Friday, May 28, 2010

Istiqomah Hati

عن أبي عمرو، وقيل: أبي عمرة، سفيان بن عبد الله الثقفي رضي الله عنه قال : قلت: يا رسول الله، قل لي في الإسلام قولا لا أسأل عنه أحدا غيرك، قال: قل آمنت بالله ثم استقم – رواه مسلم

Daripada Abu 'Amr, menurut satu pendapat Abu 'Amrah, Sufyan Bin 'Abdullah al-Thaqafi r.a berkata: "Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Katakanlah satu perkataan kepadaku tentang Islam yang aku tidak perlu menanyakannya kepada orang lain" Sabda Rasulullah s.a.w:
"Ucapkanlah 'Aku Beriman dengan Allah' kemudian berIstiqomahlah kamu"
[Muslim]

Hadith Rasulullah s.a.w ini adalah diambil daripada Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan barkata:
"Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqomah) akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) serta janganlah kamu sedih hati, dan bergembiralah kamu dengan Syurga yang telah dijanjikan kepadamu"
[al-Fussilat:30]

Apa lagi ayat Allah tentang istiqomah? Ini dia...

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka istiqomah, tidak ada rasa khuatir pada mereka dan mereka tidak pula bersedih hati"
[al-Ahqaf:13]

ISTIQOMAH ini tidak mudah. Istiqomah itu satu tingkat tertinggi dalam menentukan makrifah, keadaan dan kejernihan hati. Sesungguhnya manusia tidak akan sampai kepada tingkatan istiqomah yang sebenarnya, bahkan pasti melalui proses ketidak-sempurnaan. Allah berfirman:

"Maka hendaklah kamu tetap teguh beristiqomah di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaan Allah) serta pohonlah kepadaNya supaya mengampuni (dosa-dosa yang telah lalu)"
[Fussilat:6]

Istiqomah hati itu adalah asas utama. Apabila hati telah istiqomah di atas makrifat kepada Allah, takut, mengagungkan, menghargai, mencintai, menghendaki, berharap, memohon, tawakkal hanya kepadaNya, dan berpaling daripada selainNya, maka seluruh anggota akan taat kepadaNya. Mengapa? Ini kerana hati itu adalah raja kepada anggota badan, dan anggota yang lain hanyalah seperti parajurit dan rakyat yang mentaati seorang raja.

Tanpa istiqomah, hati itu kosong. Diisi pula tarikan-tarikan nafsu, iaitu kawannya syaitan. Lalu kita lemah, jatuh, futur, terbang tanpa arah dan tujuan. Tanpa hidayah dari Allah, kita akan terus hilang menyepi disebalik pekatnya jahiliiyah dalam diri.

Bangkit! Tiada masa untuk kita bermanja. Tiada masa untuk kita duduk di ribaan syaitan dan nafsu yang didodoinya!

Istiqomah kita demi kerana Allah. Mengapa perlu kita mengakui bahwa Allah itu tuhan kita sedangkan kita sedikit pun tidak istiqomah mengharap redhaNya?

Mohonlah keampunan, teguhlah bermujahadah dan tetaplah beristiqomah.

فاستقم كما أمرت
"Oleh itu hendaklah kamu (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh (istiqomah) di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu"
[Hud:112]

0 Comments: