Monday, November 29, 2010

Putus Asa Bukan Jalanku!

Selalu aku melihat ke langit, ternampak matahari. Rupanya matahari yang aku lihat selalu, itulah sembah sujud firaun suatu ketika dahulu...

Oh, begitu setia engkau matahari!

Itulah sunnatullah. Tertib dan putaran alam ini tidak pernah melanggari ketentuanNya. Andai alam ini boleh bertutur kata, maka merekalah saksi utama sejarah segenap manusia!

Jika Allah mengawal alam ini dengan tertibnya, begitu jua Dia yang mengawal hati-hati manusia.

Cuma bezanya manusia itu pilihan Allah yang terbaik. The best creation ever. Manusia sentiasa diberikan jalan untuk memilih. Dan Allah turunkan petunjuk dan pedomanNya untuk manusia memilih jalan yang diredhaiNya.

Maka tidak mustahil juga manusia itu lari jauh dari kebenaran. Kerana Allah yang mengawal hati-hati manusia itu bukanlah bermaksud semata-mata mengawal ke arah kebaikan, tetapi Allah juga berhak menyesatkan sesiapa yang Dia mahu.

"Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak seorang pun yang dapat memberikan petunjuk baginya."

[Al-Quran 13:33]

Maka terpikul satu amanah diri yang besar bagi seorang mukmin, untuk dia sentiasa tsabat (teguh) dan istiqomah pada jalan yang benar, jalan yang dicurahi rahmat dan petunjuk Allah.

Hidup ini tidak pernah lari dari ujian. Boleh disapa mehnah itu dimerata jiwa kita, dan fitnah itu bukan lagi asing untuk kita perolok-olokkan.

Itu sunnatullah.

Namun bila kita berjalan diatas jalan ini, bukan bermaksud jalan untuk keseronokan dan kebanggaan kerana kita membawa hati-hati bagai seorang artis yang teruja dengan peminat-peminatnya. Bukanlah atas dasar itu kita membina ukhuwwah dan menyemai benih tarbiyyah.

Tapi kalau kita tahu tujuan mutlaknya maka tidak lain kita akan mengeluh, gusar, sedih, pudar dan luluh. Sebab bila kita betulkan tujuannya, tidak mustahillah ujian itu datang menjadi rakan karib untuk kita harungi bersama.

Akhirnya kita faham. Ujian Allah itu perlu dalam mendidik sejauh mana kita ingin terus berada dalam jalan redhaNya.

Engkau du'at yang faham. Engkau du'at yang tahu perananmu membina syakhsiyah Islamiyah ad-Da'iyah. Maka langkah-langkah itu engkau selusuri, hingga engkau membina suatu proses yang muntij. Itulah yang membawa kecemerlangan dalam segenap era da'wahmu.

Namun du'at engkau harus faham. Bukan kehebatanmu yang membuka jiwa-jiwa yang pernah lara dan leka. Yang kini menjadi seorang yang unggul dan gah melalui onak-onak api dunia. Segalanya itu dari Allah jualah kehendaknya. Mudah bagiNya mengatur alam, apatah lagi jiwa kerdil manusia!

Jadi usahlah engkau berputus asa!

Bukan selamanya engkau du'at yang tenggelam dalam rasa sedihmu itu akan terus sebegitu. Da'wah yang tidak laku, tiada orang mendengarnya, malah diejek hina, dicerna binasa. Dikatakan engkau sesat membawa mudarat. Itu bukan urusanmu untuk menghukum mereka, kerana bukankah engkau tahu, hidayah itu bukan engkau yang memancarkannya, tapi adalah ia Pemilik tunggal kerajaan alam ini.


Kalau bukan matlamat yang engkau dapati, semestinya syahid itu pengakhirnya nanti.


Cuma bergeraklah, dan teruskanlah bergerak bersama deruan arusnya.


Aku hairan melihat mereka yang berkata:

"Kau degil di dalam cita-cita memelihara idealisme yang tinggi dan pendakian yang sukar. Berhentilah disini. Janganlah engkau bersusah payah dengan hanya menyemai benih di bumi yang kontang"

Aku berkata kepadanya: "Tunggu! Putus asa bukan sikapku!"

