Monday, August 29, 2011

Eidulfitri; Say NO to Jahiliyyah!



Masa berlalu pergi. Silih berganti Ramadhan meninggalkan kita. Bukan mudah untuk kita menjadi manusia yang mampu menilik ke jendela masa hadapan. Kerna terlalu jauh untuk kita menyapa apa yang bakal ada. Sama ada masih ada lagikah Ramadhan untuk kita. Huuu~

Sungguh sebenarnya, dalam hidup ini sentiasa ada suatu ketika yang mana Allah berikan kita peluang untuk berubah, memperbaik diri. Kita ada bulan semulia Ramadhan. Segala amal dilipatgandakan nilainya. Allah kurniakan kita pula Syawal. Sebagai hari kemenangan, sebagai hari untuk kita menanam azam dan menggilap niat yang dahulu telah kusam dan kabur.

Namun mungkin tidak semua umat manusia ini mampu mengambilnya dan menilai hari-hari ini.

Apatah lagi menjadikan kurniaan Allah ini sebagai turning point untuk kita sentiasa perbaharui matlamat hidup. Menjadikan hidup ini berhalakan Robb satu-satunya.

Cukup terpegun, kadang-kala melihat kegigihan umat Islam di negara minoritinya kita seperti di Rusia ini.

Sehingga khutbah Jumaat itu menjadi sidang mereka membakar semangat-semangat yang lesu. Terasa dari bara mereka jadikannya api yang menyala!

Cukup tersentuh apabila Mufti sendiri mengajak umat manusia beralih dari jahiliyyah dalam kehidupan mereka kepada cahaya Islam yang benar.

Katanya, di Eidulfitri nanti, hadiahkanlah anak-anak kecil kita dengan kegembiraan, dengan hadiah-hadiah yang membawa rasa gembira pada mereka. Kita ingin anak-anak kita tahu, bahawa ini adalah perayaan kita. Hari kita menyambut kemenangan kita. Kita ingin generasi kita tahu, bahwa sambutan Tahun Baru itu bukan budaya agama kita. Bukan sama sekali. Kiranya dahulu kita jahil, sekarang kita keluarlah dari kejahilan ini. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.

Tersingkap bayangan dalam fikiran ini, betapa sukarnya hidup muslim disini. Kiranya ingin mendidik anak mengenal agama perlu dengan kesungguhan yang utuh dan jitu. Keazaman yang tidak pernah luntur. Ya, perkara yang sama perlu kita jadikan cerminan diri. Untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat di tanah air kita sendiri.

Kita yang serba lengkap. Dengan pelbagai persiapan yang semestinya lebih daripada mencukupi. Dengan baju-baju dan juadah yang mana kita nikmati hingga akhirnya kita menjadi bosan padanya.

Alangkah ruginya, kalau kita tidak pernah berada pada erti penderitaan.

Di Syawal yang bakal berkunjung tiba ini, semoga Allah jadikan kita hamba-hamba yang bersyukur.

Ingatlah, letakkan sifat ihsan dalam segenap amal perbuatan kita. Nak bercakap perlukan ihsan, nak makan minum pun perlu ada ihsan, nak berpakaian pun perlu ada ihsan. Apatah lagi nak beramal ibadat untuk taqarrub kepada Allah, maka perlu lagi ihsannya.

Ihsan, apabila kita meletakkan Allah pada segenap tindakan kita. Seakan-akan kita sedang melihatNya. Sekiranya kita tidak melihat Allah, sesungguhnya Allah sedang melihat kita.




Eidulfitri kali ini, menjadikan ia kali ke-6 dan terakhir di perantauan. Semoga Allah pertemukan kita dengan Ramadhan lagi. Insha-Allah.

Salam Eidulfitri daripada saya dan isteri buat mereka yang mengenali dan seluruh muslimin muslimat.


Ahmad Ramdan Zainordin
29 Ogos 2011, 252pm
Volgograd, Russia.




0 Comments: