Saturday, July 30, 2011

Sungguh, Dan Bersungguhlah!

Cuti musim panas dah tiba!

Bro, cuti ni buat apa? Ada plan nak pergi mana-mana ke?

Jawapan 1 : Ermm, cuti kali ni banyak dalam bulan puasa laa..nak rehat-rehat je la kat rumah.

Jawapan 2 : Hohoho! cuti kali ni diriku amat sibuk. Ada praktikal kat hospital laa..

Jawapan 3 : Ermmmm......entah!?

Begitulah hendaknya. Satu soalan dengan variasi jawapan yang sungguh pelbagai.

Itu biasalah. Dalam hidup ini pun kita sebenarnya masih jauh, walaupun dalam mencari neraca pertimbangan hidup, apatahlagi untuk mula menimbangnya!

Saban kali kita mengakui, bahwa jalan ini adalah jalan ku. Jalan ini adalah jalan yang Allah beri untuk aku, dan kader-kaderNya. Jalan inilah jalan yang satu. Jalan juang para anbiya' terdahulu, hingga ke junjungan kalbu Rasulullah s.a.w. Dan atas jalan inilah di hari lalu dan seterusnya, akan menjadi saksi kesyahidan aku, atas jihad dan pengorbanan yang sanggup aku perjuangkan demi dakwah ini.. Dan akhirnya...

Oops!!

Sesudah sampai Malaysia, aku nak berehat boleh!? Dah penat bangat rasanya aku berkorban masa dan jiwa raga bila mana aku kat Rusia dulu. Setiap minggu pergi usrah, daurah itu dan ini, jaulah sana sini. Rehlah lagi..Apa lagi? Semua aku buat... Ini masanya aku berehat. Yeeha!

Bulan puasa pulak tuu..nak tolong mak masak!

Bukan ingin menuding pada kesalahan sesiapa. Tetapi setiap diri kita yang perlu muhasabah semula. Luruskan niat, tetapkan prioriti di mana.

MENGAKU BERIMAN, SEDANGKAN TIDAK...

Sedangkan orang Arab Badwi dahulu pernah mengakui mereka beriman, sedangkan mereka hanyalah golongan Muslim, tetapi bukanlah Mukmin. Kerna disitu, ada bezanya.

"Orang-orang Badwi berkata, "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka): "Kamu belum beriman, tetapi katakanlah "Kami telah tunduk (Islam)", kerana iman belum masuk ke dalam HATImu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun (pahala) amalmu. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang" (49:14)

Belum pasti lagi untuk kita mengakui, bahwa kita ini kader-kader yang sebenarnya sanggup dalam perjuangan, yang menuntun rasa ikhlas hati, yang membuahkan amal kerja daripada ilmu dan keikhlasan, yang sanggup untuk berjihad hingga ke hari Qiyamat.

Dan apatahlagi untuk tadhhiyah (berkorban) dan menelusuri turutan rukun baiah ini...

Kita boleh mengakuinya, tetapi hanya Allah yang tahu dimana kita, dan apa dihati kita.

Kerna itu, seseorang perlulah disumbat dengan kefahaman yang tinggi terhadap segala isi jalan dakwah ini.

Ya, faham itu asasnya. Faham itulah kunci utama pada permulaan ini.

Orang yang tidak faham akan sentiasa dalam keawangan. Mereka seakan pencari sesuatu yang tidak pasti.

Dan akhirnya tidak langsung menyumbang dan membantu dakwah ini, malah hanya merusakkan.

Maka dari sinilah lahirnya semangat dan gerak kerja yang berlopak sopak. Tatkala senang kita lupa, perjuangan ini jadi macam biskut - sekejap ada, sekejap tiada.

KITA YANG MUDAH LUPA DENGAN NIKMAT...

Katakanlah, "Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuwatir kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal kamu yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya". Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang fasik. (9:24)

Hanya mereka yang bersungguh atas kefahaman dan matlamat yang jelas, maka dia akan tetap bersungguh.

Jalan dakwah ini tidak langsung memerlukan mereka yang acuh-tak-acuh.

Sekiranya Allah berkehendak, maka akan dipilihNya mereka yang lebih layak untuk menjulang agamaNya ini hingga kemuncaknya.


SYURGA YANG MAHAL, UNTUK DAGANGAN YANG MAHAL

"Dan adapun orang yang takut terhadap kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itulah tempat tinggalnya (an-Naziat:40-41).

Fathi Yakan menulis, sesungguhnya kemuliaan perjuangan Islam tidak berhak dimiliki oleh mereka yang hanya fasih berbicara. Tetapi sesungguhnya kemuliaan itu hanya berhak dimiliki oleh mereka yang hidup dan matinya untuk Islam serta tidak terlena oleh harta benda dan yang lain dari ingat kepada Allah dan jihad fisabilillah.