"Akan ku tabur benihku di bumi dan buahnya hanya dari Tuhan. Apabila aku telah sampaikan risalah ini dengan bersungguh-sungguh, kemudian aku tidak dapati yang menyahutku, apa dosaku?"

Yusof al-Qaradawi


Friday, November 26, 2010

Jahiliyyah Yang Engkau Gigit!

Jahiliyyah itu dalam erat gigitanmu. Tak rela melepaskan!

Ya, jahiliyyah itu manis rasanya. Enak. Entah dari mana datang sedapnya. Tapi ia tetap enak. Sungguh enak.

Masakan engkau mahu melepaskannya? Sudah pasti yang enak itulah gula dalam liku hidupmu. Yang menaburkan seribu kemanisan. Kerana itulah yang engkau rasai, nikmati, hayati. Dan itulah yang membina pedoman hidupmu, itulah yang memacu pengabdian hatimu.

Wahai hati,

Engkau mengigit jahiliyyah, dalam naluri insaniyah. Demi jahiliyyah, engkau ketepikan Robbaniyah.

Dalam engkau meniti hari-hari baru, engkau mengira kematangan dirimu. Engkau menilai harga hatimu, rupanya peti kosong tidak berisi. Dari mana rasa manismu itu? Entah.

"Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya)? (5:50)


Jahiliyyah itu benar. Ia benar dalam catitan seerah. Ia dibicarakan bukan calang-calang kitab, malah mukjizat keagungan Rasul Allah.

Sedar tidak sedar, bukan mudah menanggalkan karat jahiliyyah itu. Andai ia berkarat dalam hati, maka penantiannya hanyalah sekeping hati yang mati!

Ada benarnya, mengapa tidak kita duduk senang lenang mewarisi sucinya agama Allah, habis disapu segala jahiliyyah dalam penat lelah usaha Rasulullah saw dan pendukung-pendukungnya?

Marhalah kini adalah marhalah Mekah. Itulah marhalah pertama da'wah Islam itu bermula. Dikala asingnya da'wah itu sendiri ditengah-tengah jahiliyyah, tekanan golongan kufur dengan seluruh kekuatannya ke atas mereka, dan sedikitnya bilangan mukmin yang mendapat cahaya haq.

Dan dihari ini, tiada bezanya. Kembalinya kita pada marhalah yang sama. Rodanya berputar semula!

Mungkin sudah ketetapan, manusia itu mudah dinodakan. Seindah mana sebuah pelayaran, air laut yang terpercik, tetap manis dirasakan.

Andai engkau seorang da'ie, jagalah hati jangan ia berkarat lagi. Da'ie yang membawa hati perlu menjadikan dirinya perisai pertama dan utama, malah dialah pelari pecut yang meluru meninggalkan sisa-sisa kabur dan palsu itu.

Maka tidaklah terpilih Muhammad itu menjadi Rasul Allah, melainkan atas nalurinya sendiri untuk mencari pedoman hati yang benar dan hakiki. Dan akhirnya dia pilihan Allah, setelah tertanam benci pada jahiliyyah itu sendiri.

Sinar wahyu tidak boleh dicampuri jahiliyyah! Kerana wahyu itulah peluru yang membunuhnya!

Maka engkau du'at yang membawa segenap peluru wahyu itu, jelaskan pada dirimu dimana sasarannya. Janganlah ia menembusi dirimu sendiri!

Kematangan dalam toriqud da'wah ini, bukanlah dinilai dek usia yang berjalan. Jalan ini jalan terpanjang yang dilalui, sampai ke tua belum pasti itu pengakhirannya. Bagi aku dan mungkin dirimu, kita masih muda melangkah. Terlalu banyak yang perlu kita pelajari, terlalu hebat ujian Allah yang belum kita harungi.

Namun aku yakin, dan engkau turut begitu, bahwa janji Allah tidak pernah dimungkari.

