Sunday, October 23, 2011

Seputik Kata Minda



'Wahai Ikhwan, perlengkapkanlah dirimu dengan tarbiyyah yang sahih dan pengalaman serta ujian yang terperinci. Ujilah para bakal pejuang dengan amal yang kuat dan banyak, yang tidak disukai oleh mereka, yang membebankan mereka dan pisahkanlah mereka dengan hawa nafsu dan kebiasaan mereka agar mereka tahu apa itu hakikat perjuangan di atas jalan ini...'

[As Syahid Imam Hasan Al Banna]



Sesungguhnya, tarbiyyah itu bukanlah segalanya.
Tetapi tanpa tarbiyyah, segala-galanya adalah sia-sia.

Thursday, October 20, 2011

Menanti Awal Dzulhijjah

Selang lapan hari lagi, kita akan memasuki bulan Dzulhijjah. InshaAllah.

Dan dari negara umat Islam di seluruh dunia, kini berbondong-bondong jemaah Haji berlepas ke tanah suci. Musim haji seakan episod penyatuan ummat Islam, tanpa mengira asal bangsa dan keturunan, serta pangkat dan kedudukan.



Kita mungkin sedari bulan Ramadhan sebagai bulan pesta ibadah, namun sewajarnya juga, perlu untuk kita tahu tentang bulan Dzulhijjah dan keutamaan pada 10 hari di awalnya.

Di dalam Al-Quran, surah Al-Fajr ayat 1-2, Allah swt telah bersumpah dengan malam-malam sepuluh terawal dalam bulan ini.


                                                                                                                              Demi fajar

                                                                                                     Demi malam yang sepuluh

Saya ingin memetik sepotong hadith dari Ibnu Abbas r.a, diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah dalam sahihnya, yang bermaksud:

'Tidak ada amal yang lebih di cintai Allah dari hari ini, (yaitu 10 hari bulan Dzulhijjah)'. Mereka bertanya, 'Ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah?'. Baginda menjawab : 'Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun'.

Sebuah hadith daripada Umar r.a, diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah, yang bermaksud:

'Tidak ada hari yang paling agung dan amat di cintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya, daripada 10 hari (Dzulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah pada saat itu tahlil, takbir dan tahmid.'

Hari-hari terawal di bulan Dzulhijjah ini adalah hari-hari yang cukup istimewa. Padanya adalah waktu-waktu emas bagi jemaah Haji dalam proses ibadah mereka.

Sedangkan kita hanya lebih cenderung untuk merayakan Eidul Adha pada 10 Dzulhijjah dan terlepas pandang tentang keutamaan hari-hari sebelumnya, yakni bermula 1 hingga 9 Dzulhijjah.

Dalil yang disertakan disini sudah cukup rajih untuk membuktikan keutamaan hari-hari tersebut.

Kita dianjurkan untuk meningkatkan amal ibadah dan berpuasa pada hari-hari ini.

Dan tiada sangsi lagi, puasa adalah amalan yang paling utama dan dipilih oleh Allah untuk diriNya. Disebutkan dalam hadith Qudsi, yang bermaksud:

'Puasa ini adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya. Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku'

Kemuncak kepada hari-hari di awal bulan Dzulhijjah ini adalah hari Arafah, yakni ke-9 Dzulhijjah.

Sebuah hadith daripada Abu Qatadah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:

'Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharapkan pahala dari Allah akan meleburkan dosa-dosanya setahun sebelum dan sesudahnya'

Berpuasa pada hari Arafah ini dianjurkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji, sedangkan mereka yang sedang mengerjakannya di tegah daripada berpuasa pada hari Arafah. Kenyataan ini berdalilkan hadith daripada Abu Hurairah r.a, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan Ibnu Majah, yang bermaksud:

'Sesungguhnya Nabi s.a.w menegah dari berpuasa pada hari Arafah bagi jemaah haji yang berada di Arafah'


Ayuh kalian, kita kutip peluang keemasan di hari-hari 10 terawal bulan Dzulhijjah ini dengan semaksima mungkin.

Sekiranya kita hanya suka meraikan hari-hari Tahun Baru dan pesta-pesta perayaan yang lain, apa salahnya untuk kita pungut mutiara-mutiara yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya demi sebuah nikmat yang lebih besar dari keseronokan dunia. 

Kembali kepada fitrah. Leburkan jahiliyyah dengan syahadahmu!


Ahmad Ramdan Zainordin
20 October 2011, 3.42pm
Volgograd, Russia.

Thursday, October 13, 2011

Wahyu atau Hawa Nafsu?

'Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah..."
(Sad 38:26)


'Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal (nya)'
(an-Naziat 79:37-39)



'Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggal (nya)'
(an-Naziat 79:40-41)



'Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)'
(an-Najm 53:3-4)


Allah membatasi urusan pada 2 hal sahaja, iaitu wahyu atau syariat, dan kedua adalah hawa nafsu.

Tidak ada yang ketiga.

Jika demikian persoalannya, maka wahyu dan hawa nafsu itu adalah 2 hal yang bertentangan. Apabila sudah jelas suatu kebenaran pada wahyu, maka hawa nafsu adalah kontranya.

Kerana itu, mengikuti hawa nafsu bererti menentang syariat.

'Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya...'
(al-Jatsiyah 45;23)

'Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya...'
(al-Mukminin 23:71)


'Merekalah itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka'
(Muhammad 47:16)

'Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Tuhannya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya?'
(Muhammad 47:14)


Renungkanlah. Setiap tempat dimana Allah menyebut hawa nafsu, maka penyebutan itu adalah untuk mencela hawa nafsu itu dan pengikutnya.