Firman Allah dalam sura at-Taubah:111;

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan (memberi) syurga kepada mereka.....

Wahai ikhwan, sesungguhnya jalan menuju Allah itu sangat mahal harganya.Tiada siapa yang mampu memperoleh, kecuali yang mampu membayarnya.

Sabda Rasulullah s.a.w, dalam sebuah hadith riyawat Tirmidzi dan Hakim;

"Barangsiapa yang takut terhadap serangan musuh di malam hari, maka dia akan sanggup berjalan semalam suntuk. Dan barangsiapa berjalan semalam suntuk, maka sampailah dia pada tujuannya. Ingatlah, sesungguhnya dagangan Allah itu sangat mahal. Ingatlah, sesungguhnya dagangan Allah itu adalah syurga"

Demikianlah jalan menuju syurga.

Jalan itu adalah sebuah perjuangan berkesinambungan, jihad tanpa henti dan obsesi untuk meraih kesyahidan.

Jadilah kita orang yang bersungguh.

"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, sungguh akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebajikan (al-Ankabut:69)


Ramadhan Kareem.


Ahmad Ramdan Zainordin
31 Julai 2011, 12:26pm
Volgograd, Rusia.

Sunday, July 24, 2011

Cinta Dakwah Ini...


Minggu lalu, terlalu banyak perkara yang tidak sempat saya laksanakan. Terasa masa memenggal dengan begitu pantas.

Apatah lagi, dikala nikmat sihat yang Allah taala pinjamkan ini diambil sementara. Allah, setiap kesakitan itu adalah cerminan kepada sebuah kematian. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita, semoga kita sentiasa redha dengan setiap ujian yang Allah berikan.

Teringat saya sepotong hadith daripada Anas Bin Malik r.a, diriwayatkan Tirmidzi dengan sanad hasan oleh al-Albani. Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu diberikan dugaan. Oleh itu, barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpanya, maka dia beroleh keredhaan Allah. Dan barangsiapa yang tidak, maka bersamanya kemurkaan Allah.

Astaghfirullah. Bila sakit muka pun masam, bad mood, mengeluh itu, merungut ini. Tidak sedikit pun rasa kita hendak bersyukur atas nikmat sihat yang ada sebelum ini.

Alhamdulillah, Allah kurniaan kesakitan kepada diri saya. Menetap di hospital hampir seminggu, jauh daripada isteri dan ikhwah-ikhwah lain yang sedang bersiap pulang ke tanah air.

Benarlah, sakit itu kafarah atas dosa-dosa yang lalu. Berada pada setiap kesakitan itu sungguh meninsafkan. Terbayang bahangnya neraka Allah yang menyala-nyala menghanguskan setiap yang ditelannya.

Astaghfirullah, ya Allah.



Berbalik semula kepada cerita minggu lepas. Saya masih tidak berkesempatan mengucapkan tahniah pada ikhwah akhowat yang bernikah, dan bakal bernikah dalam masa terdekat ini.

Saya dan zaujah bersama berkongsi rasa syukur tidak terhingga kami atas kurniaan petunjuk dan nikmat Allah kepada kalian, untuk menyelusuri alam baru ini, alam baitul muslim.

Kepada ikhwah yang tersayang, baitul muslim ini tidak lain, hanyalah kerna niat kita diletakkan untuk Allah dan jalan dakwah ini.

Dalam pada kita memposisikan dakwah dalam rumah tangga kita, jangan kalian terlupa terhadap tanggungjawab kita sebagai suami yang jauh lebih mencabar, lebih memerlukan kekuatan yang luar biasa berbanding kita dengan mad'u-mad'u sebelum ini.

Kuncinya adalah niat. Padanya perlu ada kesabaran, kematangan, lemah lembut, toleransi dan tolak ansur.

Kiranya kalian orang-orang yang pakar sudah dalam soal menyentuh hati ini, ingatlah, dalam rumah tangga ini perlukan sesuatu yang lebih daripada itu. Kalau sebelum ini kita disibukkan dengan skill-skill dalam berdakwah, maka perlunya kita lebih mengkaji dan mendalami skill-skill untuk mengangkat rumah tangga kita tinggi disisi keredhaan Allah ta'ala pula.

Jangan dibiarkan rumah tangga itu kering, walau padanya sentiasa basah dengan arus dakwah. Pada rumah tangga perlu dititipkan cinta. Dan cinta seorang suami adalah pada dirinya yang memimpin isteri.

