditarbiyyah, dan kita juga mentarbiyyah diri kita sendiri.

Ini tarbiyyah dzatiyah (TDZ). Iaitu tarbiyyah kendiri. Ini bekalan penting untuk setiap da'ie. Menampung bebanan dakwah yang ada ketikanya begitu hebat sehingga menggugat kekuatan, maka itu gunanya TDZ untuk memacu dan mengokohkan situasi hati yang lesu, disaluti futur dan tidak berdaya.

Dakwah ini bermula dengan seorang. Masakan perlu untuk kita mengomel jika sekiranya jatuhnya kita dalam amal dan kerja dakwah ini dek kerana murobbi yang lesu, atau bi'ah yang lenyap, atau ikhwah yang sudah tidak lagi mengambil berat tentang dirimu, atau mad'u-mad'u binaan yang semakin jauh berterbangan ditiup angin. Atau apa-apa lagi yang menjadi alasanmu?

Ada lagi?

Ingat, dakwah ini bermula dengan seorang! Tarbiyyah untuk diri sendiri itu adalah sumber kekuatan yang utama, yang mengekalkan da'ie pada landasan yang sama. Terus mengalir bersama arusnya....

Kepentingannya TDZ ini dalam diri seorang da'ie:

1. Mesti menjaga diri dahulu sebelum menjaga orang lain. Firman Allah swt:

'Wahai orang -orang beriman! Peliharalah DIRIMU dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu...' (66:6)

2. Hisab diakhirat nanti bersifat individual. Firman Allah swt:

'Dan setiap orang dari mereka akan datang kepada Allah SENDIRI-SENDIRI pada hari Qiamat' (19:95)

3. TDZ lebih mampu mengubah.

4. TDZ cara untuk tsabat (teguh) dan istiqamah.

5. TDZ cara untuk dakwah paling kuat.

6. TDZ cara yang betul untuk perbaiki realiti sekarang.


BEREHAT DAN BASAHKAN HATIMU

Ya, kadang-kala atau selalunya kita akan pasti merasa seakan-akan penat. Letih dan bosan kita pada mutabaah amal dan kerja dakwah yang tiada penghujungnya ini. Maka perlunya untuk kita kembali membina ruh yang segar semula. Perlunya untuk kita mengambil masa bermuhasabah, membina kendiri yang ditarbiyyah.

Untuk membina tarbiyyah kendiri, maka antaranya:

1. Muhasabah pada niat dan target kita. Perbaharui niat serta jelaskan tujuan.

2. Mengetahui dimana kepentingan atau prioriti. Mana yang utama, maka diutamakan.

3. Keseimbangan dan kesederhanaan dalam beribadat. Tidak terlalu berlebihan hingga memudahkan kita berputus asa, dan tidaklah terlalu sedikit hingga memudahkan kita lalai dan lupa.

4. Mua'qobah (denda). Apabila kita melakukan kesalahan, maka tidak pantas untuk membiarkannya begitu sahaja. Kerna pasti akan terperangkap dalam kesalahan lain yang akhirnya menyukarkan kita untuk meninggalkannya.


Ahmad Ramdan Zainordin
19 April 2011, 500pm
Volgograd, Rusia

0 Comments: