Selang lapan hari lagi, kita akan memasuki bulan Dzulhijjah. InshaAllah.
Dan dari negara umat Islam di seluruh dunia, kini berbondong-bondong jemaah Haji berlepas ke tanah suci. Musim haji seakan episod penyatuan ummat Islam, tanpa mengira asal bangsa dan keturunan, serta pangkat dan kedudukan.
Kita mungkin sedari bulan Ramadhan sebagai bulan pesta ibadah, namun sewajarnya juga, perlu untuk kita tahu tentang bulan Dzulhijjah dan keutamaan pada 10 hari di awalnya.
Di dalam Al-Quran, surah Al-Fajr ayat 1-2, Allah swt telah bersumpah dengan malam-malam sepuluh terawal dalam bulan ini.
Demi fajar |
Demi malam yang sepuluh |
Saya ingin memetik sepotong hadith dari Ibnu Abbas r.a, diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah dalam sahihnya, yang bermaksud:
'Tidak ada amal yang lebih di cintai Allah dari hari ini, (yaitu 10 hari bulan Dzulhijjah)'. Mereka bertanya, 'Ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah?'. Baginda menjawab : 'Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun'.
Sebuah hadith daripada Umar r.a, diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah, yang bermaksud:
'Tidak ada hari yang paling agung dan amat di cintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya, daripada 10 hari (Dzulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah pada saat itu tahlil, takbir dan tahmid.'
Hari-hari terawal di bulan Dzulhijjah ini adalah hari-hari yang cukup istimewa. Padanya adalah waktu-waktu emas bagi jemaah Haji dalam proses ibadah mereka.
Sedangkan kita hanya lebih cenderung untuk merayakan Eidul Adha pada 10 Dzulhijjah dan terlepas pandang tentang keutamaan hari-hari sebelumnya, yakni bermula 1 hingga 9 Dzulhijjah.
Dalil yang disertakan disini sudah cukup rajih untuk membuktikan keutamaan hari-hari tersebut.
Kita dianjurkan untuk meningkatkan amal ibadah dan berpuasa pada hari-hari ini.
Dan tiada sangsi lagi, puasa adalah amalan yang paling utama dan dipilih oleh Allah untuk diriNya. Disebutkan dalam hadith Qudsi, yang bermaksud:
'Puasa ini adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya. Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku'
Kemuncak kepada hari-hari di awal bulan Dzulhijjah ini adalah hari Arafah, yakni ke-9 Dzulhijjah.
Sebuah hadith daripada Abu Qatadah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:
'Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharapkan pahala dari Allah akan meleburkan dosa-dosanya setahun sebelum dan sesudahnya'
Berpuasa pada hari Arafah ini dianjurkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji, sedangkan mereka yang sedang mengerjakannya di tegah daripada berpuasa pada hari Arafah. Kenyataan ini berdalilkan hadith daripada Abu Hurairah r.a, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan Ibnu Majah, yang bermaksud:
'Sesungguhnya Nabi s.a.w menegah dari berpuasa pada hari Arafah bagi jemaah haji yang berada di Arafah'
Ayuh kalian, kita kutip peluang keemasan di hari-hari 10 terawal bulan Dzulhijjah ini dengan semaksima mungkin.
Sekiranya kita hanya suka meraikan hari-hari Tahun Baru dan pesta-pesta perayaan yang lain, apa salahnya untuk kita pungut mutiara-mutiara yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya demi sebuah nikmat yang lebih besar dari keseronokan dunia.
Kembali kepada fitrah. Leburkan jahiliyyah dengan syahadahmu!
Ahmad Ramdan Zainordin
20 October 2011, 3.42pm
Volgograd, Russia.
0 Comments:
Post a Comment