Monday, August 29, 2011

Eidulfitri; Say NO to Jahiliyyah!



Masa berlalu pergi. Silih berganti Ramadhan meninggalkan kita. Bukan mudah untuk kita menjadi manusia yang mampu menilik ke jendela masa hadapan. Kerna terlalu jauh untuk kita menyapa apa yang bakal ada. Sama ada masih ada lagikah Ramadhan untuk kita. Huuu~

Sungguh sebenarnya, dalam hidup ini sentiasa ada suatu ketika yang mana Allah berikan kita peluang untuk berubah, memperbaik diri. Kita ada bulan semulia Ramadhan. Segala amal dilipatgandakan nilainya. Allah kurniakan kita pula Syawal. Sebagai hari kemenangan, sebagai hari untuk kita menanam azam dan menggilap niat yang dahulu telah kusam dan kabur.

Namun mungkin tidak semua umat manusia ini mampu mengambilnya dan menilai hari-hari ini.

Apatah lagi menjadikan kurniaan Allah ini sebagai turning point untuk kita sentiasa perbaharui matlamat hidup. Menjadikan hidup ini berhalakan Robb satu-satunya.

Cukup terpegun, kadang-kala melihat kegigihan umat Islam di negara minoritinya kita seperti di Rusia ini.

Sehingga khutbah Jumaat itu menjadi sidang mereka membakar semangat-semangat yang lesu. Terasa dari bara mereka jadikannya api yang menyala!

Cukup tersentuh apabila Mufti sendiri mengajak umat manusia beralih dari jahiliyyah dalam kehidupan mereka kepada cahaya Islam yang benar.

Katanya, di Eidulfitri nanti, hadiahkanlah anak-anak kecil kita dengan kegembiraan, dengan hadiah-hadiah yang membawa rasa gembira pada mereka. Kita ingin anak-anak kita tahu, bahawa ini adalah perayaan kita. Hari kita menyambut kemenangan kita. Kita ingin generasi kita tahu, bahwa sambutan Tahun Baru itu bukan budaya agama kita. Bukan sama sekali. Kiranya dahulu kita jahil, sekarang kita keluarlah dari kejahilan ini. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.

Tersingkap bayangan dalam fikiran ini, betapa sukarnya hidup muslim disini. Kiranya ingin mendidik anak mengenal agama perlu dengan kesungguhan yang utuh dan jitu. Keazaman yang tidak pernah luntur. Ya, perkara yang sama perlu kita jadikan cerminan diri. Untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat di tanah air kita sendiri.

Kita yang serba lengkap. Dengan pelbagai persiapan yang semestinya lebih daripada mencukupi. Dengan baju-baju dan juadah yang mana kita nikmati hingga akhirnya kita menjadi bosan padanya.

Alangkah ruginya, kalau kita tidak pernah berada pada erti penderitaan.

Di Syawal yang bakal berkunjung tiba ini, semoga Allah jadikan kita hamba-hamba yang bersyukur.

Ingatlah, letakkan sifat ihsan dalam segenap amal perbuatan kita. Nak bercakap perlukan ihsan, nak makan minum pun perlu ada ihsan, nak berpakaian pun perlu ada ihsan. Apatah lagi nak beramal ibadat untuk taqarrub kepada Allah, maka perlu lagi ihsannya.

Ihsan, apabila kita meletakkan Allah pada segenap tindakan kita. Seakan-akan kita sedang melihatNya. Sekiranya kita tidak melihat Allah, sesungguhnya Allah sedang melihat kita.




Eidulfitri kali ini, menjadikan ia kali ke-6 dan terakhir di perantauan. Semoga Allah pertemukan kita dengan Ramadhan lagi. Insha-Allah.

Salam Eidulfitri daripada saya dan isteri buat mereka yang mengenali dan seluruh muslimin muslimat.


Ahmad Ramdan Zainordin
29 Ogos 2011, 252pm
Volgograd, Russia.




Saturday, August 27, 2011

Dakwah Ini Suci

Dalam dakwah ini, tiada apa yang kita sumbangkan sebenarnya.

Malah tidak pernah kita merasakan yang kita punyai apa-apa kelebihan.

Sebaliknya, kita hanya yakin pada apa yang Allah firmankan:



"Mereka berasa berjasa kepadamu dengan keIslaman mereka. Katakanlah,
"Janganlah kamu merasa berjasa kepadaku dengan keIslamanmu, sebenarnya Allah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan, jika kamu orang yang benar"

Al-Hujurat:17

Allah itu adalah segala-galanya dalam urusan dakwah ini.