"Sentiasa akan ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka, sehingga datanglah hari Kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka"

(Sahih Muslim)


Tegakkanlah daulah Islam di dalam hatimu, supaya ia tegak di atas bumi kamu
(Imam Hassan Al-Hudhaibhi rahimahullah)









Sunday, November 21, 2010

Cintaku Di Jabal Rahmah

Masa sudah tamat! Huh, bagai hayunan pedang yang menghiris kalbu. Maka diputarkan lagi punatnya. Entah sampai bila. Minggu jatuh ke hari. Dan saat yang terus merintih pergi...

Seperti biasanya, hujung minggu hari bercuti. Memang terasa penatnya.

Ha! Kenapa perlu penat? Sedangkan anda bercuti?

Maka itulah cuti ku. Cuti yang padanya ada rasa penat yang sungguh manis, ada keringat yang akhirnya begitu sejuk dan menyegarkan. Dan berbekalkan tanggungjawab itulah, maka tiada halnya untuk kaki ini melangkah, meredah basahnya suasana dikala hati ini kering mengharapkan curahan tarbiyahNya.

Musim haji berlalu sudah. Bila dilihat klimaks nya ibadah itu, jutaan jemaah berhimpun penuh bagai semut-semut halus di Arafah.

Ramai juga umat Islam ni rupanya...

Saya bertanya pada seorang adik: "Ermm..apa yang awak ingat bila sebut Arafah?"

Jawapannya mudah : "Ermmm...Yassir Arafat!"

Betul jawapannya. Saya terima pendapatnya kerana dia sudah cuba sedaya upaya untuk faham soalan saya.

Arafah itu lebih dekat dengan Rasulullah saw. Kata-kata Baginda dalam khutbahnya yang terakhir, bukanlah sekadar khutbah biasa yang menjadi tunggul usang di Jabal Rahmah. Tapi lebih dari itu, pesanan Rasulullah yang terakhir begitu dalam erti pedomannya untuk kita bawa menyelusuri jalan hidup ini.

Disebalik kata-kata Baginda, rupanya ada cinta disitu. Cinta Baginda pada julangnya kasih Allah, cinta yang terpahat pada wajah satu persatu sahabatnya, hinggalah cinta Rasulullah pada hati-hati yang dibawanya. Dan kitalah antara yang dicintainya.

Cinta Rasulullah bukanlah dicari pada tempat mana Rasulullah berada, tapi selagi kita menyelusuri jalan yang sama Rasulullah lalui, maka disitu juga terpancar cintanya. Cinta Rasulullah bukanlah sekadar cinta biasa, tapi cintanya membawa hati-hati peka untuk dekat pada Pencipta.

Dikala ini tiadanya Rasulullah, namun itu hanya pada jasadnya. Bahkan cinta Allah dan RasulNya itu selamanya terpelihara bagi mereka yang berjalan membawa peranan dan amanah rentetan Baginda, berbekalkan khazanah termulia yang ditinggalkan untuk segenap umatnya.

Maka tidaklah diwafatkan Rasulullah, melainkan Allah ta'ala memberi jaminan mutlak untuk memelihara khazanah ummah ini hingga ke akhirnya. Namun, bukanlah bermaksud umat itu perlu berehat hingga tertidur. Kerja berat ini mestilah umat teruskan, berbekalkan khazanah dan cahaya cintanya itu.

Rupanya jalan ini masih panjang....................................


"Ya Rabb, berilah kami keyakinan hati demi keteguhan menyelusuri jalanMu ini, tanamkanlah pedoman RasulMu dalam hati ini, agar dengannya kami dekat menggapai cintaMu yang hakiki"




Monday, November 8, 2010

Kerana Dirimu Begitu Berharga...

Bila kelihatan daun-daun berguguran, saya merasakan detik yang berlari kian pantas. Mungkin musim sejuk yang akan tiba kurang sebulan ini, akan lebih memilukan jam hati, yang tidak pernah tahu menilai putaran alam yang tiada hentinya. Teratur, tersusun, sistematik sungguh! Tiada manusia yang mampu menciptanya melainkan Pencipta yang sebenar-benarnya.

Mata ini terasa amat berat. Dengan helaian nota-nota surgery di depan mata, ditambah bebannya bila terasa tangan ini ingin sekali menaip sesuatu. Tapi saya masih buntu, nak taip apa?!

