Selalu aku melihat ke langit, ternampak matahari. Rupanya matahari yang aku lihat selalu, itulah sembah sujud firaun suatu ketika dahulu...
Oh, begitu setia engkau matahari!
Itulah sunnatullah. Tertib dan putaran alam ini tidak pernah melanggari ketentuanNya. Andai alam ini boleh bertutur kata, maka merekalah saksi utama sejarah segenap manusia!
Jika Allah mengawal alam ini dengan tertibnya, begitu jua Dia yang mengawal hati-hati manusia.
Cuma bezanya manusia itu pilihan Allah yang terbaik. The best creation ever. Manusia sentiasa diberikan jalan untuk memilih. Dan Allah turunkan petunjuk dan pedomanNya untuk manusia memilih jalan yang diredhaiNya.
Maka tidak mustahil juga manusia itu lari jauh dari kebenaran. Kerana Allah yang mengawal hati-hati manusia itu bukanlah bermaksud semata-mata mengawal ke arah kebaikan, tetapi Allah juga berhak menyesatkan sesiapa yang Dia mahu.
"Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak seorang pun yang dapat memberikan petunjuk baginya."[Al-Quran 13:33]
Maka terpikul satu amanah diri yang besar bagi seorang mukmin, untuk dia sentiasa tsabat (teguh) dan istiqomah pada jalan yang benar, jalan yang dicurahi rahmat dan petunjuk Allah.
Hidup ini tidak pernah lari dari ujian. Boleh disapa mehnah itu dimerata jiwa kita, dan fitnah itu bukan lagi asing untuk kita perolok-olokkan.
Itu sunnatullah.
Namun bila kita berjalan diatas jalan ini, bukan bermaksud jalan untuk keseronokan dan kebanggaan kerana kita membawa hati-hati bagai seorang artis yang teruja dengan peminat-peminatnya. Bukanlah atas dasar itu kita membina ukhuwwah dan menyemai benih tarbiyyah.
Tapi kalau kita tahu tujuan mutlaknya maka tidak lain kita akan mengeluh, gusar, sedih, pudar dan luluh. Sebab bila kita betulkan tujuannya, tidak mustahillah ujian itu datang menjadi rakan karib untuk kita harungi bersama.
Akhirnya kita faham. Ujian Allah itu perlu dalam mendidik sejauh mana kita ingin terus berada dalam jalan redhaNya.
Engkau du'at yang faham. Engkau du'at yang tahu perananmu membina syakhsiyah Islamiyah ad-Da'iyah. Maka langkah-langkah itu engkau selusuri, hingga engkau membina suatu proses yang muntij. Itulah yang membawa kecemerlangan dalam segenap era da'wahmu.
Namun du'at engkau harus faham. Bukan kehebatanmu yang membuka jiwa-jiwa yang pernah lara dan leka. Yang kini menjadi seorang yang unggul dan gah melalui onak-onak api dunia. Segalanya itu dari Allah jualah kehendaknya. Mudah bagiNya mengatur alam, apatah lagi jiwa kerdil manusia!
Jadi usahlah engkau berputus asa!
Bukan selamanya engkau du'at yang tenggelam dalam rasa sedihmu itu akan terus sebegitu. Da'wah yang tidak laku, tiada orang mendengarnya, malah diejek hina, dicerna binasa. Dikatakan engkau sesat membawa mudarat. Itu bukan urusanmu untuk menghukum mereka, kerana bukankah engkau tahu, hidayah itu bukan engkau yang memancarkannya, tapi adalah ia Pemilik tunggal kerajaan alam ini.
Kalau bukan matlamat yang engkau dapati, semestinya syahid itu pengakhirnya nanti.
Cuma bergeraklah, dan teruskanlah bergerak bersama deruan arusnya.
Aku hairan melihat mereka yang berkata:
"Kau degil di dalam cita-cita memelihara idealisme yang tinggi dan pendakian yang sukar. Berhentilah disini. Janganlah engkau bersusah payah dengan hanya menyemai benih di bumi yang kontang"
Aku berkata kepadanya: "Tunggu! Putus asa bukan sikapku!"
"Akan ku tabur benihku di bumi dan buahnya hanya dari Tuhan. Apabila aku telah sampaikan risalah ini dengan bersungguh-sungguh, kemudian aku tidak dapati yang menyahutku, apa dosaku?"
Yusof al-Qaradawi
0 Comments:
Post a Comment