'Lelaki adalah pemimpin untuk perempuan-perempuan...' (an-Nisa':34)

Jalan hidup baitul muslim ini adalah perjalanan yang penuh ujian. Padanya sentiasa datang ujian Allah, meskipun dalam bentuk kegembiraan dan kesenangan, mahupun kesedihan dan kesukaran.

Semoga Allah kurniakan kita sebuah keluarga yang penuh bersama keredhaanNya. Sebuah keluarga yang SAMARA (iaitu sakinah, mawaddah wa rahmah).

Sentiasalah memohon kepada Allah, agar rumah tangga kita sentiasa bersama petunjuk dan hidayah Allah, jauh dari kehancuran dan bisikan syaitan. Jadikan diri kita, isteri kita, dan anak-anak kita kelak sebagai penyejuk mata yang memandang. Insha Allah.

Baarakallahu lakuma wa baaraka 'alaikuma
wa jama'a bainakuma fee kher



Jazakumullah antum sekalian yang mendoakan kesihatan saya. Semoga Allah kurniakan kalian rahmat yang tidak terhingga, yang dengannya sahaja dapat membalas budi kalian. Dan malaikat yang mengaminkan doa-doa untuk kalian seperti mana kalian mengaminkan doa tersebut untuk saya. InshaAllah



Ahmad Ramdan Zainordin
24 Julai 2011, 500pm
Volgograd, Rusia.

Thursday, July 7, 2011

Mengenal Prioriti Di Mana?

Kemampuan dai bukan sekadar terhad untuk mengenal baik dan buruk sahaja. Tapi lebih dari itu untuk mengetahui mengapa amal itu membawa kebaikan dan mengapa yang lain mengundang keburukan.

Itu kemampuan mengenal prioriti iaitu menganalisis setiap situasi dimana wajarkah seorang dai itu berada bersamanya atau sebaliknya, meninggalkannya.

Terkadang dai harus ingat, dalam hatinya perlu ada sifat keterasingan dari persekitaran yang membutuhkan kerusakan dan mencemarkan akhlaq. Apalagi andai kerusakan itu terus menular, memburukkan pandangan orang lain terhadap dai itu sendiri, seorang penggerak aktivis dakwah.

Itu tamayyuz, iaitu berbezanya dai itu berbanding persekitarannya. Andai yang lain hitam, dialah yang putih. Andai yang lain tidur, dialah yang jaga. Andai yang lain lupa, dialah yang ingat. Andai yang lain jauh, dialah yang dekat.

Prioriti kita adalah untuk perbezaan ini. Dimana seorang dai itu harus meletakkan neraca pertimbangannya dalam setiap keputusan yang sukar mahupun mudah.

USRAH DAN DILUARNYA

Seorang ikhwah ada kalanya tidak menyedari, bahwa dirinya terasa syahdunya iman yang menggapai langit ketika di dalam liqo' bersama ikhwahnya yang lain. Terasa high sungguh. Namun pada keluarnya, seakan dia berada pula dalam dunia yang nyata cukup berbeza!

Kalau hatinya tetap dalam erti kata uzlah, maka itu tiada masalah. Namun yang meremukkan dakwah itu hanya pabila seorang dai itu kembali menggenggam jahiliyyah tegar. Yang mana dia katakan tidak padanya, tapi kemudian di suatu ketika dia katakan ya pula.

Masakan tamayyuz dirinya hanya sementara?

Memang ada ketikanya kita terlupa dek kerana tarikan yang cukup dahsyat di luar sekitar sana yang memang membuatkan dai itu goyah. Namun tidak ada yang lain, di luar sana itulah medan amal kerja kita. Untuk kuat, perlukan niat yang betul pada awalnya, perlu bergerak seiring peningkatan diri kita untuk dekat kepada Allah. Maka jalan yang dilalui hanyalah satu, untuk Allah. Nescaya tidak akan tersesat andai dakwah itu asasnya Robbani.


KITA PEMBONGKAR JAHILIYYAH

Ya, kerana itu peranan kita juga. Tugas penting dakwah ini adalah membongkar nilai-nilai jahiliyyah ini, menerangkan penyimpangannya dan mengungkapkan dampak-dampak negatifnya bagi masyarakat jika nilai-nilai itu ditegakkan.

Ini prioriti kita. Maka dimana peranan ini terbang melayang andai dai itu yang meresapi dirinya dengan jahiliyyah?

Ini kerana satu masalahnya - tidak mengenal dimana prioriti kita.

Bukan cara kita untuk hanya berhangat-hangat dalam kata-kata. Sampai panas dan basah habis orang disekeliling mendengarnya. Tapi kita utamakan lebih dari itu, iaitu amalnya dimana?


Ahmad Ramdan Zainordin
8 Julai 2011, 853pm
Volgograd, Russia