Makna ini di riwayatkan dari Ibnu Abbas, ia berkata;

'Tidaklah Allah menyebut hawa nafsu di dalam kitabNya kecuali mencelanya'

Oleh yang demikian, semua ini sudah jelas bahawa Pembuat syariat itu bertujuan untuk mengeluarkan atau membebaskan manusia dari hawa nafsu.



Astaghfirullah al Azim. Tawakkal alallah.








Saturday, October 8, 2011

Siapa Kita?

Sudah pun bertahun mungkin, lamanya kita di jalan dakwah.

Sejak pertama kali, hembusan syahdu tarbiyyah itu menusuk menembusi naluri diri. Kita tidak akan pernah lupa saat itu.

Kerna padanya ada cahaya yang menyuluh jalan kita, memberikan harapan pada kita untuk menyahut tawaran Syurga Allah kepada mereka yang sedia berjuang dan berjihad di atas jalanNya.

Ada ketikanya kita sendiri merasakan bahwa, itulah titik tolak perubahan kita. Disaat itulah rasanya hidayah Allah itu datang menyapa. 

Alhamdulillah, Allah..yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami untuk terus tsabat atas jalan ini.

Namun, barangkali kita sendiri tidak menyedari, naik bangunnya daie atas landasan panjang ini begitu sinonim dengan anugerah hidayah Allah kepada diri sendiri.

Tidak pernah mustahil, untuk mereka yang pernah hebat dalam arena dakwah ini akhirnya kecundang di tengah jalan.

Tidak mustahil juga, mereka yang dahulunya sedar dalam memikul peranan seorang hamba Allah, akhirnya mengangkat semula dunia ini menjadi tuan, mengagungkan jahiliyyah pada segenap isi kehidupan. Itu semua tidak mustahil, malah benar belaka.

Apa yang kita rasa? Sedih? Gerun?

Barangsiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannnya.
Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikan petunjuk kepada dirinya.

Segala-galanya terletak pada Allah. Kerna hidayah itu bukanlah urusan kita.

Namun,untuk kita menjadi golongan yang tsabat dan istiqamah, permulaan yang betul itu perlu disertakan bersama niat dan keikhlasan yang haq.

Ikhlas disini, apabila kita menuju jalan ini kepada Allah semata-mata. Tiada yang lain yang menjadi matlamat dan tujuan pencapaian kita.

Bukan kerana pangkat dan kemasyuran. Bukan kerana kebanggaan bahwa kita akan menjadi figure yang dihormati, ditaati, dikenali ramai orang disekeliling ini. Bukan pula kerana harta dan kekayaan. Bukan kerana kita membawa mad'u kepada diri sendiri, tapi kita membawa mereka kepada Allah swt.

Golongan yang ikhlas adalah pejuang fikrah dan aqidah, bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi - IHAB

Maka dari situlah kita membina niat dan tujuan yang betul.

Kita yang seharusnya memahami benar hakikat jalan dakwah ini. Faham dan benar-benar tahu bahwa kita bakal berjalan pada landasan yang bukan untuk suka-suka.

Sedangkan sudah tersedia hidang segala bentuk ujian yang getir untuk dihadapi. Syurga Allah itu mahal harganya, maka kita yang ingin memilikinya sewajarnya mampu membayar dengan harga yang setimpal untuknya. Tiadalah erti jalan dakwah ini tanpa episod-episod sukar dan duka.

Kerana itu, hanya mereka yang kental akan berjuang hingga ke akhirnya. Hanya mereka yang terpilih akan teguh bersama-sama. Dan setiap ujian itu adalah penilaian dalam memprestasi hamba-hambaNya, agar yang terpilih untuk jalan dakwah ini adalah mereka yang benar-benar menjadi pilihan Allah swt.

Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya - Syeikh Jum'ah Amin.

Bila kita melihat pada mad'u, yang dahulunya bersama kita, namun akhirnya pergi menjauhi. Hingga kita merasai kesedihan teramat. Malah, bila melihat adik-adik kita semakin jauh, semakin rancak hidup bersama buaian dan ayunan dunia yang berterusan, kita akan lagi tersungkur jatuh, pilu rasa hati mengenangkannya. Pada bibit-bibit bicara kita mula melahirkan rasa benci pada mereka, rasa putus asa dan tidak lagi meletakkan sedikitpun harapan pada perubahan mereka.

Ya, itu punca kita yang tidak memahami apa peranan kita. Siapakah kita sebenarnya untuk mereka.

Peranan kita adalah untuk menyampaikan. Itu sudah cukup. Memang benar, rasa sedih dan kecewa itu lahir kerana kasih sayang kita pada mad'u, namun cukuplah untuk kita meletakkan segala ketentuan pada Allah swt. Kita ini hanya penyampai, cukuplah Allah yang menguruskan segala urusan yang lain.

Tidak usahlah sedih dan kecewa, kerana perasaan itu hanya meletakkan rasa tidak redha kita terhadap ujian Allah, dan menyebabkan Allah juga tidak redha kepada kita.


Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu diberikan dugaan. Oleh sebab itu, barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpanya, maka dia beroleh keredhaan Allah. Dan barangsiapa yang tidak, maka padanya kemurkaan Allah

[Daripada Anas Bin Malik, HR at-Tirmidzi, Hasan oleh Al-Albani]


Astaghfirullah.

Allah berfirman dalam ayatnya  Katakanlah: “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, sebab itu barang siapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya (petunjuk itu) untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan barang siapa yang sesat, maka sesungguhnya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri. Dan aku bukanlah seorang penjaga terhadap dirimu”. (Yunus : 108)



Ahmad Ramdan Zainordin
8 Oktober 2011, 10.08am
Volgograd, Russia.