Saturday, October 8, 2011

Siapa Kita?

Sudah pun bertahun mungkin, lamanya kita di jalan dakwah.

Sejak pertama kali, hembusan syahdu tarbiyyah itu menusuk menembusi naluri diri. Kita tidak akan pernah lupa saat itu.

Kerna padanya ada cahaya yang menyuluh jalan kita, memberikan harapan pada kita untuk menyahut tawaran Syurga Allah kepada mereka yang sedia berjuang dan berjihad di atas jalanNya.

Ada ketikanya kita sendiri merasakan bahwa, itulah titik tolak perubahan kita. Disaat itulah rasanya hidayah Allah itu datang menyapa. 

Alhamdulillah, Allah..yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami untuk terus tsabat atas jalan ini.

Namun, barangkali kita sendiri tidak menyedari, naik bangunnya daie atas landasan panjang ini begitu sinonim dengan anugerah hidayah Allah kepada diri sendiri.

Tidak pernah mustahil, untuk mereka yang pernah hebat dalam arena dakwah ini akhirnya kecundang di tengah jalan.

Tidak mustahil juga, mereka yang dahulunya sedar dalam memikul peranan seorang hamba Allah, akhirnya mengangkat semula dunia ini menjadi tuan, mengagungkan jahiliyyah pada segenap isi kehidupan. Itu semua tidak mustahil, malah benar belaka.

Apa yang kita rasa? Sedih? Gerun?

Barangsiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannnya.
Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikan petunjuk kepada dirinya.

Segala-galanya terletak pada Allah. Kerna hidayah itu bukanlah urusan kita.

Namun,untuk kita menjadi golongan yang tsabat dan istiqamah, permulaan yang betul itu perlu disertakan bersama niat dan keikhlasan yang haq.

Ikhlas disini, apabila kita menuju jalan ini kepada Allah semata-mata. Tiada yang lain yang menjadi matlamat dan tujuan pencapaian kita.

Bukan kerana pangkat dan kemasyuran. Bukan kerana kebanggaan bahwa kita akan menjadi figure yang dihormati, ditaati, dikenali ramai orang disekeliling ini. Bukan pula kerana harta dan kekayaan. Bukan kerana kita membawa mad'u kepada diri sendiri, tapi kita membawa mereka kepada Allah swt.

Golongan yang ikhlas adalah pejuang fikrah dan aqidah, bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi - IHAB

Maka dari situlah kita membina niat dan tujuan yang betul.

Kita yang seharusnya memahami benar hakikat jalan dakwah ini. Faham dan benar-benar tahu bahwa kita bakal berjalan pada landasan yang bukan untuk suka-suka.

Sedangkan sudah tersedia hidang segala bentuk ujian yang getir untuk dihadapi. Syurga Allah itu mahal harganya, maka kita yang ingin memilikinya sewajarnya mampu membayar dengan harga yang setimpal untuknya. Tiadalah erti jalan dakwah ini tanpa episod-episod sukar dan duka.

Kerana itu, hanya mereka yang kental akan berjuang hingga ke akhirnya. Hanya mereka yang terpilih akan teguh bersama-sama. Dan setiap ujian itu adalah penilaian dalam memprestasi hamba-hambaNya, agar yang terpilih untuk jalan dakwah ini adalah mereka yang benar-benar menjadi pilihan Allah swt.

Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya - Syeikh Jum'ah Amin.

Bila kita melihat pada mad'u, yang dahulunya bersama kita, namun akhirnya pergi menjauhi. Hingga kita merasai kesedihan teramat. Malah, bila melihat adik-adik kita semakin jauh, semakin rancak hidup bersama buaian dan ayunan dunia yang berterusan, kita akan lagi tersungkur jatuh, pilu rasa hati mengenangkannya. Pada bibit-bibit bicara kita mula melahirkan rasa benci pada mereka, rasa putus asa dan tidak lagi meletakkan sedikitpun harapan pada perubahan mereka.

Ya, itu punca kita yang tidak memahami apa peranan kita. Siapakah kita sebenarnya untuk mereka.

Peranan kita adalah untuk menyampaikan. Itu sudah cukup. Memang benar, rasa sedih dan kecewa itu lahir kerana kasih sayang kita pada mad'u, namun cukuplah untuk kita meletakkan segala ketentuan pada Allah swt. Kita ini hanya penyampai, cukuplah Allah yang menguruskan segala urusan yang lain.

Tidak usahlah sedih dan kecewa, kerana perasaan itu hanya meletakkan rasa tidak redha kita terhadap ujian Allah, dan menyebabkan Allah juga tidak redha kepada kita.


Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu diberikan dugaan. Oleh sebab itu, barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpanya, maka dia beroleh keredhaan Allah. Dan barangsiapa yang tidak, maka padanya kemurkaan Allah

[Daripada Anas Bin Malik, HR at-Tirmidzi, Hasan oleh Al-Albani]


Astaghfirullah.

Allah berfirman dalam ayatnya  Katakanlah: “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, sebab itu barang siapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya (petunjuk itu) untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan barang siapa yang sesat, maka sesungguhnya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri. Dan aku bukanlah seorang penjaga terhadap dirimu”. (Yunus : 108)



Ahmad Ramdan Zainordin
8 Oktober 2011, 10.08am
Volgograd, Russia.





0 Comments: