Saturday, August 27, 2011

Dakwah Ini Suci

Dalam dakwah ini, tiada apa yang kita sumbangkan sebenarnya.

Malah tidak pernah kita merasakan yang kita punyai apa-apa kelebihan.

Sebaliknya, kita hanya yakin pada apa yang Allah firmankan:



"Mereka berasa berjasa kepadamu dengan keIslaman mereka. Katakanlah,
"Janganlah kamu merasa berjasa kepadaku dengan keIslamanmu, sebenarnya Allah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan, jika kamu orang yang benar"

Al-Hujurat:17

Allah itu adalah segala-galanya dalam urusan dakwah ini.

Andai kita tiada ihsan dalam hati, maka tiadalah Allah yang akan turut bersama menemani.

Betapa kita mengharapkan agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat ini supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada di dalam hati-hati ini hanyalah rasa kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan mereka.

Namun,

Segalanya kita harus sedari.

Harus kita yakini bahawa hanya Allah mengetahui segala hakikat ini.

Hanya Allah tempat harapan atas segala bantuan dan pertolongan.

"Hanya kepada Engkaulah kami menyembah, dan hanya kepada Engkaulah tempat kami memohon pertolongan"

Al-Fatihah:5

Hanya Allah sahaja yang memimpin kita ke jalan yang betul.

Hanya di tanganNya sahaja segala kunci hati manusia.

Barangsiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya.

Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.

Dialah tempat pergantungan. Sebaik-baik tempat bergantung.

....

Dakwah ini adalah untuk semua.

Kita ingin jelaskan impian dan aspirasi kita kepada seluruh umat manusia.

Kita mahu perjelaskan manhaj kita kepada seluruh mereka.

Kita mahu bentangkan dakwah ini tanpa berselindung atau berlapik.

Dakwah ini lebih cerah secerah sinar mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari.

....

Dakwah ini adalah suci.

Kita tolak segala kepentingan diri, keuntungan duniawi.

Dakwah ini bukanlah atas kerana pangkat dan darjat.

Bukan atas dasar aku disini dan engkau pula disana.

Kita tidak meminta apa-apa balasan.

Apatahlagi pujian, kedudukan dan ganjaran.

Ganjaran bagi segala usaha kita ini hanya terserah kepada Tuhan yang menciptakan.


Ahmad Ramdan Zainordin
27 Ogos 2011, 10.30am
Volgograd, Russia.

0 Comments: