Tuesday, May 31, 2011

Cepat-cepat Kahwin!

Belum berkesempatan membedah sepenuhnya buku 'Suami Isteri Yang Di Redhai Allah', biarpun pada kulit bukunya sahaja sudah terlihat betapa isi nya jauh mempesonakan setiap pasangan suami isteri yang membacanya.

Jazakumullah akh Shazwan dan zaujahnya ukhti Aizadiha atas pemberian naskah itu. Sungguh, itu hadiah perkahwinan kami yang amat besar maknanya. InshaAllah.

CEPAT-CEPAT KAHWIN!

Semua orang ingin berkahwin kan?

Semua orang ingin berpasangan, memiliki cahaya mata yang menyejukkan mata memandang. Membina keluarga, keturunan dan zuriat.

Sama jugalah seperti hidup ini yang banyak manusia nak capai, dan perkahwinan itulah salah satu cita-cita terbesar manusia, terutama anak-anak muda.

Tetapi boleh menjadi bahaya, apabila perkahwinan itu sendiri menjadi matlamat hidup seseorang, sedangkan ianya hanyalah alat untuk umat manusia lebih taqorrub kepada Allah ta'ala.

Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud:

" Wahai golongan muda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya (daripada syahwat)."

(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah)

Rasulullah menyatakan disini tentang syabab - iaitu golongan muda. Dalam usia inilah segalanya boleh memuncak kecuali kematangan. Nafsu yang tinggi, semangat mencuba sesuatu yang baru, jiwa yang mudah bergelora dan meronta, semangat yang tinggi, tenaga yang kuat. Tetapi pada hakikatnya, segala perhitungan mereka singkat belaka.

Orang muda yang ditarbiyah dengan seruan yang betul maka akan menjadi singa dalam umat seperti Umar, tetapi jika mereka leka dengan hanyutan nafsu kepada wanita dan lain-lain, maka akan hilangkah segala bisa dan kekuatan mereka.

Sememangnya manusia itu dihiasi padanya 'hubbu shahawat' (cintai syahwat iaitu keinginan). Seperti dalam al-Quran menyebut:

" Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang terbaik" (ali-Imran:14)

Perempuan itu berada dalam senarai teratas, kerana perempuan itu adalah keinginan manusia yang paling utama.

Kita tidak boleh membuang nafsu. Tetapi kita disuruh mendidiknya. Dan Islam sentiasa tampil memberikan pilihan terbaik untuk kita.

Jika kita tidak mampu untuk berkahwin, maka kita hendaklah berpuasa.

Sungguh benar, puasa itu mempunyai fungsi yang cukup kuat untuk melenturkan nafsu. Malah untuk lebih mudah memahami - jika tidak mampu berkahwin, maka jagalah hati, iaitu dengan berpuasa.

Janganlah kita sewenangnya yakin untuk dapat memelihara hati daripada kekotoran, dan begitu selamber melakukan perkara yang hanya menggelojakkan nafsu sedangkan kita tidak mampu meletakkannya pada tempat yang betul.

Berhentilah berkata-kata tentang wanita, jauhilah diri dari amalan yang hanya mensia-siakan, malah mendekatkan kita kepada kerusakan akhlaq yang kritikal.

Rasulullah bersabda :

"Apabila seseorang daripada kamu terpaut (rasa kagum) dengan seorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya, maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan menyetubuhinya kerana itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya" (Riwayat Muslim)

Kerna itu adanya isteri yang sah dapat memelihara daripada larangan Allah. Bagaimana yang tiada isteri lagi?

Maka tuntutan itu lebih berganda untuk mereka menjaga hati.

YANG PATAH, AKAN BERGANTI

Perkahwinan itu bukanlah semudah perancangan semata.

Malah jauh disudut yang lebih bermakna, perkahwinan itu lebih berbentuk ujian dalam kita menjaga aspek kesucian hati dan keikhlasan mengharap redha Allah.

Memiliki sebuah jalan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah itu adalah bermula sejak kita memilih pasangan hidup lagi.

Maka haruslah kita memeliharanya supaya bersama setiap ketentuan itu adanya kerahmatan Ilahi.

Yang patah, akan berganti. Begitu juga Islam, menghalang hati mukmin dari dikotori maksiat, tetapi bersamanya pula cara dan langkah mengatasinya.

Tidaklah dibiarkan umat lemas terkapai-kapai tanpa bimbingan dan alternatif lain dalam aspek yang dilarang, tetapi kita sendiri yang dibawa lemas dek nafsu yang tiada noktahnya.


Ahmad Ramdan Zainordin
31 Mei 2011, 913pm
Volgograd, Rusia.

Saturday, May 21, 2011

Kerna Allah Sayangkan Kita

Begitu hati terasa pilu, seperti sahaja sesaknya nafas di tempat yang tinggi.

Namun pada raut wajahmu tidak ada tafsirannya. Engkau bersesak berhimpit. Mahupun berlapang bergolek. Engkau tetap sama. Hatimu sebegitu jua.

Begitu itu suatu yang amat dikagumi. Benarmu itu kibaran qudwah yang kita laungkan. Kita ini kader yang bergerak, terasa cukup jauh untuk mendekatimu.

Apatah lagi untuk benar-benar berada di tempat mu.

Tiba-tiba sayu dan sedih. Itu mungkin juga reaksi asasi kita pada sebencana mungkin ujian Allah.

Sekadar cebisan dan kata-kata untuk kita semai jauh dilubuk hati.

Sabar itu yang menjadikan kita kuat. Ia ubat terbaik dalam mengharungi sekalian mehnah dan ujian dari Allah.

Maka Allah ingin sekali menguji.

Siapa dalam kalangan hambaNya yang masih mampu tersenyum dan bersabar;

Atau siapa yang bermuram dan melontar amarah pada ujian sebegini.

Lihatlah pada keredhaan Allah.

Segenap yang kita lakukan maka harapkanlah keredhaan Allah.

Mardhotillah itu adalah kunci kepada segenap matlamat.

Maka dalam segenap ujian - kita perlu redha dan sabar.

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu diberikan dugaan. Oleh sebab itu, barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpanya, maka dia beroleh keredhaan Allah. Dan barangsiapa yang tidak, maka padanya kemurkaan Allah

[Daripada Anas Bin Malik, HR at-Tirmidzi, Hasan oleh Al-Albani]

Usah kita melayan kesedihan kita pada ujian dan dugaan ini. Kerna walau sedikit rasa kecewa, itulah rasa tidak redha kita padanya.

Maka setiap kekecewaan itu, bersamanya ada kemurkaan Allah untuk kita.

Astaghfirullah.

Benarlah, kesabaran itu adalah pukulan yang pertama [Muslim]

Ya, sabar itu bukanlah tindakan terakhir dalam setiap perbuatan kita. Tapi ia terletak yang paling di hadapan, yang paling didahulukan.

Ampuni ya Allah. Bimbingi kami ke arah kesabaran itu.


Ahmad Ramdan Zainordin
29 Mei 2011, 8.54pm
Volgograd, Russia.

Wednesday, May 18, 2011

Kerna cinta itu hidup...

"Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya (isterinya) dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku (isteriku)"
HR Ibnu Majah

Kerana cinta itu sungguh suci,
sungguh murni.

Peranan cinta itu cukup besar.
Bukanlah sekadar sefaham kita pada ertinya
untuk memberi dan menerima cinta.
untuk mencintai dan dicintai pula.

Ya, ada ertinya cinta
kalau kita benar-benar tahu memeliharanya.
Kerana redha Allah itu matlamat kita
dalam setiap langkah
dalam setiap cabangan yang diselusuri

Cinta harus tiba
seharusnya tiba bersama redhaNya.

Ah, dari mana harus bermula?!

Bosan.

Terasa cinta meronta dilepaskan
kerana sabar itu jalan yang salah?
kerana itulah tanggapan yang salah.

Ya.

Bukan kerana cinta harus tiada
tapi adanya ia fitrah manusia

Cuma.

Cinta satu kehidupan
ia bermula dengan semaian
ia bercambah menjalari jalan

Cinta perlu disemai
bersama benih keimanan
Iman itu percaya
yakin pada adanya Tuhan.

Dimana hendak letakkan cinta?
andai ia bercambah menjadi hutan syaitan.
kerna cinta itu kehidupan
maka memeliharanya satu kewajiban.

oh,
cambahlah cintaku.
lilitkan hatiku
pada cintaMu.
pada cinta di jalanMu
pada cinta yang benar
disisi Mu.

cinta
bukan pada dua insan
yang bercinta
tapi bersama cinta
sentiasa ada bersama
hati-hati ummat ini
yang perlu kita cintai.

Dakwatuna hubbun, wa bihi naftahul qulub...
Dakwah kita adalah cinta, dengan cinta itulah kita membuka hati manusia...


Ahmad Ramdan Zainordin
19 Mei 2011, 848pm
Volgograd, Rusia.




Sunday, May 8, 2011

Mereka Wanita Terhebat

Bukan mudah untuk aku mengertikan hidup. Jika tanpa kehadiran mereka.

Dan tidak semudah aku menjadi seorang anak dan suami yang menyayangi, untuk dibandingkan dengan mereka yang lebih jauh mencurah kasih hati.

Ya, kasih mereka dari hati. Itulah keaslian cinta dan sayang yang sungguh aku sebagai seorang lelaki, mengagumi.

Begitu besar erti mereka untuk Allah kurniakan dalam hidup ini. Sungguh besar.

Bila aku duduk mengenangkan. Siapakah aku tanpa mereka disisi. Dimanakah aku pada jalan da'wah ini.

