Saturday, March 27, 2010

Hijrah Sebuah Cinta

"Risau. Serba serbi tidak kena. Hati ini bercelaru bila memikirkannya. Sejak kami berkenalan beberapa tahun dahulu, sehingga kami saling mencintai dan kini saya masih keliru, risau. Mengapa dia bertindak sebegitu? Bukankah sebelum ini dia berjanji untuk terus bersama cinta ini? Tapi mengapa dia lari? Hati ini buntu. Cuma apa yang ada dalam fikiran saya, mungkin dia tidak lagi mencintai diri ini. Ya, cinta dia selama ini hanyalah palsu. Sampai hati dia sanggup meninggalkan saya sebegini..."

Coretan hati seseorang yang 'ditinggalkan' kekasihnya. Itu bukanlah kata-kata saya, namun kata-kata yang saya simpulkan untuk membawa pembaca memahami. Sama ada dia seorang wanita yang ditinggalkan teman lelakinya, atau juga seorang lelaki yang ditinggalkan teman wanitanya. Begitu banyak sebab mengapa 'ditinggalkan'. Mungkin ditinggalkan kerana kekasihnya sudah bosan, mungkin juga kerana menemui orang lain yang lebih memahami, yang lebih dekat untuk sentiasa mendampingi. Atau mungkin juga kerana sesuatu yang tidak pasti - iaitu mungkin perasaan yang 'mewajibkan' diri ini untuk meninggalkannya, suatu perasaan yang rumit dan tidak pernah berakhir, dan perasaan inilah yang sentiasa berbisik pada diri sendiri, bahawa:

'Aku perlu meninggalkan dirinya kerna aku ingin mencari sesuatu, iaitu erti cinta yang lebih besar, dan aku akan pulang dari 'jalan pencarian' ini dengan membawa 'kejayaan' yang lebih hebat, lebih istimewa, lebih terutama, untuk cinta kita'

Itulah hijrah sebuah cinta. Ramai yang tahu maksudnya hijrah. Ya, hijrah itu perjalanan, perubahan dan perjuangan. Ketika menyebut tentang hijrah, ramai pula yang teringat akan hijrah Rasulullah s.a.w. Hijrah Baginda bukanlah sekadar melangkah mengukir tapak-tapak diatas padang pasir, namun hijrah itu sendiri amat mendalam maksudnya. Hijrah jiwa dan rohani, hijrah yang membawa Islam sehingga kukuhnya ke hari ini, begitulah juga hijrah yang membawa sebuah cinta agar kelak terbina cinta sejati dan cinta abadi. Itulah analogi, sebuah cinta yang berhijrah, yang meninggalkan kepalsuan dan jahiliyyah.

Siapa yang perlu memulakannya? Kita yang perlu memulakannya. Sama ada kita yang perlu 'meninggalkan' dan terus melangkah berhijrah atau kita yang 'ditinggalkan'. Bagi yang 'ditinggalkan', adakah akan terus duduk tanpa bertindak? Atau mungkin merungut dan 'makan dalam', risau yang tidak pernah padam, buntu dan bercelaru bertambah-tambah? Jangan biarkan perasaan itu menghakis sebuah kepercayaan. Ayuh! marilah kita bersama berhijrah. Walaupun kita 'ditinggalkan' tapi kita tidak pernah ketinggalan!

"Akan aku kejarNya dihadapan, agar antara kita akan berputik harapan dan cinta pada keikhlasan. Tidak lagi perlu diragukan, tiada apa perlu dirisaukan..Dia pemilik hati ini, padaNya tempat aku mencari jalan dan kehidupan..Ya Allah, kuatkan.."


Akhirnya, kita mengetahui apakah itu jalan hijrah. Dalam cinta ada jalan kisahnya, dan jalan yang terbaik adalah hijrah. Namun, hijrah itu bukanlah mudah seperti yang disangka. Sedangkan untuk kita memulakan langkah pertama, derita dan sengsaranya itu tidak terkira. Malah walaupun sudah melangkah, langkahan seterusnya belum tentu kita lepasi. Mungkin jatuh tersungkur? Rebah menyembah dan akhirnya akur semula pada tuntutan dan bisikan hembusan nafsu dan syaitan.

Hanya buat mereka yang tidak ragu pada cintanya Allah, merekalah golongan yang kuat dan teguh ber'istiqomah'. Mereka tetap melangkah, tidak sesekali pandangan itu beralih arah. Jiwa mereka hanya ada Allah dan hanya Dia yang menemani jalan hijrahnya. Hijrah itu jihad dan inilah jalan cinta yang sukar.

Seperti juga hijrah dan jihad Rasulullah s.a.w, jihad dan hijrah sebuah cinta ini juga tidak lari daripada duka dan hibanya. Namun, tidakkah kita mempelajari sejarah, bahawa hijrah yang sukar dan pedih itu, akhirnya ketenangan dan gembira itu penyudahnya. Derita kepayahan itu akhirnya Allah balas dengan kejayaan yang lebih berganda tanpa diduga. Ini semua akan kita miliki dengan teguhnya pendirian bahawa Allah itu sentiasa ada bersama kita.

Tiada lagi kerisauan. Hentikan setiap keraguan. Andai kita 'ditinggalkan', janganlah kita lemah dan memutuskan harapan. Tapi bangkitlah mengejar ke hadapan. Aturkan langkah-langkah ini dan sisipkan cinta itu sebagai bekalan.


Mungkin boleh saya katakan, bahawa kita 'ditinggalkan' kerana kita disayangi, dan kerana Allah lebih menyayangi mereka yang berusaha menghapuskan kebatilan dalam diri. Tinggalkanlah kepalsuan dan jahiliyyah cinta, dan teguhlah membatasi diri dengan hijab dari hati dan nurani yang suci. Kita bersihkan diri ini, kita sucikan hati ini, kita bersama memikul beban sepanjang jalan hijrah ini, sehingga kita sampai pada pertemuan sebuah cinta yang hakiki dan abadi. Itulah cinta antara kita. Iaitu cinta yang pernah suatu ketika 'ditinggalkan' dan 'meninggalkan'. Dan di pengakhirannya, cinta itu kita pertemukan. Pertemuan cinta yang begitu indah, sentiasa dipayungi rahmat dan kasih Tuhan.

Hijrah itu sebatang jalan. Sukar dan payahnya bergantung sejauh mana kita sanggup melaksanakan syari'at Illah. Selagi kita tiada cinta padaNya, masakan pula akan terlaksana syari'atNya? Jika syari'atNya kita tinggalkan, masakan pula ingin kita berhijrah ke arahNya? Dan selagi hijrah itu tiada, jauhkah kita dari maksiat dan dosa?

Hijrah sebuah cinta, hijrah paling manis buat semua. Semoga hidayah Allah menyuluhi jalan ini selamanya.




7 Comments:

Anonymous said...

hijrah...insyaAllah =)
jzkk for sharing..

Hussin said...

Penulisan terbaik. Jazakallah!

Anonymous said...

insyaAllah.. akn b'hijrah :)

Ahmad said...

InsyaAllah. Semoga teguh dan istiqomah.

mawaddah iman said...

assalamualaikum...salam ukhwah lillah mohon share ye..syukran..

mawaddah iman said...

mohon share...

Ahmad said...

wsalam.bole.silakan. moga bermanfaat.