Baru selesai liqo' kami untuk minggu ini. Macam-macam input baru disumbat. Seronok rasanya bila duduk sama-sama ikhwah. Mendengar, berkongsi, bersyura, berkelahi...dan duduk ini bukanlah sebenarnya duduk-duduk biasa sambil minum kopi panas! Alhamdullillah. Andai hati ini sentiasa dibawah pilihan dan tetap diletakkan dibawah perhatianMu. Semoga hati-hati ini tetap unggul membasahi bumiMu dengan jerusan tarbiyyah. Hingga bila, hingga ke akhirnya. Biiznillah.


Adik,
Aku bukan membawa obor,
Semata menerangi sebuah kegelapan.
Obor itu lebih bermakna,
untuk kita harungi sebatang jalan,
bersama untuk selamanya.

Adik,
Aku ingin engkau mengerti,
bukan semata untuk menuruti,
bicara kita yang selalu dihembusi,
adalah untuk engkau fahami.

Adik,
aku tidak penat berbicara lagi,
sungguh yang pahit itu dipangkalnya,
kelak yang manis jua mengakhirinya.

Adik,
Harapan ku bukan matlamat.
Tapi aku punya impian,
untuk engkau bangkit bukan melambai,
tapi celik dan terus menggapai.

Adik,
Fahami dengan hatimu,
kita berada atas jalan yang satu,
cuma mengapa engkau masih disitu?


Abang.


Thursday, November 4, 2010

Sibghah Allah

Hari-hari cuti sedang dilalui. Tiada yang lain melainkan untuk diisi dengan seribu macam persepsi, semata-mata demi merangka sebuah pelan dan visi.

Dalam pelan cuti 4 hari ini, macam-macam bermain dalam fikiran. Nafsu kata berehat, tapi arus kuatnya datang dari hembusan angin yang membawa hati untuk bergerak. Dan akhirnya, kita bergerak. Bila lagi!?

Di belek sekali lagi list-to-do. Ada satu perkara yang tertulis - Prepare PE (physical examination) test for Paeds on Monday.

Alhamdulillah. Rasanya sudah hampir 3 tahun ulang teknik PE yang sama. Cuma kali ini ada sedikit kelainan sebab perlu buat PE pada kanak-kanak. Tapi asas dan teknik sebenarnya masih lagi sama. Bila difikirkan semula, rasa risau pun ada. Sebab saya tidak tahu adakah cikgu Paeds saya akan terima teknik PE yang saya biasa gunakan sebelum ini. Pengalaman saya, setiap cikgu lain-lain tekniknya. Wallahualam.

Dalam hidup ini, meletakkan matlamat dan prioriti adalah sesuatu yang sukar. Begitu banyaknya cabang-cabang matlamat, yang akhirnya dipilih menjadi tunggak matlamat dan tujuan utama. Kita silap meletakkan prioriti, kita salah dalam menyusun orientasi. Cabang biarlah kekal cabang, kita cari asasnya dan itulah yang utama!

Bila kita hidup bersandarkan Pencipta, tiada yang lain melainkan Allah itulah asas akarnya yang kukuh. Bila kita mengakui bahawa kita adalah orang Islam, sebenarnya kita sedang menganuti satu-satunya agama yang diredhai Allah. Tapi sandaran amalan dan hidup kita seharian jauh sekali melibatkan matlamat Robbaniyah. Mungkin kita tidak sedari, oleh itu muhasabah satu tindakan susulan yang terbaik.

"Sibghah Allah. Siapa yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan kepadaNya kami menyembah"

al-Baqarah:138

Dan inilah sibghahNya. Sibghah itu celupan, dan tiadalah celupan yang lebih baik berbanding celupan agama Allah. Tiadalah saduran amal kehidupan yang terbaik melainkan saduran Islam. Kembali kita renungkan, ter'celup'kah kita dan amalan-amalan ini dengan celupanNya? Atau kita di'celup' ke dalam celupan yang lain?


Saya harap cikgu Paeds saya akan menilai teknik PE mengikut 'celupan' yang digunapakai oleh semua, dan bukan mengikut 'celupan' dirinya semata-mata. Tawakkal alallah.