Mereka hadir melengkapkan bekalan. Untuk aku bawa bersama menelusuri perjuangan.

Hadirnya mereka pendorong semangat. Pembina himmah pada jiwa yang berterusan.

Yang aku doakan, untuk selamanya hingga ke SyurgaNya.

Sungguh, tiada lagi kata-kata yang termampu untuk aku lontarkan, buat mereka wanita terhebat.

Mereka yang tidak pernah jauh dari sisi. Mereka yang setia menemani jalan ini.



Buat Ibuku, Ibu mertuaku, dan Isteriku yang tersayang.

Uhibbukunna fi'-llaahi. Hafizokumullah.




Ahmad Ramdan Zainordin
8 Mei 2011, 1.04pm
Volgograd, Rusia

Wednesday, May 4, 2011

Fitnah Hanya Menguatkan Barisan

Bukan mudah memikul bebanan da'wah. Sekadar meletihkan urat sendi dan otot-otot yang bergerak sana-sini, tapi hakikatnya yang pasti da'wah itu sendiri merupakan permainan hati.

Perlukan hati yang kuat, tsabat dan ikhlas. Itu bekalan asasi untuk terus melangkah di atas jalan ini.

Ya, siapa lagi tidak celik dengan Syeikh Mustafa Masyur dalam Fiqh ad-Da'wah penulisannya?

Disebut dan diulang-ulang hakikat bebanan yang sama terhadap kader-kader da'wah yang berjuang di atas jalan ini.

Nah, itulah da'wah pada teori belaka. Bahkan kita lantas menghafal segenap ciri dan sifat toriqud da'wah ini, apatah lagi berhujah pada daurah-daurah dan bermacam pengisian seakan-akan kita penulisnya!

Tapi pada praktiknya, kitalah yang pertama menjadi lemah dan sugul di kala bencana bebanan da'wah itu kembali menampari kita.

Itu pada erti kata yang sebenarnya.

Pada teorinya mudah, tapi hakikat keaslian jalan da'wah ini hanya dapat benar-benar dirasai pada ujian yang Allah ta'ala kirimkan kepada setiap kader da'wah yang berjuang.

Fitnah, itulah ujian yang Allah ta'ala selitkan dalam perjuangan panjang ini....

Ada fitnah dalam fitrah. Begitu juga fitnah dalam fitrahnya da'wah ini.

Jalan da'wah tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tetapi merupakan satu jalan yang susah dan panjang. Kerana sesungguhnya antara yang haq dan batil ada pertentangan yang nyata. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang berterusan dan hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang dikehendakiNya...

Syeikh MM

Rasulullah s.a.w bukanlah sekadar ditampari hebat ujian-ujian dari Allah untuk luaran dirinya. Mungkin pandangan berat kita pada kuatnya hati Nabi s.a.w dilemparkan najis oleh Aqabah ketika sujud baginda atau tajamnya duri-duri kayu dari Ummu Jamil seperi laknat binasa dalam surah al-Masad itu...

Bahkan lebih jauh, Rasulullah diuji dengan tamparan fitnah yang terus menusuk ke dalam hatinya.

Terdetik rasa pilu yang teramat.

Fitnah yang kini menjadi gelombang kehidupan, tidak pernah sunyi menemani jalan ini.

Fitnah yang dilemparkan pada ruh-ruh dengan aspirasi menghidupkan ummah, dengan seribu macam tohmahan dan kutukan.


Benarlah, disebalik ia, fitnah itu hanya akan menguatkan barisan. Hanya akan mengukuhkan, mengutuhkan kefahaman kita pada jalan juang ini.

Jesteru dengan ujian fitnah ini, kita yang perlu menguatkan keimanan, meningkatkan taqarrub ilallah, memperbanyak sujud, qiamulail, shaum, tilawah al-Quran dan zikir serta perbanyakkan istighfar dalam menghadapi gelombang permusuhan itu.

Ingatlah ikhwan, kita yang perlu lebih menguatkan keimanan kita, ibadah kita, dan meninggalkan setiap maksiat dan dosa.

Jika tidak, apakah beza kita dengan mereka?

Kalau sama, maka hukum Allah akan berlaku jua, bahawa yang lebih banyak, yang lebih kuat, yang didukung kekuatan besar, akan menjadi pemenang.

"Kalau engkau terasa pelik dan ganjil tentang azab sengsara yang kamu tempuhi itu ketika ke jalan Allah maka percayalah itulah jalanNya. Inilah sistem dan sunnah Allah untuk sekelian hambaNya yang beriman denganNya, percayalah bahawa mereka yang terdahulu pernah dicakar-cakar badan mereka dengan pencakar besi, tetapi keimanan mereka tetap tidak berganjak...."

[Bukhari]


Ahmad Ramdan Zainordin
4 Mei 2011, 8.57pm
Volgograd, Rusia