Andai kita tiada ihsan dalam hati, maka tiadalah Allah yang akan turut bersama menemani.

Betapa kita mengharapkan agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat ini supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada di dalam hati-hati ini hanyalah rasa kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan mereka.

Namun,

Segalanya kita harus sedari.

Harus kita yakini bahawa hanya Allah mengetahui segala hakikat ini.

Hanya Allah tempat harapan atas segala bantuan dan pertolongan.

"Hanya kepada Engkaulah kami menyembah, dan hanya kepada Engkaulah tempat kami memohon pertolongan"

Al-Fatihah:5

Hanya Allah sahaja yang memimpin kita ke jalan yang betul.

Hanya di tanganNya sahaja segala kunci hati manusia.

Barangsiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya.

Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.

Dialah tempat pergantungan. Sebaik-baik tempat bergantung.

....

Dakwah ini adalah untuk semua.

Kita ingin jelaskan impian dan aspirasi kita kepada seluruh umat manusia.

Kita mahu perjelaskan manhaj kita kepada seluruh mereka.

Kita mahu bentangkan dakwah ini tanpa berselindung atau berlapik.

Dakwah ini lebih cerah secerah sinar mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari.

....

Dakwah ini adalah suci.

Kita tolak segala kepentingan diri, keuntungan duniawi.

Dakwah ini bukanlah atas kerana pangkat dan darjat.

Bukan atas dasar aku disini dan engkau pula disana.

Kita tidak meminta apa-apa balasan.

Apatahlagi pujian, kedudukan dan ganjaran.

Ganjaran bagi segala usaha kita ini hanya terserah kepada Tuhan yang menciptakan.


Ahmad Ramdan Zainordin
27 Ogos 2011, 10.30am
Volgograd, Russia.

Wednesday, August 24, 2011

Our Khalifatullah

Secebis doa yang tidak pernah, dan tidak akan pernah saya lupa dari melafazkannya.


"And those who say, "Our Lord, grant us from among our wives and offspring comfort
to our eyes and make us an example for the righteous"
Furqan:74


Kehidupan ini sungguh adalah sebuah aturan.

Allah mengatur segalanya dengan begitu indah dan sempurna.

Ya Rabb, sungguh Dia amat dekat.

Teramat dekat bersama hamba-hambaNya yang begitu ingin berada disampingNya.

Kesekian kali kita berdoa.

Ingatlah, tiada yang memakbulkan melainkan Allah.

Allah itu Maha Mendengar. Sungguh Dia Maha Mengetahui.


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Semoga Allah mengurniakan rahmat kepada penyejuk mataku.

Rahmat Allah buatmu, Isteriku dan kandungannya, bakal khalifatullah kami.

InshaAllah.

Life is indeed beautiful with the surprises that Allah has planned.



Ahmad Ramdan Zainordin
24 Ogos 2011, 9.57pm
Volgograd,Russia.

Thursday, August 11, 2011

Amal Buah Iman

'Seorang Muslim adalah PELAJAR yang mempelajari agama, PELAKSANA yang mengamalkannya, sekaligus TENTERA yang berjihad. Seorang muslim tidak sempurna keislamannya kecuali memiliki ketiga-tiga kriteria tersebut secara utuh' - IHAB

Kata-kata tidak langsung menggambarkan amal. Kerna semua orang juga boleh berkata-kata.

Orang yang beramal tidak akan pernah sama dengan orang yang hanya tahu berkata-kata.

Malah lebih membinasakan, jangan kita menjadi orang yang berkata-kata, disampingnya bersama tundingan terhadap kesalahan orang lain pula.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.:

'Jika ada seseorang berkata: Orang sekarang ni sudah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka'.

Umat menjadi mundur bersama kemerosotan moral dek kerana kita tidak tahu di mana peranan yang perlu dibawa. Di mana amal yang muntij yang membawa kesan yang nyata.

Boleh sahaja kita hangat dalam berkata-kata, tetapi jangan akhirnya menjadi sama sahaja seperti munafiqun yang lari dari medan jihad mereka.

Ada baiknya kita perbaharui iman dan akhlaq kita.

Menjadi muslim yang bersama lingkungan orang-orang yang beramal soleh.

Inshaallah.



Ahmad Ramdan Zainordin
20 Ogos 2011, 11:08am
Volgograd, Russia.